Majlis Asyura lambang ikatan Penyatuan Ummah

PEKAN:  Pimpinan PAS Kawasan dan Umno Bahagian dalam Parlimen Pekan turut serta memeriahkan program Kacau Bubur Asyura yang telah dilangsungkan di Dewan Serbaguna Kampung Marhum, di sini.

Advertisement

Program tahunan yang memupuk semangat kemasyarakatan itu adalah anjuran Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dengan kerjasama Masjid Kampung Marhum, kelmarin.

Hadir sama adalah Yang DiPertua PAS Pekan, Ustaz Abu Kassim Manaf dan Adun Peramu Jaya, Dato’ Sheikh Fuzi Sheikh Ali serta Ketua Kampung Marhum, Mokhtar Mohd Yunus.

Ustaz Abu Kassim berkata, semangat Penyatuan Ummah telah membawa kebersamaan semua pihak tersebut untuk meningkatkan lagi aktiviti dan kemeriahan majlis pada penganjuran masa akan datang.

Antaranya ujar beliau adalah aktiviti untuk kanak-kanak selain mengadakan jamuan kenduri dengan menyembelih lembu bertujuan menyemai keharmonian dan menjaga hak berjiran.

Manakala di INDERA MAHKOTA,  majlis rewang sama telah dilangsungkan oleh penduduk dari pelbagai latar belakang politil di tapak Surau Al-Syakirin, Taman Balok Perdana, Beserah, di sini kelmarin dahulu.

Majlis penuh meriah itu anjuran bersama Grup Ngeteh, Ahli Jawatankuasa Penaja Surau Al-Syakirin dan Muslimat PAS Cawangan Balok Perdana dengan dirasmikan Adun Beserah, Andansura Rabu.

Sebanyak lima kawah bubur asyura dihasilkan disamping hadirin juga turut mendengar pengisian rohani yang telah disampaikan oleh Ustaz Muhamad Syazwan Safain, selain sukaneka kanak-kanak.

Umpama ‘Hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah’, maka 700 bekas bubur Asyura beredaran kepada masyarakat setempat termasuk Kuarters Tentera Laut hasil kerja bak ‘Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat’ itu.

Melalui program ini juga kutipan dana Surau Al-Syakirin yang baru 40 peratus pembinaannya telah diadakan, termasuk juga edaran tabung untuk Walimatul Urus Parlimen Indera Mahkota di Padang Cenderawasih 30 November nanti.

Turut memeriahkan dan meningkatkan kesedaran penduduk terutama mengenai kewajiban sebagai pemilih PRU, kaunter Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah dibuka menerima urusan berkaitan.

Orang ramai juga dialukan membantu dana pembangunan Surau Al-Syakirin di mana boleh berbuat demikian menerusi akaun Bank Muamalat 06010004032718,  manakala berkenaan Walimatul Urus Perdana hubungi 019-990 8278 (Jamnan) atau 019-914 3212 (Khaspi).  – HARAKAHDAILY 24/9/2019  

IMG 20190924 WA0028

IMG 20190924 WA0029