Peguam Negara mesti ditukar segera – Ir Khairil

KUALA LUMPUR:  Sistem perundangan negara seperti telah dicemari di mana menunjukkan wujudnya suatu campur tangan dan kacau ganggu dari tindakan Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas sendiri.

Advertisement

Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ir Khairil Nizam Khirudin berkata, terdapat sebab yang munasabah atau prima facie bahawa tindakan Tommy adalah suatu penghinaan kepada Mahkamah.

Beliau merujuk kepada alasan penghakiman oleh Hakim Koroner, Rofiah Mohamad terhadap tindakan subjudis Tommy selaku Peguam Negara dalam inkues kematian Pegawai Bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.

Menurut beliau, pihaknya mengikuti secara rapat perkembangan prosiding komital difailkan oleh keluarga Arwah ke atas Peguam Negara itu yang sejak awal dibimbangi oleh banyak pihak.

“Perlakuan Tommy sepanjang mengendalikan kes inkues ini seolah-olah wujudnya ‘scandalize’ dalam perjalanan kes ini. Ianya seolah-olah suatu lakonan serta proses rubber-stamping’ berdasarkan pendirian yang telah diambil oleh Tommy sebelum inkues diputuskan,” katanya.

Menurut beliau, sekalipun difahamkan akan dirayu di peringkat Mahkamah Tinggi, sikap dan tindakan Tommy itu akan menyebabkan institusi keadilan Malaysia diragui oleh masyarakat awam.

Kerana bidasnya, adalah suatu perkara bertentangan dengan kedaulatan undang-undang apabila seorang Peguam Negara bertindak mengacau ganggu suatu kes yang menjadi perhatian umum.

Selain itu, individu terbabit turut mengambil tingkah laku seolah sedang menyembunyikan sesuatu dari pandangan umum dengan mengubah hala tuju siasatan inkues.

Oleh itu tegasnya, Tommy mesti dilucutkan jawatan dan Peguam Negara ditukar dengan segera bagi mengembalikan kedaulatan undang-undang.

Tempelaknya, dengan keputusan penghakiman ini, kewujudan Tommy sebagai Peguam Negara akan menjadi suatu liabiliti kepada institusi perundangan dan kehakiman negara.

“Jika perkara ini tidak ditangani, masyarakat akan mula berasa ragu dengan sistem perundangan negara, serta hilang kepercayaan terhadapnya sedikit demi sedikit.

“Keadaan ini pastinya akan membawa ketidakharmonian serta ketegangan di Malaysia,” tambah beliau.

Pemuda PAS katanya, sekali lagi mendesak kerajaan agar mengambil tindakan tegas bagi mengembalikan kedaulatan undang-undang dan kepercayaan rakyat terhadap sistem perundangan. – HARAKAHDAILY 24/9/2019