Tolak ‘Makhluk Perosak’ pencetus ketegangan kaum

PARTI Islam SeMalaysia (PAS) berkali-kali telah menegaskan akan menyokong dan mempertahankan segala agenda perpaduan nasional dalam banyak kenyataan rasmi yang telah dikeluarkan oleh pihak kami.

Advertisement

Pasca Himpunan Perpaduan Ummah dan termerterainya Piagam Muafakat Nasional turut menyatakan dengan jelas agenda perpaduan nasional ini tanpa ragu-ragu.

Namun, terlalu banyak kenyataan berbaur perkauman dan mencetuskan sentimen agama yang dikeluarkan oleh DAP dan sekutu mereka. Mereka ini disifatkan sebagai ‘makhluk perosak’ yang menunjukkan sikap terbuka mencabar kedudukan Islam, hak istimewa orang Melayu Bumiputera dan Raja-raja.

Bukan itu sahaja, malah ada individu dan pimpinan politik yang menghina agama Islam seperti mempertikaikan pemakaian tudung dan aurat, mempersoalkan laungan azan, isu bacaan khutbah dan banyak lagi sehingga mempersoalkan ibadah khusus yang diamalkan oleh umat Islam.

Kemuncaknya apabila mereka secara terang campur tangan membantah cadangan untuk meminda Akta 355 Akta Mahkamah Syariah yang hanya melibatkan orang Islam. Mereka juga lantang menyuarakan supaya Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) diratifikasikan.

Kenapa mereka perlu mempertikaikan hal ehwal agama lain sedangkan Islam sendiri tidak menghalang penganut agama lain mengamalkan ajaran mereka?

Ini adalah sebahagian tindakan melampau ‘makhluk perosak’ yang boleh menggugat keharmonian negara yang telah dijalinkan selama ini.

Ibarat titisan hujan yang boleh mengakibatkan banjir yang besar, PAS menyuarakan kebimbangan tindakan mereka boleh menyebabkan bencana yang lebih besar kepada Malaysia yang kita sayangi ini jika tidak dibendung dengan segera.

“Islam Memimpin Perpaduan”

KAMARUZAMAN MOHAMAD
Ketua Penerangan
Parti Islam SeMalaysia (PAS)
25 September 2019 | 25 Muharam 1441 – HARAKAHDAILY 25/9/2019