Tanjung Piai: Matlamat kerjasama untuk menang

HULU TERENGGANU: PAS belum membuat sebarang keputusan bertanding atau tidak dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) P.165 Tanjung Piai, Johor, berikutan kematian penyandangnya Dato’ Dr Md Farid Md Rafik, 21 September lalu.

Advertisement

Namun, Naib Presiden PAS, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pertandingan dalam pilihan raya itu tetap akan berlaku setelah tarikh diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), pada 1 Oktober depan.

Katanya, matlamat PAS yang akan bekerjasama dengan Umno adalah untuk memenangi PRK itu sama ada siapa yang bertanding mewakili pembangkang.

“Kita kerja secara bersama untuk mendapatkan keputusan yang terbaik. Jadi tidak menjadi masalah sama ada PAS bertanding atau tidak, asalkan kemenangan itu membawa kebaikan.

“Objektif kita ialah kemenangan. Kerjasama akan diteruskan sebagaimana yang pernah dilakukan di PRK Semenyih, Cameron Highlands. Itu adalah langkah-langkah kerjasama yang kita jalankan sebelum ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Kepada Pondok, Tahfiz dan Sekolah Agama Rakyat (SAR) serta Majlis Pelancaran Program Latihan Kemahiran di Pondok Tahun 2019, di Pondok Ibtida’I, Ajil, hari ini.

Ketika ditanya bagaimana persiapan PAS menghadapi PRK Tanjung Piai itu, kata beliau yang juga Menteri Besar Terengganu, bahawa PAS tunggu dan lihat perkembangan itu selepas pengumuman SPR nanti.

“SPR pun belum tentukan bila tarikh pihan raya itu. Kita belum buat apa-apa keputusan lagi, kita tunggu SPR umumkan dahulu dan selepas itu baharu kita umumkan keputusan kita.

“Hasil daripada HPU (Himpunan Penyatuan Ummah) baru-baru ini, kita nampak ianya sangat positif dari segi perbincangan sama ada secara langsung atau tak langsung. Saya rasa tunggu dan lihat dahulu,” jelasnya.

Dr Md Farid, 43, merupakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri disahkan meninggal dunia akibat sakit jantung di Hospital Pontian, Johor.

Beliau daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu dan menang atas tiket Parti KeADILan Rakyat (PKR) mengalahkan penyandangnya, Dato’ Wee Jeck Seng daripada MCA, dengan majoriti 542 undi.

Dr Md Farid memperolehi 21,255 undi, Wee Jeck Seng (BN) mendapat 20,731 undi dan PAS yang diwakili Nordin Othman mendapat 2,962 undi. – HARAKAHDAILY 24/9/2019