Muafakat Nasional bukan kepentingan berpihak

TAMBUN: Pemeteraian Piagam Muafakat Nasional oleh PAS dan Umno adalah demi menyelamatkan kaum Melayu, umat Islam serta negara ini tanpa sekelumitpun akan menafikan hak kaum dan agama lain di negara ini.

Advertisement

Yang DiPertua PAS Kawasan Tambun, Ustaz Salleh Said berkata, PAS dan Umno berpegang teguh bahawa penyatuan kedua parti bukan atas dasar kepentingan berpihak, tetapi demi Islam dan kesejahteraan bersama.

Beliau berucap demikian dalam Ceramah Perpaduan Ummah yang dihadiri sekitar 2,000 penduduk dan dilangsungkan di pekarangan Markas PAS Tanjung Rambutan, di sini kelmarin.

Sambutan tersebut menjadi isyarat sokongan dan perubahan politik penduduk setempat yang boleh diibaratkan seperti ‘Jual sutera, beli mastuli’ untuk menolak PH, sekali gus memilih PAS-Umno.

Malah, perkara itu diperkuatkan lagi dengan makluman oleh Ustaz Salleh betapa kedua pihak telah sepakat calon yang bertanding kelak adalah daripada keputusan dipersetujui bersama.

Ketua Umno Bahagian Tambun, Dato’ Aminuddin Hanafiah turut menegaskan bahawa pihaknya dipelbagai peringkat telah mengubah kesediaan menerima kerjasama Muafakat Nasional ini dengan hati terbuka.

“Persaudaraan kedua parti ini adalah atas dasar Islam. Hubungan Umno dan PAS bukan hubungan suami isteri seperti yang mereka (PH) kata. (Hubungan) Suami Isteri boleh bercerai, tetapi Umno-PAS tidak, kerana kita berkongsi darah yang sama.

“Hubungan Umno PAS ialah hubungan adik beradik,” tegasnya dalam ceramah dipengerusikan Ketua Penerangan PAS Tambun, Ustaz Rosli Azizan ini.

Turut sama adalah Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ir Khairil Nizam Khirudin dan Ketua Penerangan Umno Malaysia, Dato’ Dr Shamsul Anuar Nasarah serta Ketua Peneranga Muslimat PAS Malaysia, Dr Najihatussalehah Ahmad. – HARAKAHDAILY 26/9/2019