Projek PSR: Gesa MESTECC kaji semula laporan EIA

SAYA menggesa pihak Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) menyemak dan mengkaji semula Laporan Penilaian Kesan kepada Alam Sekeliling (EIA) yang penuh dan lengkap terhadap projek tambakan laut di selatan Pulau Pinang (PSR) yang diperolehi dalam masa dua hari sahaja untuk meluluskannya.

Advertisement

Berdasarkan proses kelulusan EIA PSR kali kedua, pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) menerima laporan EIA pada 21 Jun 2019, Jumaat dan meluluskan laporan EIA ini pada 25 Jun 2019, Selasa yang dilihat mengambil masa dua hari sahaja waktu bekerja untuk meluluskan EIA selepas menerimanya daripada konsultan.

Justeru, perkara ini adalah tidak masuk akal dengan maklum balas rakyat khususnya dalam pameran awam yang disemak dalam tempoh dua hari sahaja. Laporan EIA tersebut adalah wajar disemak semula bagi memastikan benar-benar berkualiti secara menyeluruh dalam projek mega ini.

Saya berharap tiada pihak yang memberikan sebarang tekanan kepada pihak JAS dalam membuat sebarang keputusan termasuk meluluskan EIA PSR ini. Selain itu, JAS seharusnya menilai, menyemak dan meneliti semula laporan penuh EIA PSR untuk kali kedua ini sebelum diluluskan dengan tempoh yang secukupnya.

Hal ini demikian kerana, projek mega ini sekiranya diluluskan akan menyebabkan implikasi yang besar bukan sahaja kepada alam sekitar malah sosio-ekonomi termasuk menjejaskan sumber pendapatan kira-kira 5,000 nelayan di Pulau Pinang.

Saya berharap dalam kelulusan EIA PSR ini tidak ada sebarang unsur campur tangan politik selain Kerajaan perlu tulus dan berintegriti dalam membuat sebarang keputusan demi menjaga kebajikan dan kemaslahatan rakyat.

“Islam Memimpin Perpaduan”

YB CHE ALIAS HAMID
Ahli Parlimen Kemaman – HARAKAHDAILY 25/9/2019