Jangan seleweng sejarah Dr Burhanuddin al-Helmy

DR  Burhanuddin al-Helmy adalah Yang Dipertua Agung PAS mulai dari tarikh Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Ke-5 pada 23, 24 dan 25 Disember 1956. Dr Burhanuddin al-Helmy juga kekal istiqamah sebagai Yang Dipertua Agung PAS dan tidak pernah meletakkan jawatan apa lagi keluar dari PAS walaupun selepas beliau ditahan di bawah ISA pada 28 Januari 1965 hinggalah beliau meninggal dunia pada 25 Oktober 1969.

Advertisement

Pada 28 September 2019 ini satu majlis bernama “Majlis Memperingati 50 Tahun Dr Burhanuddin Al-Helmy” dijadual akan dilangsungkan di Auditorium Fakulti Ekonomi, Universiti Malaya, membariskan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Mohamad Sabu sebagai dua pembicara utamanya manakala pembicara susulannya pula adalah Dr Syed Husin Ali, Imran Mohd Rasid, Mohd Rashidi, IKRAM, ABIM, Imagined Malaysia, Gerak Budaya dan UTAM.

Apakah logiknya Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Presiden PKR dan Mohamad Sabu sebagai Presiden PAN mahu memperingati bekas Yang Dipertua Agung PAS? Atau apakah Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Presiden PKR dan Mohamad Sabu sebagai Presiden PAN kini mahu menukar pegangan politik mereka supaya menjadi selaras dengan pegangan politik yang dipunyai oleh Dr Burhanuddin al-Helmy?

Pegangan politik Dr Burhanuddin al-Helmy, yang menjadi teras kepada perjuangan PAS dalam era kemerdekaan negara, dapat dilihat jelas dalam salah satu ucapan terpenting beliau, iaitu ucapan dasar Yang Dipertua Agung PAS dalam Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Ke-6 di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur, pada 24 dan 25 Ogos 1957 yang kebetulannya saya mempunyai dalam simpanan saya salinan teks asalnya.

Mohon supaya Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Presiden PKR dan Mohamad Sabu sebagai Presiden PAN serta semua pembicara lain dalam “Majlis Memperingati 50 Tahun Dr Burhanuddin Al-Helmy”, dalam usaha mereka menumpang legasi Dr Burhanuddin al-Helmy, tidak cuba menyelewengkan sejarah perjuangan beliau atau tidak berlaku adil dengan hanya memilih juzuk tertentu dan memadamkan juzuk lebih besar perjuangan beliau.

Inilah pegangan politik sebenar Dr Burhanuddin al-Helmy yang disuarakan sendiri oleh beliau dan yang wajib dibicarakan oleh mana-mana majlis memperingati beliau.

“Merdeka” menurut istilah PAS

“Biarlah saya beralih kepada “merdeka” menurut istilah PAS. Dalam memperjuangkan cita-cita Islam itu memandang kepada kenyataan keadaan, maka kemerdekaan penuh bangsa dan nusa itulah tingkatan yang dilalui oleh PAS kerana kemerdekaan bangsa dan nusa yang sepenuhnya belumlah lagi bererti tercapainya cita-cita PAS, dan belumlah dihitungkan telah merdeka dengan sepenuhnya, melainkan setelah berjalan hukum-hukum Islam pada orang seorang, masyarakat dan negara, baharulah tercapai kemerdekaan yang dicita-cita oleh PAS.”

“Kemerdekaan bangsa dan nusa boleh bebas membuat undang-undang dan peraturan-peraturan, tetapi tidaklah disyaratkan undang-undang dan peraturan-peraturan itu sesuai atau tidaknya dengan Qur’an dan Sunnah Nabawiyyah. Maka pada pendirian PAS, tiap-tiap hukum yang tidak sesuai dengan Qur’an dan Sunnah adalah batal dan tidak sah, maka termasuklah Perlembagaan Negara yang tidak sesuai dengan Qur’an dan Sunnah adalah batal jua pada pandangan dan pendirian Islam.”

“Ahli-ahli hukum Islam berpendapat dan berpendirian, iaitu undang-undang rekaan manusia dibatalkan oleh Islam. Firman Tuhan dalam Surah al-Qasas Ayat 50 berbunyi, manakala undang-undang yang dibuat itu tidak terpakai pada sisi syariat Islam, maka dengan sendirinya undang-undang rekaan dan ciptaan manusia itu batal dengan sendirinya pada hukum.”

“Dalam Kertas Putih Perlembagaan telah disebut Islam telah diakui sebagai agama rasmi negeri ini, pengakuan ini tidak terpakai pada sisi hukum Islam kalau sekadar hanya dituliskan sahaja Islam sebagai agama rasmi tetapi baharulah boleh dipakai pengakuan agama Islam itu jadi agama rasmi ialah apakala aturan-aturan dan hukum-hukum serta undang-undang asasi yang didirikan oleh kerajaan itu dibina di atas Undang-undang Islam dan dari Islamlah keluar undang-undang itu dan daripada Islamlah diambil sesuatu hukum dan pengambilan hukum jua dikembalikan kepada Islam, Hakim yang menyuruh dengan hukum Islam dan melarang pun dengan hukum Islam.”

“Maka bagaimanakah sahnya Islam jadi agama rasmi, padahal pada tulisan sahaja sedang undang-undang rekaan manusia, pengambilan hukum dari undang-undang rekaan itu mengembalikan hukum kepada undang-undang itu dan keputusan pun diletakkan atas undang-undang itu. Lihat undang-undang PAS Fasal 4 Ceraian (1) berbunyi: “Adapun hukum yang tertinggi sekali dalam pegangan PAS ialah Kitabullah dan Sunnah Rasul serta Ijma’ Ulamak yang terang dan nyata, dengan tertakluk kepada hukum yang tertinggi itu adalah kekuasaan PAS dipegang oleh Majlis Mesyuarat Agung”.”

“Maka memandang kepada pendirian dan cita-cita perjuangan PAS masih jauh benar lagi kita daripada merdeka. Perjuangan dan jihad PAS mesti menempuh lebih dahulu sepenuh-penuh kemerdekaan nasional dan terdiri keadilan sosial dalam negara kita baharulah kita sampai kepada gerbang memperjuangkan sepenuhnya cita-cita dan hukum Islam itu kecuali jika dapat terus didirikan Perlembagaan Islam dan selagi umat Islam ini belum berperlembagaan dan menghukum bagaimana yang diturunkan Tuhan adalah mereka masih dipandang fasiq atau zalim.” – HARAKAHDAILY 26/9/2019