‘Itu sesuai dengan LGBT, kita bukan ahli LGBT’

MARANG: Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyifatkan, laporan akhbar berbahasa Cina, Overseas Chinese Daily News yang mengubah gambarnya dengan Presiden Umno, Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi itu ketandusan idea.

Advertisement

Menurutnya, perbuatan itu akan dinilai oleh masyarakat yang semua orang tahu tindakan tersebut tidak sesuai dengan PAS mahupun Umno.

Bahkan, kata beliau bukan dari kalangan LGBT yang melibatkan perkahwinan antara sejenis seperti digambarkan itu.

“Saya tak jadi ahli LGBT, tanya orang yang jadi ahli atau penasihat dia. Saya tak berkait dengan LGBT. Itu terpulang kepada dia, sepatutnya kena kepada orang (lain).

“Itu sesuai dengan LGBT dan kita bukan ahli LGBT, tak setuju dan tak sesuai dengan parti kita, dengan Umno pun tak sesuai. Kalau nak kahwin biar kena ‘sekufu’ dia.

“Mungkin mereka terdesak dan tak ada idea. Bila tidak ada idea, cari macam-macam idea. Saya tak layan dan saya tak ada kena-mengena dengan LGBT ini. Biar masyarakat menilai sendiri (perbuatan) itu,” jelasnya kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah dhuha di Masjid Rusila, hari ini.

Menurutnya, gambaran perkahwinan antara lelaki sama lelaki itu hanya melibatkan golongan LGBT yang tidak sesuai dengan pemimpin PAS dan Umno.

Minggu lalu, sebuah akhbar Overseas Chinese Daily News yang beroperasi di Sabah, menyiarkan laporan dengan gambar Presiden PAS dan Presiden Umno, diubah seolah-olah ‘berkahwin’ selepas berlakunya kerjasama Muafakat Nasional, pada 14 September lalu. – HARAKAHDAILY 27/9/2019