Perkuat Muafakat Nasional, jangan sudah rasa selesa

TAMBUN: Ahli PAS dan Umno perlu meneguhkan kekuatan menerusi Muafakat Nasional dan tidak harus merasa terlalu selesa bahawa gabungan pengundi kedua pihak sudah nyata akan dapat mengalahkan Kerajaan PH.

Advertisement

Ketua Penerangan Muslimat PAS Malaysia, Dr Najihatussalehah Ahmad sebaliknya mengajak terutama kepada Pemuda dan Muslimat Muda selaku sayap perjuangan agar mengembleng sokongan pengundi muda.

Malah serunya, penggerak parti juga hendaklah menonjolkan diri di laman sosial sebagai medium mendekatkan diri dengan pengundi disamping penyampaian maklumat dilaksanakan secara berterusan kepada mereka.

Beliau yang juga Ketua Muslimat PAS Negeri Perak menegaskan perkara tersebut dalam Ceramah Perpaduan Ummah yang diadakan di pekarangan Markas PAS Tanjung Rambutan, di sini malam kelmarin.

Peringatnya juga, kepincangan yang berlaku dalam Kerajaan PH termasuk di negeri Perak seharusnya menyedarkan semua pihak agar tidak bertelagah sesama sendiri, sebaliknya menjalinkan bekerjasama.

Katanya, negara mesti diselamatkan dari dipimpin oleh golongan tidak bertanggungjawab di mana waktu ketika ini adalah masa Allah menguji keikhlasan PAS dan Umno dalam menegakkan agama Islam di bumi Malaysia.

“Mari kita hayati janji-janji kita sendiri kepada Allah seperti yang kita ungkapkan dalam bacaan solat iaitu segala amal hendaklah bertujuan semata-mata kerana Allah,” nasihatnya.

Beliau turut memperingatkan betapa penyatuan kedua pihak mesti berpaksi kepada ayat 103 surat Ali Imran iaitulah tuntutan berpegang kepada Islam yang telah digariskan Allah S.W.T di dalam al-Quran serta Hadis Rasulullah S.A.W. – HARAKAHDAILY 26/9/2019