Benih padi dimonopoli, pesawah jadi mangsa

BAGAN SERAI: Lebih 60 pesawah dari beberapa mukim di sini kecewa ekoran kelewatan bekalan benih padi bagi musim kedua pada tahun ini.

Advertisement

Pesawah terbabit mendakwa kelewatan mereka menabur benih padi mengikut jadual yang ditetapkan boleh menjejaskan kualiti dan kuantiti hasil pengeluaran padi musim ini.

Ahli Jawatankuasa Persatuan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSawah), Azhar Hashim berkata, bekalan benih padi yang mengikut jadual dan berkualiti adalah sangat penting kepada petani.

Kelewatan menerima bekalan benih padi akan menyebabkan petani gagal mengikut jadual taburan padi dan seterusnya akan menjejaskan pengeluaran hasil padi.

Katanya, kelewatan ini berpunca dari pihak memonopoli bekalan benih padi ini sehingga dijual dengan harga yang tinggi dan  mendesak agar pihak berkuasa menyiasat masalah ini dan mengambil jalan penyelesaian.

“Jadual taburan padi di fasa dua ini bermula pada 28 September hingga 17 Oktober tetapi kegagalan membekalkan benih padi sehingga hari ini menyebabkan sawah yang sudah dibajak mulai terbiar,” katanya.

Beliau ditemui selepas himpunan pesawah bagi mendesak bekalan benih padi dihantar segera, di Parit J, Matang Jelutong, baru-baru ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, Razman Zakaria berkata, pihaknya mendesak supaya pihak berkuasa memberi penjelasan dengan telus dan bertanggungjawab kepada masalah kelewatan benih padi ini.

Katanya, kegagalan benih padi ini tiba pada waktu yang tepat menyebabkan pesawah bakal menanggung kerugian.

Turut hadir,  Adun Selama, Ustaz Akmal Kamarudin dam Adun Alor Pongsu, Sham Mat Sahat serta Pengerusi Lajnah Asas Tani dan Alam Sekitar PAS Perak, Ustaz Muhammad Faisal Abd Rahman. – HARAKAHDAILY 27/9/2019   

IMG 20190927 WA0009

IMG 20190927 WA0010

IMG 20190927 WA0011