Bersihkan AGCM sebelum pembunuh Adib didakwa

KUANTAN: Dewan Ulamak PAS Negeri Pahang menyambut baik keputusan Mahkamah Koroner pagi ini yang memutuskan kematian Al Marhum Muhammad Adib adalah akibat dibunuh sekumpulan manusia.

Advertisement

Ketua Ulamak PAS Pahang, Ustaz Zuridan Mohd Daud berkata, ia sekali gus manafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa ia berpunca daripada kemalangan dengan jentera bomba.

Namun, pihaknya merasa sangsi untuk episod seterusnya sama ada pihak Peguam Negara mengendalikan pendakwaan terhadap kumpulan pembunuh itu dengan seadil-adilnya.

Media hari ini melaporkan, Mahkamah Koroner menyerahkan kes ini kepada peguam negara dan polis untuk menjalankan siasatan pendakwaan.

“Dalam hal ini keputusan Mahkamah Koroner menyerahkan kepada Peguam Negara dan Polis adalah keputusan yang betul. Sememangnya tugas menyiasat kes jenayah adalah kerja polis. Kerja mendakwa pula kerja Jabatan Peguam Negara Malaysia (AGCM).

“Namun rakyat keliru, adakah kes ini akan mendapat pendakwaan yang sewajarnya sedangkan kewibawaan Peguam Negara sendiri sedang diperhati dan dipertikai banyak pihak. Dalam perbicaraan mencari punca ini pun Peguam Negara sudah terpalit dengan bermacam-macam perkara.

“Dari awal lagi dia sudah kelihatan memberi isyarat bahawa kematian Adib bukan jenayah bunuh. Diikuti pula dengan permintaannya kepada pihak bomba supaya membatalkan perkhidmatan peguam yang mewakili jabatan itu,” pertikai beliau.

Nyata beliau, isu membabitkan Peguam Negara menyebabkan timbul kegusaran di pihak keluarga Allahyarham sendiri yang akhirnya mendorong mereka mengambil tindakan undang-undang terhadap Peguam Negara.

Di penghujung kes, diumumkan pula tindakan Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas itu dianggap telah menghina mahkamah sebagaimana lebih awal dinyatakan pihak Koroner.

Justeru katanya, dalam suasana institusi pendakwaan sedang berjerebu dengan tanggapan Peguam Negara yang tidak berwibawa,  rakyat tidak yakin bahawa kumpulan pembunuh itu akan dihadapkan ke muka pengadilan.

“Saya berharap Jabatan Peguam Negara perlu dibersihkan daripada Peguam Negara yang berjerebu sebelum kes pembunuhan Adib dibicarakan di mahkamah,” tegas beliau. – HARAKAHDAILY 27/9/2019