PAS-Umno tak bincang siapa akan jadi PM, TPM

BANGI: Muafakat Nasional dimeterai PAS dan Umno tidak langsung mensyaratkan untuk memegang kedudukan atau jawatan Perdana Menteri mahupun Timbalan Perdana Menteri.

Advertisement

Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad menegaskan, hal tersebut tidak menjadi perbincangan antara kedua-dua pihak, sebaliknya berfokus untuk menyelamatkan negara dan rakyat dengan Islam.

Perkara tersebut ditegaskan beliau dalam program Sembang Santai Bersama Naib Presiden PAS anjuran PAS Cawangan Sungai Tangkas dan Alam Sari dengan kerjasama Lajnah Penerangan PAS Kawasan Bangi.

“Yang kita bincang ialah, mesti letak Islam memimpin. Kita (PAS-Umno) berkawan, bersahabat, bukan kerana kuasa, (tapi) kerana Islam,” ujarnya pada majlis di Sungai Tangkas, 23 September lalu.

Jelasnya, orang Islam-Melayu tidak akan berpecah apabila berpegang kepada ‘tali’ Allah S.W.T yakni Islam yang menjadi asas penyatuan kedua pihak tersebut sebagaimana ayat 103 surah Ali Imran.

Program bertujuan menjelaskan isu-isu semasa itu turut menerangkan mengenai Muafakat Nasional dimeterai PAS dan Umno pada 14 September lalu yang berlangsung di PWTC, Kuala Lumpur.

Hadir sama pada majlis yang dibuka dengan dialog itu adalah Yang DiPertua PAS Bangi, Ustaz Mohd Shafie Ngah dan Ketua Muslimat PAS Bangi, Hamsatul Hamzah. – HARAKAHDAILY 26/9/2019  

IMG 20190926 WA0020

IMG 20190926 WA0021