BN ada potensi menang PRK Tanjung Piai

KOTA BHARU: Calon BN berpotensi memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai yang akan diadakan nanti.

Advertisement

Naib Presiden PAS, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, berdasarkan keputusan PRU14 memperlihatkan BN mempunyai potensi untuk merampas kerusi tersebut dengan bantuan undi PAS.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut memandangkan tidak mendapat maklumat tepat berhubung perkara itu khususnya berhubung calon.

“Saya pun sebenarnya tak ada maklumat yang lengkap mengenai Tanjung Piai, cuma kalau dilihat atas kertas ada potensi untuk menang sekiranya undi PAS dan BN dicampur.

“Ianya boleh dinilai pada keputusan  PRU ke-14 tahun lalu,” katanya kepada media selepas menghadiri mesyuarat Exco negeri di MABNA, di sini hari ini.

Katanya lagi, PAS terbuka untuk menerima mana-mana calon yang dipersetujui BN bagi menghadapi PH nanti.

Amar menambah, kerjasama dalam kalangan pembangkang akan diteruskan berdasarkan amalan sebelum ini.

“Cuma kerusi itu kerusi BN. Jadi keutamaannya pada BN. Kalau calon BN yang dipilih dan dipersetujui, kita akan terima dan sokong setakat yang boleh. Kebetulan pula kita pun tak ramai di situ,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 25/9/2019