Ulamak dalam politik dan pentadbiran Sarawak

BISMILLAH.

Advertisement

Selalunya bila kita baca sejarah, kita rasa bosan sebab kita buat ketetapan dalam minda bahawa ia hanya sekadar cerita dahulu kala. Namun sejarah sebenarnya boleh merungkai persepsi, strategi serta sebab utama sesuatu peristiwa itu berlaku yang sudah tentu kerana suatu keputusan oleh seseorang atau satu pihak.

Merungkai kisah para alim ulamak (Cendikiawan) Sarawak ini agak terhad sumbernya. Antara terbitan buku yang kita boleh dapat adalah dari Penerbit UKM dan beberapa kajian sarjana luar dan tempatan serta penulisan dalam “Sarawak Gazette” yang mula diterbit pada tahun 1870. Sesuatu yang menarik tentang ulamak Sarawak ini adalah bagaimana mereka melihat keutamaan “awlawiyat” pada ketika itu serta punca sesuatu masalah yang perlu dibaiki dan buka memulihkan sesuatu tanpa melihat dan bertindak untuk menutup punca masalah.

Di Malaya, ulamak menjadi tokoh gerakan ummah untuk bangkit melawan penjajah. Namun di Sarawak, kita boleh lihat bagaimana kebijaksanaan ulamak ini mengatur strategi sehingga menjadi sebahagian pentadbir. Setelah Brooke mengambil kuasa pada tahun 1841, ancaman aqidah umat Islam Sarawak jelas terpancar. Maka ulamak yang berasal dari Sarawak telah mula mengorak langkah melihat ancaman tersebut.

Sebagai contoh, Datuk Hakim Keramat atau nama sebenarnya Abang Haji Abdul Rahman Bin Abang Haji Ibrahim yang lahir pada tahun 1829. Beliau ke Makkah bersama ayahnya ketika umur 12 tahun untuk menuntut ilmu agama. Kemudian kembali ke Sarawak pada tahun 1950 kerana ancaman Brooke terhadap aqidah umat islam itu tadi. Akhirnya pada tahun 1870 beliau berjaya memposisikan dirinya di dalam pentadbiran kerajaan sebagai Tuan Hakim dan berperanan sebagai ketua agama Islam dan pada tahun 1886 pula sebagai Datuk Hakim. Inilah usaha ulamak yang meminimumkan campur tangan penjajah Brooke dalam hal ehwal Islam.

Cubaan untuk meresapi ajaran Kristian terhadap orang Islam di Sarawak sangat halus. Sungguhpun Brooke tidak menyekat penganut Islam, namun dia membuat galakan untuk pendakwah Kristian masuk kepada masyarakat. Akibat daripada Germany diolomasi oleh para ulamak ini menyebabkan Brooke akur dan menghormati agama Islam.

Bagi memastikan generasi ulamak ini tidak terputus, beliau menghantar anak-anaknya menuntut ilmu di Makkah. Antaranya Syeikh Haji Shibli, Datuk Imam Haji Suhaili, Datuk Haji Ashaari dan lain-lain. Antara murid luar biasanya adalah Syeikh Uthman Abdul Wahab As-Sarawaki yang terkenal kehebatan ilmu agamanya dalam dunia ulama silam. Isteri Datuk Hakim Keramat iaitu, Fatimah adalah ibu susuan Syeikh Uthman As Sarawaki setelah kematian ibunya ketika usia 3 hari. Syeikh Uthman As Sarawaki lahir pada tahun 1864.

Syeikh Uthman As Sarawaki dihantar ke Makkah bersama anak Datuk Hakim Keramat iaitu Datuk Haji Ashaari dan Haji Azhari pada usia 18 tahun dan berada di Makkah selama 15 tahun. Antara gurunya di Makkah adalah; Syeikh Muhammad Sa’id Bashail, Sayyid Ahamd Zaini Dahlan, Sayyid Abu Bakar Syatha, Sayyid Ali Bin Zahir Al Witri Al Mudghi, Sayyid Umar As Syami, Syeikh Amir Ridzwan, Syeikh Mahmud Al Minangkabawi, Syeikh Ali Balkhibur, Syeikh Ali Al Maliki, Syeikh Umar Al Bajwid, Syeikh Said Al Yamani, Syeikh Salleh Bafdzal, Syeikh Muhammad Sa’ad Babsail dan ramai lagi.

Walaupun beliau tidak secara langsung dalam usaha memimpin umat Islam di Sarawak, namun beliau telah banyak memberi sumbangan dalam dunia ilmuan yang telah melahirkan ramai para alim ulamak Nusantara seperti Pak Hamka, Datuk Hakim Imam Haji Mursyidi (Sarawak), Datuk Iman Haji Nawawi (Sarawak) serta ramai lagi yang akhirnya menjadi pemimpin masyarakat dan cendikiawan tempatan yang membimbing masyarakat untuk terus hidup beragama.

Akhirnya, Syikeh Uthman meninggal dunia pada tahun 1920 setahun selepas beliau pulang menziarahi keluarganya di Sarawak dan telah dikebumikan di Makkah serta disembahyangkan oleh Gurunya Syeikh Said Al Yamani dengan ribuan para jemaah. Antara karya agung beliau adalah “Hasyiyah di Minhaj” dan ” Tarjumah al Misbah“. Begitulah sebahagian coretan untuk kita mengenang usaha para ulamak di dalam kepimpinan. Sebagai rumusan, umat Islam terutamanya di Sarawak perlu terus bersatu dalam mempertahankan aqidah umat Islam di sini dan para ahli politik muslim juga perlu mengambil peranan sesuai dengan peredarab zaman kita pada masa kini tanpa mengetepikan ulamak untuk memberi pandangan dan pendapat dalam memastikan kepimpinan Islam di negeri Sarawak ini akan lebih mampan.

Saya juga kongsikan beberapa keping gambar ulamak Sarawak yang lain di mana mereka juga berperanan dalam memastikan Islam terus mekar dan subur di Sarawak sehinggalah apa yang kita lihat pada hari ini. – HARAKAHDAILY 24/9/2019   

IMG 20190924 WA0008

 IMG 20190924 WA0009

IMG 20190924 WA0010

IMG 20190924 WA0011

IMG 20190924 WA0012    

IMG 20190924 WA0013

IMG 20190924 WA0015

IMG 20190924 WA0016

IMG 20190924 WA0017

IMG 20190924 WA0018 

 IMG 20190924 WA0019