Anwar mesra agenda asing, wajib ditolak

KUALA LUMPUR:  Rakyat Malaysia wajib menolak kepimpinan PH yang menjadi agen campur tangan asing dalam merosak dan meracuni pemikiran masyarakat serta melakukan penjajahan bentuk baru di negara ini.

Advertisement

Mengulas lanjut, Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ir Khairil Nizam Khirudin berkata, Presiden PKR, Dato’ Seri Anwar Ibrahim sangat mesra dengan pimpinan asing yang beragenda Liberalisme dan Pluralisme.

“Acapkali beliau (Anwar) didapati bersama tokoh pergerakan dunia atas pentas di atas tema ‘democratic movement’ yang membawa agenda Liberalisme dan Pluralisme. Sikap mesra agenda asing ini dapat dilihat pada ketika beliau menjadi Menteri Kewangan.

“Apabila cubaannya mempersetujui campur tangan International Monetory Funding (IMF) di bawah Bank Dunia pada tahun 1997. Namun, Tun M yang pada ketika itu menjadi Perdana Menteri mencantas usaha beliau.

“Tidak cukup dengan itu, beliau (Anwar) bersama kelompok Chauvanis dan Liberal di dalam pakatannya dilihat berusaha sedaya upaya mencari ruang-ruang lompong dalam Perlembagaan untuk membenarkan campur tangan asing,” katanya.

Tambah beliau, semenjak PH mengambil alih tampuk pemerintahan negara, prioriti diletakkan adalah ingin meratifikasi Konvensyen Antarabangsa seperti ICERD dan Statut Rom yang membuka ruang campur tangan asing dalam negara.

Malah, usaha-usaha dilakukan beliau bukannya tindakan bagi menyelesaikan masalah rakyat dan negara.

“Politik jijik dan memalukan oleh PH adalah kegilaan Presiden sebuah komponennya, yang saban hari meratib untuk mengambil alih jawatan Perdana Menteri.

“Dalam suasana rakyat yang bersusah payah menjalani kehidupan, rumah dirobohkan, laut ditambak, udara tercemar, ekonomi merudum, manusia ini masih kuat bernafsu ingin ‘merampas’ kuasa daripada Tun M,” bidasnya.

Beliau memetik ucapan Presiden PAS, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang dalam Himpunan Penyatuan Ummah (HPU914) yang mengingatkan agar menjadi tanggungjawab kepada rakyat Malaysia untuk menghalang campur tangan asing dalam urusan negara ini.

“‘Potong’ tangan-tangan mereka yang sering melambai kepada ‘makhluk asing’. Ketahuilah bahawa kepala kepada tangan tersebut adalah Anwar Ibrahim dan DAP. Adakah orang sebegini yang kita harapkan untuk mewarisi jawatan Perdana Menteri?” kata Khairil memetik ucapan Tuan Guru Abdul Hadi. – HARAKAHDAILY 25/9/2019