LEHPU Pahang lancar MEPS rancakkan kempen BMF

RAUB:  Lajnah Ekonomi, Harta dan Pembangunan Usahawan (LEHPU) PAS Negeri Pahang telah mengadakan pertemuan Zon Barat melibatkan PAS Kawasan Bentong, Lipis, Cameron Highlands dan Raub, kelmarin.

Advertisement

Dipimpin Pengerusi LEHPU PAS Pahang, Musaniff Ab Rahman, gagasan Mengupayakan Ekonomi Pahang Sejahtera (MEPS) telah dibentangkan di Kompleks PAS Kawasan Raub (MANTIK) Kampung Gali Tengah, di sini.

Dalam penerangannya, MEPS akan berperanan melebarluaskan maklumat disamping mengumpul direktori para usahawan supaya dapat membina rangkaian peniaga Muslim secara praktikal, tersusun dan berkesan.

Menerusi taklimat tersebut, pihak LEHPU PAS Kawasan-kawasan dikehendali untuk menggerakkan struktur yang sama dan bergerak melengkapkan butiran dikehendaki melibatkan juga pertanian, ternakan dan kegiatan berkaitan.

Dengan data itu nanti juga terang Musaniff, ianya dapat mengatasi isu-isu seperti lambakan hasil sebagaimana berlaku ke atas peniaga Muslim apabila peraih bukan Muslim bertindak memboikot hasil pertanian mereka.

MEPS juga menurutnya, akan melibatkan usaha perancangan dan pembangunan usahawan Muslim dengan lebih kemaskini sesuai perkembangan pasaran dan membolehkan pemantauan sistematik dilakukan.

Malah, dengan senario semasa dari kempen Buy Muslim First,  ianya akan mengatasi isu peraih atau orang tengah yang selama ini mendominasi atau memonopoli hasil pengusaha Muslim untuk keuntungan mereka semata. – HARAKAHDAILY 24/9/2019