4 formula capai kejayaan Muafakat Nasional

TAMBUN:  Muafakat Nasional yang telah dimeterai antara PAS dan Umno hendaklah berpegang kepada empat formula bagi mencapai hasrat yang dicita-citakan dari kerjasama kedua pihak.

Advertisement

Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ir Khairil Nizam Khirudin menegaskan perkara tersebut ketika berucap dalam Ceramah Perpaduan Ummah anjuran PAS-Umno Zon Tanjung Rambutan, di sini malam kelmarin.

“Pertama, prinsip kepada tauhid yakni kita mestilah bertauhidkan Allah dan meyakini bahawa di saat kita ingin memerintah sebuah kerajaan semuanya dengan izin Allah. Hanya Allah mempunyai kerajaan yang kekal.

“Jadi, sebuah kerajaan wajib memerintah dengan berpandukan kepada Al-Quran dan As-Sunnah sebagai asas yang utama. Kedua, Islam sebagai addin dan gaya hidup. PAS dari dulu memang komited meletakkan Islam sebagai keutamaan,” ujarnya menyungguhkan bukti kepada usaha PAS memperjuangkan RUU 355.

Tegasnya, kesatuan ini juga akan terus berkekalan sekiranya meletakkan prinsip akidah dalam diri sebagai perkara ketiga dengan sentiasa mengharapkan redha Allah serta menitik beratkan soal dosa, pahala, halal dan haram.

Menurut beliau, apabila prinsip ini ditekankan, maka tidak akan ada orang Islam yang berpecah dan melanggari batas syariat seperti minum arak, berjudi, berzina mahupun memperjuangkan gaya hidup Liberal dan lain-lainnya.

Bahkan ujar beliau, dengan formula keempat iaitu ketakwaan, Islam dapat ditegakkan secara penuh keadilan dan tidak akan ada yang hidup berpuak-puak hingga berlaku jurang dalam masyarakat, selain bangsa dapat hidup bebas mengamalkan agamanya.

Terdahulu, Ketua Penerangan Umno Malaysia, Dato’ Dr Shamsul Anuar Nasarah dalam ucapanhya menyifatkan betapa kekuatan dari kesatuan Umno dan PAS ternyata menakutkan Kerajaan PH yang memerintah hari ini.

Menurutnya, Muafakat Nasional akan memandu rakyat kepada keharmonian dan menjadi rahmat serta hadiah daripada Allah S.W.T kerana kekalahan buat BN akhirnya menjadi muhasabah untuk Melayu Islam bersatu. – *HARAKAHDAILY 26/9/2019*