Bantah kapal Vietnam ceroboh perairan negara

KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia perlu segera menghantar nota bantahan kepada Kerajaan Vietnam berikutan tindakan kapal penguat kuasa milik negara itu yang menceroboh masuk perairan negara ini.

Advertisement

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim berkata, tindakan sewajarnya mesti diambil bagi menunjukkan Malaysia tidak memperakui tingkah laku yang bersifat mencemar kedaulatan negara iti.

Malah gesanya, Malaysia perlu mengecam tindakan kapal penguat kuasa Vietnam itu kerana cuba mengancam kapal milik Angkatan Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), KD Langkawi dalam insiden 18 September lalu.

Tegas beliau, isu tersebut jelas tanpa kekaburan kerana kapal nelayan Vietnam yang ditahan APMM ketika itu berada dalam perairan negara dan masih jauh 8 batu nautika dari perairan antarabangsa.

“Saya harap ini tidak melemahkan semangat anggota keselamatan kita dan tidak tunduk kepada tekanan pihak luar dalam menguatkuasakan undang-undang dalam perairan kita yang berdaulat.

“Ini juga untuk memastikan keselamatan nelayan-nelayan tempatan dalam kerja rutin mereka menangkap ikan mencari rezeki. Operasi mesti ditingkatkan, kapal-kapal nelayan asing mesti ditahan dan diambil tindakan,” desaknya.

Beliau juga berharap agar tindakan sebagaimana dilakukan Kesatuan Eropah yang mengeluarkan kad merah agar hasil perikanan dijual daripada tindakan melanggar, mencabul dan menceroboh perairan.

Ketika sama, Amzad berharap pihak Vietnam dapat mengawal bot dan kapal nelayan negara itu daripada menceroboh negara lain demi ekonomi dan hubungan sesama rumpun. – HARAKAHDAILY 24/9/2019