Perlembagaan DAP canggah Perlembagaan Negara?

BERAKHIR sudah perbicaraan kes saman fitnah yang difailkan Menteri Industri Utama, Teresa Kok Suh Sim terhadap Bekas Ketua Pemuda PAS Selangor, Ustaz Syarhan Humaizi Abdul Halim berhubung penerbitan artikel di dalam akaun Facebook miliknya pada Januari lalu bertajuk ‘Teresa Kok Tidak Setuju Islam Agama Rasmi Persekutuan’.

Advertisement

Saman yang dikemukakan oleh Teresa atas dakwaan artikel tersebut mengandungi perkataan-perkataan fitnah antara lain membawa maksud beliau adalah anti Islam, bersifat perkauman, menyalahguna kuasa sebagai Menteri Kabinet serta seorang yang tidak beretika dan tidak boleh dipercayai.

Namun, Syarhan dalam penyataan pembelaannya yang difailkan pada 29 Mac lepas mendakwa artikel diterbitkannya adalah berasaskan fakta-fakta yang benar dan bersifat tindak balas politik yang munasabah terhadap DAP selain mendakwa ia tidak bersifat memfitnah plaintif (Kok).

Perbicaraan kes diadakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang berlangsung selama tiga hari bermula 23 September sehingga 25 September. Bagaimanapun, tarikh keputusan akan dibuat pada 4 Disember selepas Hakim membuat klasifikasi berhubung kes tersebut.

Sepanjang perbicaraan bermula sesama mendengar keterangan daripada plaintif, Teresa Kok melalui soal balas oleh peguam bela bagi pihak defenden iaitu Wan Rohimi Wan Daud, pelbagai persoalan balas yang diketengahkan oleh pihak pembelaan untuk menunjukkan bahawa kenyataan defenden itu (Ustaz Syarhan) adalah satu kesimpulan yang wajar.

Menurut Wan Rohimi, maksud kesimpulan wajar itu berasaskan kepada tindakan-tindakan yang dilakukan oleh DAP dan Teresa Kok antara salah seorang pemimpin parti itu yang dilihat jelas menentang Islam sebagai agama rasmi Persekutuan.

Mengikuti perbicaraan tersebut, antara isu yang dibangkitkan oleh peguam bela defenden iaitu, tentangan DAP terhadap tulisan Jawi dan khat dan penentangan DAP terhadap pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang menghalang Festival Arak diadakan di Kuala Lumpur.

Selain itu, turut dibangkitkan adalah percanggahan di antara Perlembagaan DAP merujuk kepada Fasa 2(2) dan (4) dengan perlembagaan Persekutuan Perkara 11(4).

Antaranya dalam Perlembagaan DAP merujuk kepada Fasa 2 (2); mengesahkan lagi dan memulihkan Perlembagaan Malaysia kepada rangka kerja Sekular yang asal, iaitu sebagai sistem undang-undang tertinggi negara yang menghormati nilai-nilai demokrasi dan hak asasi manusia dengan memberi hak yang saksama kepada setiap rakyat Malaysia.

Manakala Fasa 2 (4) berbunyi; mengiktiraf kebebasan beragama sebagai hak asasi yang merangkumi kebebasan pelbagai agama daripada diancam oleh undang-undang yang bersifat menindas dan akta-akta yang berunsur diskriminasi.

Namun, merujuk Perkara 11 (4) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan undang-undang negeri dan berkenaan dengan Wilayah-wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Undang-undang Persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama dalam kalangan orang yang menganuti agama Islam.

Sekiranya dirujuk Perlembagaan DAP sangat jelas parti itu memperjuangkan kesamarataan dalam beragama tanpa ada sebarang sekatan, bahkan mereka juga berjuang untuk membuang undang-undang yang dianggap menindas agama lain.

Sedangkan dalam Perlembagaan Persekutuan pula menyatakan bahawa agama lain tidak boleh disebarkan kepada penganut Islam.

Malah, DAP juga memperjuangkan rangka kerja sekular sebagai undang-undang tertinggi negara. Namun persoalan ini tidak dapat dijawab dengan jelas oleh plaintif.

Sementara itu, antara sikap DAP yang dilihat tidak senang dengan Islam apabila parti itu lantang menentang Rang Undang-undang 355 (RUU 355) dalam pemperkasakan Mahkamah Syariah di negara ini pada perbentangan kali pertama bulan Mei 2015 dan keduanya April 2017 di dalam Dewan Rakyat.

Apa yang mengejutkan apabila Teresa dalam soal balas bertegas mengatakan bahawa RUU 355 akan terpakai kepada bukan Islam, walaupun beliau telah dirujuk kepada teks asal RUU 355 yang menyatakan hanya terpakai kepada orang Islam sahaja.

Hal ini dirujuk kepada satu ‘posting’ Teresa di dalam Facebooknya yang memetik satu berita daripada Indonesia apabila seorang yang beragama Buddha telah dihukum mengikut hukuman syariah dengan dirotan di tempat umum.

Berikutan itu, Teresa menyatakan bahawa gambaran itu yang akhirnya akan terpakai kepada orang bukan Islam di Malaysia apabila RUU 355 dilaksanakan.

Walhal, menurut Wan Rohimi yang menjelaskan petikan keseluruhan berita yang dirujuk Teresa itu menjelaskan pesalah yang beragama Buddha tersebut meminta supaya beliau dihukum mengikut hukuman syariah, bukan pihak mahkamah yang jatuhkan hukuman itu.

Oleh itu, jelas pandangan beliau terhadap RUU 355 selama ini sangat mereset dan tidak berasas. Apakah tindakan beliau itu hanya bertujuan untuk menakut-nakutkan orang bukan Islam di negara ini supaya tidak menyokong perlaksanaan RUU 355?

Itu antara persoalan yang bermain dalam fikiran penulis apabila mendengar penjelasan Teresa semasa berada dalam kandang saksi.

Penulis juga melihat sepanjang perbicaraan berlaku, hanya Teresa bersama keluarga terdekat sahaja yang hadir ke mahkamah. Di manakah pimpinan DAP yang lain? Takkan mereka tidak memberi sokongan sedangkan kes ini melibatkan maruah parti mereka yang dianggap ‘anti Islam’ oleh Teresa sendiri.

Sekiranya mereka mendakwa itu hanyalah tuduhan fitnah, kenapa pimpinan tertinggi parti itu tidak turun bersama-sama untuk memberi sokongan kepada Teresa?

Apakah pimpinan tertinggi DAP berasa agenda mereka selama ini akan ‘terkantoi’? Apakah pimpinan mereka juga seolah-olah tidak bersetuju dengan tindakan saman Teresa ini? – HARAKAHDAILY 25/9/2019