Sebuah autobiografi dan kemanusiaan semulajadi

BUAT kali pertama misi kemanusiaan saya dan PASRelief kelihatan tertumpu kepada satu susuk sahaja, Milagros Campomayor a.k.a Jamilah. Seperti ada satu hambatan sejak 2013 untuk saya temui insan istimewa ini, selepas dimaklumkan tentangnya oleh Puan Sri Faekah Sheikh Hamzah (Kak Faekah).

Advertisement

Misi kemanusiaan lazimnya membawa manfaat segera, meringankan derita, membekalkan tempat tinggal, makanan, bekalan air, pakaian, selimut dan berkongsi kegembiraan untuk mereka meneruskan hidup. Selepas beberapa bulan atau tahun, kita akan datang semula, mengharapkan suasana itu berubah, kehidupan akan menjadi lebih baik. Kadang-kadang, suasana tidak berubah, malah bertambah buruk, dan kita tidak dapat berbuat apa-apa lagi selain mengulangi langkah pertama dulu.

Adakala, derita mangsa malapetaka menjadi sumber mengaut laba atas nama kemanusiaan. Ada yang menjadi kaya dan berharta atas kemanusiaan yang kian hilang. Kemanusiaan menjadi industri dan korporat, melahirkan keparat kemanusiaan. Organisasi membesar, gaya hidup berubah, terbang, makan dan tidur mewah, bahasa megah, derma segantang tinggal setengah.

Lama kelamaan, kemanusiaan yang ‘terbunuh’ terpaksa diterima sebagai sebahagian daripada kehidupan, akhirnya seperti dilupakan. Lihatlah Arakan, Palestin, Syiria, Sudan, Somalia, Lombok dan lain-lain. Hanya malapetaka baru saja akan menjadikan kemanusiaan kelam kabut semula.

Alhamdulillah PASRelief sentiasa beringat dan diperingatkan tentang fenomena ‘humanitarian industry‘ yang tempang dan koyak, wajib dihindari. Kita hanya ‘posmen kebajikan’, tolong menyampaikan sumbangan orang ramai, alatan dan perjalanan kita sediakan sendiri.

Misi kali ini agak berbeza. Ia seperti satu kesimpulan kepada banyak tulisan dan perkongsian pengalaman saya dan sahabat-sahabat ketika bersama Almarhum Ustaz Azizan. Ia memendekkan sebuah pengalaman dan perjalanan panjang. Misi kali ini memberi ilmu dan inspirasi. Ia membuka bucu lembaran yang terlipat, pelengkap kepada keseluruhan cerita.

Saya pernah suarakan kepada Ustaz Azizan untuk menulis biografinya sewaktu menjadi Menteri Besar. Katanya.. “Tak payah tulis la Sanusi, aku orang kampung saja, nak jadi MB berapa hari sangat. Masa aku hidup ni jangan laa… Buat malu kat orang saja. Nanti aku mati dah, takpa la nak tulis pun. Gambaq-gambaq aku ada banyak di Bangi, hang mintak tolong Yahya cari”.

Di Zamboanga, Saya menemui kemanusiaan semula jadi yang dihidupkan tanpa misi, tanpa publisiti, tanpa industri. Ia real, ikhlas dan kekal berpanjangan. Ramai yang merasai kehidupan, terlepas dari beban, meluruskan perjalanan, menemui Tuhan, terdidik, mengenang dan menghargai dengan kemanusiaan Ustaz Azizan.

Setia kawan, persahabatan, keinsanan, persaudaraan, kekeluargaan muncul menghulur tangan dari segenap penjuru, menyambung jasa yang tulus.

Ini autobiografi Almarhum Ustaz Azizan Abdul Razak sebagai teladan untuk kita semua. Sebahagiannya tersemat rapi di sisi Mila dan keluarganya. Alhamdulillah…

MUHAMMAD SANUSI MD NOR
Pengerusi
Pusat Bantuan dan Kemanusiaan PAS (PASRelief) – HARAKAHDAILY 25/9/2019  

FB IMG 1569366367936

FB IMG 1569366370133

FB IMG 1569366372167  

FB IMG 1569366374340

FB IMG 1569366377091

FB IMG 1569366379416 

FB IMG 1569366381888

 FB IMG 1569366383925