Prinsip Pareto dalam politik

PRINSIP Pareto ialah satu teori terkenal yang digunakan secara meluas dalam perniagaan. Malah, lebih jauh dari itu, tidak salah jika dikatakan ianya juga diguna dalam kehidupan kita sehari-hari. Prinsip ini bawakan oleh ahli ekonomi Vilfredo Pareto, yang berasal dari Itali, sekitar tahun 1906. Ia kemudiannya disebar luaskan oleh Dr Joseph M. Juran sekitar lewat 40-an. Ia sangat membantu kita menguruskan masalah terutama perniagaan dengan berkesan.
 
Asas kepada prinsip ini ialah 80/20. Iaitu 80 peratus keuntungan dalam perniagaan adalah berpunca daripada 20 peratus produk terbaik anda. Manakala 80 peratus daripada produk lain anda hanya menghasilkan 20 peratus keuntungan. 80 peratus produktiviti dihasilkan oleh 20 peratus pekerja yang bagus dalam syarikat. Manakala 80 peratus lagi pekerja, hanya menghasilkan 20 peratus produktiviti syarikat. Begitulah secara ringkas kefahaman prinsip ini.
 

Advertisement

Terbukti, prinsip ini memang berlaku dalam hidup kita. 80 peratus kekayaan dunia dikuasai oleh 20 peratus manusia dan 80 peratus lagi penduduk dunia, hanya berkongsi sebanyak 20 peratus bakinya. Maka para cerdik pandai pun sentiasa mencari jalan, bagaimana memanafaatkan dan mengoptimumkan 20 peratus sumber yang ada agar mereka sentiasa mendapat keuntungan atau hasil terbaik sebanyak 80 peratus itu, atau menambahkannya lagi.

Dalam kehidupan biasa, lelaki sering menggunakan 20 peratus pakaian yang digemari, dan 80 peratus lagi, tidak kerap digunakan. Tetapi, prinsip ini tidak terpakai kepada wanita kerana biasanya mereka ada sekurang-kurangnya 15 helai pakaian dengan warna yang berbeza untuk dipadankan, agar tidak dikatakan memakai baju semalam atau beberapa hari lepas. Maksudnya selepas dua minggu baharulah kembali kepada pakaian hari pertama dahulu. Cukup masa untuk orang lupa apa mereka pakai dua minggu lepas. Wanita cukup efisyen dalam mengoptimumkan penggunaan pakaian. Mungkin Pareto tidak terfikirkan.

Pun begitu, jika mahu diulang atau dimanafaatkan sepenuhnya keberkesanan ke atas 20 peratus itu, kemahiran pengurusan yang tinggi juga mesti digandingkan bersama dengan prinsip ini. Tidaklah hanya tahu berteori, tetapi gagal mengadunkan teori itu dengan sumber yang mereka ada secara amali. Dalam hal ini, jika salah formula, ia mungkin akan menyebabkan kerugian yang lebih besar dalam perancangan mereka mengaut keuntungan. Dan di sinilah kita akan lihat bagaimana kehebatan pengurusan itu.

Tun Mahathir adalah seorang yang pakar dalam mencampurkan adunan beliau tersendiri bagi menghasilkan sesuatu yang baharu dengan menggunakan bahan-bahan yang sama. Sama seperti P. Ramlee yang sangat bijak meniru cerita-cerita lama, lalu dihidangkan kepada penonton sebagai karya yang baharu dan segar, sedangkan cerita itu sudah diketahui mula dan penyudahnya. Tetapi masih ramai orang mahu menontonnya berulang-ulang kali. Ali Baba Bujang Lapok dan Nujum Pak Belalang contohnya.

Dalam politik, Tun menjadi seperti P. Ramlee. Beliau sering mencuit penonton politik dengan adegan cemas, geram, teruja, benci, sayang, hormat dan banyak lagi, dengan beliau memanafatkan bahan-bahan lama. Peristiwa Memali, adalah antara skrip usang keramat yang beliau selalu gunakan dalam kempen beliau semenjak ianya berlaku pada tahun 1985. Kesalahan yang beliau letakkan kepada PAS, sangat berkesan, sehingga pada waktu itu, tidak sedikit yang mempercayai as-Syahid Ibrahim Libya sebagai sesat.

Amanat Haji Hadi 1981, diadun dengan teliti bersama isu kafir mengkafir, sentiasa menjadikan Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang sebagai mangsa beliau sejak puluhan tahun yang lalu. Tidak dapat ditepis dengan sempurna serangan ini. Akan ada sahaja penyambung kepada tuduhan ini, sehinggakan yang belum lahir ketika itu juga, masuk campur dan berlagak lebih tahu. Termasuk juga isu royalti. Isu itu menjadi dendam kesumat majoriti rakyat Terengganu kepada Tun kerana menyekatnya pada tahun 2000.

Namun, berbekalkan isu yang sama, Tun yang dahulu ‘zero’ sekarang menjadi ‘hero’ oleh pembencinya. Tun dengan tegas, mahu royalti lima peratus itu diserahkan kepada kerajaan Terengganu setelah perbincangan muhibah antara beliau, Presiden PAS dan juga YAB Menteri Besar Terengganu pada permulaan pemerintahan 2018 lalu. Rakyat Terengganu, ramai yang berterima kasih. Begitulah kemas dan rapinya serangan Tun yang menggunakan 20 peratus bahan kitar semula dengan 80 peratus kejayaan.

Inilah yang maksud yang dibincangkan atas tajuk yang saya berikan. Prinsip Pareto, digunakan dalam politik. 20 peratus isu lama dan amat berkesan, digunakan bagi mencapai 80 kejayaan kempen, seterusnya memenangi PRU. Manakala 80 peratus lagi isu baharu yang cuba dinaikkan, hanya menghasilkan 20 peratus kejayaan kempen. Dan sekarang, kita berada di ambang PRK Tanjung Piai yang mana akan melihat sejauh mana kekuatan kedua-dua belah pihak.

Menteri Agama, Mujahid, saya lihat cuba menggunakan prinsip Pareto dalam usaha meruntuhkan penyatuan Ummah PAS dan Umno, tetapi gagal. Seperti yang saya sebut, kejayaan itu bukan hanya kepada keberkesanan isu, tetapi juga kehebatan individu yang mengolah sumber itu. Ternyata, Mujahid bukan orang yang hebat bagi membuat resepi baharu menggunakan bahan-bahan lama. Sebaliknya, beliau kelihatan begitu hodoh sekali kerana bahan-bahan itu antaranya ialah tahi beliau sendiri.

Setelah berkurun lama beliau duduk di dalam PAS, diserang dari segenap penjuru oleh musuh-musuh politik, beliau begitu hebat bertahan. Apa sahaja lontaran yang ditujukan kepada PAS, maka dia bersama-sama berbentengkan diri, menahan asakan. Apa lagi serangan itu jika tidak isu kafir mengkafir. Sehinggakan dia begitu hadam tentang ayat penyatuan ummah dari surah Ali-Imran:

“Berpeganglah dengan tali Allah dan jangan berpecah belah”.

Dalam ayat selepas itu juga disebut Allah, Aus dan Khazraj sebagai berada di tepi jurang neraka kerana persengketaan yang panjang itu.

Ayat yang disuruh Allah itu jelas, menyuruh kamu bersatu, kerana kamu berpecah belah sebelum itu dan Allah selamatkan kamu dari jurang neraka atas perpaduan kamu itu. Atas nama Islam, PAS dan Umno melakukan. Tidakkah kita ketahui bahawa ada suara-suara dari gereja yang seperti mahu menjadikan negara Malaysia ini menjadi sasaran agama mereka? Tidakkah kita sedari akan kerasnya desakan mereka terhadap kita, orang Melayu Islam jika hal itu bersabit dengan agama mereka? Suara ulamak PH, tertuju tajam, menikam kepada PAS dan Umno, tetapi bagai pondan bila berhadapan dengan bukan Islam?

Mereka itu adalah dari pakatan yang diduduki oleh Mujahid sekarang.  Kebaculan apakah jika Islam dihina sebegitu rupa, disabarkan konon kerana toleransi agama? Kebodohan apakah yang menimpa apabila penipuan demi penipuan diluncurkan dari mulut mereka bagi memperbodohkan rakyat, dibiarkan? Kejahatan apakah yang dilakukan apabila terus menerus mereka menggunakan agama bagi menyerang dan menghalang kita dari bertahan dengan agama? Apakah semua tindakan ini denai menujukan mereka ke syurga? Maka inilah tahi yang Mujahid guna dalam resepi beliau, kerana dia tahu mana yang benar.

Dalam Islam, demi merapatkan silaturrahim, seseorang itu dibolehkan mengungkapkan apa yang tidak diungkapkan orang jika ia boleh membawa kepada perdamaian. Kita mengatakan kepada dua sahabat kita yang bermusuh sesuatu yang positif bagi pihak mereka, walaupun tidak pernah diucapkan, dan akhirnya mereka berdamai, Allah menyukainya. Tetapi, Allah melarang kita mengatakan apa yang pihak sebelah sana tidak katakan bagi tujuan mengapi-apikan lagi persengketaan. Asas Islam ini semua orang tahu. Jadi tindakan Mujahid, Menteri Agama ini, anda fikir dia sedang mengapi-apikan atau mendamaikan umat?

Mujahid gagal dalam prinsip Pareto-nya bagi menggunakan isu lama kafir, syurga, neraka dalam berhujah. Tiada orang yang begitu dungu, mempercayai cakap beliau, apatah lagi setelah sekian lama berjanji, belum banyak ditunai pakatan Mujahid. Mereka masih kebingungan mencari solusi, selain menyalahkan orang. Mujahid bukan seorang yang pintar mengitar semula isu lama bagi memenangi hati rakyat. Dia amat naif dalam berpolitik. Dia mungkin hanya memberi khabar gembira kepada syaitan dengan usahanya ini.

Saya hanya membayangkan betapa kecewanya syaitan, Yahudi dan munafik di Madinah, ketika melihat Aus dan Khazraj berpelukan, berdamai atas nama Islam. Dan saya, tanpa ragu juga menyatakan betapa sedih dan kecewanya manusia yang sama fikirannya dengan syaitan, Yahudi dan munafik ini dengan termeterainya Muafakat Nasional (MN) baru-baru ini. MN diasaskan atas prinsip mempertahankan Islam dan juga Melayu, tanpa mengenepikan pihak selainnya di tanah air sendiri. Ia jelas gagal diambil peranannya oleh pihak PH.

Jika penyatuan PAS dan Umno ini, perlumbaan menuju ke neraka, walaupun atas nama Islam bangsa dan negara, maka adakah pakatan yang dipimpin oleh DAP itu sedang terbang ke syurga? Hendak hapuskan judi pun tak mampu, nak kawal arak pun terhegeh-hegeh, riba masih berleluasa, konon nak laksanakan Islam selepas menang Putrajaya. Kemudian mengaku dia sedang berlumba ke syurga? Dalam penyatuan PAS dan Umno, Islam dan orang Islam mempimpin. Dalam pakatan mereka, DAP, sekular, liberal memimpin. Manakala Islam menjadi lambang dan penumpang sahaja. Rakyat nampak hakikat ini.

Saya percaya kenyataan menghina penyatuan ummah ini, bukanlah percubaan Mujahid untuk memohon portfolio baharu kementeriannya dengan mahu menjadi Menteri Penjaga Syurga Neraka pula contohnya, setelah setahun lebih dia menjadi Menteri Penjaga Agama. Dia harus lebih memandang ke hadapan dengan melihat segalanya dari kaca mata Islam. Beliau juga mesti mengasah ketajaman politik beliau dengan menggunakan Prinsip Pareto ini untuk melawan PAS, bukan menjadi seperti maskot kerepek kentang Mr Potato yang bertopi Mexico, bermisai lentik sambil memetik gitar itu. Sedap dimakan tetapi menggemukkan, tanpa zat.

Ada sembilan Menteri dan Timbalan Menteri dari PAN daripada lebih kurang 54 jemaah Menteri, menjadikan PAN, 17 peratus daripada Kabinet. Prinsip Pareto manakah yang terpakai kepada barisan Menteri PAN ini? Adakah mereka pasukan penyumbang kepada 80 peratus kejayaan PH (jika ada, tapi belum nampak lagi kejayaan)? Atau mereka 17 peratus ini, menjadi 80 peratus beban kepada Kabinet Tun? Atau mereka sekadar hiasan sahaja? Apa pandangan anda?

MOHD NASIR ABDULLAH

25 September 2019 – HARAKAHDAILY 25/9/2019