Dedahkan hasil Kertas Konsultansi Rakyat (KKR)

SAYA  meneliti jawapan Menteri Pendidikan pada sidang dewan lepas berkenaan pengumuman hasil Kertas Konsultansi Rakyat (KKR) berkaitan isu pembayaran balik PTPTN yang sepatutnya dilakukan pada Ogos lalu.

Advertisement

Sehingga kini, Kementerian Pendidikan masih lagi belum menjelaskan formula Kerajaan bagi mengatasi masalah pembayaran hutang PTPTN. Ia jelas menunjukkan ketidakseriusan Kerajaan menyelesaikan isu ini.

Apatah lagi langkah Kerajaan dengan memberikan pelepasan taksiran cukai pendapatan kepada majikan yang membantu pekerja melangsaikan hutang tersebut tidak mendapat sambutan sama sekali.

Ini berdasarkan kenyataan Pengerusi PTPTN yang menjelaskan skim yang ditawarkan dari Ogos sehingga Disember depan hanya melibatkan enam syarikat yang membuat pembayaran kira-kira RM98,000 sahaja.

Tambahan pula, kenyataan yang dikeluarkan oleh Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) mengatakan bahawa kaedah pembayaran balik pinjaman yang dikemukakan pihak Kerajaan itu membebankan para majikan jelas menunjukkan mekanisme tersebut bukannya langkah terbaik yang sepatutnya dilakukan.

Justeru, sewajarnya pihak Kementerian Pendidikan segera mengemukakan hasil KKR serta penyelesaian yang tuntas bagi mengatasi isu ini. Malah, saya juga berharap agar formula baru tersebut tidak akhirnya memangsakan para peminjam.

“Islam Memimpin Perpaduan”

YB SHAHARIZUKIRNAIN ABDUL KADIR
Ahli Parlimen Setiu – HARAKAHDAILY 25/9/2019