‘Kelantan Di Hati’ di pesawat AirAsia

KOTA BHARU: Slogan ‘Kelantan Di Hati dan I Love Kelantan’ akan tertera pada pesawat AirAsia sebagai usaha mempromosikan sektor pelancongan di Kelantan.

Advertisement

Langkah itu sebahagian kerjasama pengiklanan dan kempen Tahun Melawat Kelantan 2020 dengan syarikat penerbangan tambang murah terbabit.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan negeri, Mejar (B) Dato’ Md Anizam Ab Rahman berkata, usahasama terbabit pertama kali dilaksanakan.

“AirAsia akan menyediakan perkhidmatan pengiklanan menyeluruh dengan menggunakan aset pesawat seperti Aircraft Livery, Inflight Advertisement termasuk Luggage Compartment dan sebagainya.

“Sebanyak enam sektor penerbangan sehari dengan jangkaan seramai 700,000 penumpang serta 3.5 juta penonton sepanjang kempen tersebut berlangsung yang melibatkan negara-negara Asia,” katanya selepas majlis menandatangani perjanjian di Mabna MBI di Kompleks Kota Darulnaim di sini semalam.

Perjanjian itu membabitkan kerajaan negeri, AirAsia dan Laduni Service.

Hadir sama Menteri Besar, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob dan Penasihat Undang-undang Negeri, Dato’ Shahidani Abd Aziz. – HARAKAHDAILY 27/9/2019