Penyatuan yakinkan kaum lain dukung Muafakat

JOHOR BAHRU: Pemuda PAS dan Pemuda Umno Negeri Johor telah mengadakan pertemuan rasmi yang dilangsungkan di Pejabat Perhubunhan PAS Johor, Bandar Baru Uda, di sini kelmarin.

Advertisement

Detik bersejarah ini juga sebagai menzahirkan dukungan dari kedua-dua entiti sayap PAS dan Umno ini kepada agenda Penyatuan Ummah dalam mencapai Muafakat Nasional yang dimeterai.

Menurut Ketua Pemuda PAS Johor, Ustaz Ahmad Nawfal Dato’ Mahfodz, penyatuan ini mampu mengembalikan keyakinan semua kaum kepada Melayu untuk memimpin semula negara.

Tegasnya, hubungan tersebut bukan semata-mata untuk meraih kemenangan dalam pilihan raya akan datang, tetapi lebih kepada tanggungjawab terhadap kesejahteraan rakyat dan negara.

“Selepas dibohongi PH, rakyat mula mencari kekuatan kuasa politik. Malah kaum Cina sendiri turut terasa pembohongan ini, dari sudut ekonomi turut terkesan dengan kegagalan kawalan ekonomi oleh PH. Maka pastinya mereka mahukan suara yang kuat.

“Dengan Muafakat Nasional hasil dari Penyatuan Ummah ini, jelas memberi tawaran kekuatan yang akan membawa keyakinan bangsa untuk bersama. Jadi, ini juga bukti bahawa agenda ini bukan hanya terikat kepada (kaum) Melayu Islam sahaja, tetapi seluruh rakyat Malaysia,” ujarnya.

Oleh demikian katanya, Pemuda PAS dan Umno berusaha menzahirkan pertemuan dari penyatuan ini sebagai kekuatan untuk meneguhkan rasa tanggungjawab kepada mengembalikan Malaysia Sejahtera.

Tegas Nawfal dalam pertemuan bersama rakan sejawatnya Ketua Pemuda Umno Johor, Mohd Hairi Md Shah, keyakinan bersama rakyat pelbagai bangsa dan agama akan menyelamatkan kembali Malaysia ke landasan sebenar. – HARAKAHDAILY 27/9/2019

IMG 20190926 WA0045