Kilang plastik haram: Gesa ambil tindakan

alias hamid

ISU kilang plastik haram di negara ini masih lagi berlaku walaupun pelbagai langkah telah diambil. Persoalannya, sejauh mana keberkesanan tindakan yang diambil oleh Kerajaan benar-benar menyelesaikan isu ini daripada terus berlanjutan.

Advertisement

Pendedahan akhbar tempatan yang membongkarkan terdapat kira-kira 100 kilang kitar semula sisa plastik haram dan industri wujud di Gurun, Bukit Selambau, Semeling dan Tikam Batu di Sungai Petani. Hal ini mengakibatkan kesihatan rakyat Sungai Petani terjejas dengan pencemaran sungai dan udara yang berlaku. Sehingga kini, kilang plastik haram tersebut masih lagi beroperasi walaupun diambil tindakan.

Apatah lagi, tahun ini negara kita telah digemparkan dengan isu pengimportan sisa plastik di Pelabuhan Klang dan Pulau Pinang serta pengoperasian kilang sisa plastik import secara haram di Jenjarom, Selangor yang memberi kesan terhadap kesihatan rakyat dan alam sekitar. Kerajaan telah melakukan penguatkuasaan secara bersepadu dengan menutup kira-kira 100 kilang plastik haram pada suku pertama dan penghentian pengeluaran lesen  import (AP) serta-merta.

Saya menggesa Kerajaan bertanggungjawab sepenuhnya membanteras isu ini agar tidak menjadi semakin kritikal di negara kita. Mana-mana kilang haram yang didakwa “kebal undang-undang” seharusnya dipandang serius dan dihapuskan oleh Kerajaan agar tiada sebarang unsur campur tangan politik dan individu berkepentingan dalam hal ini.

Operasi penguatkuasaan dan pemantuan secara bersepadu seharusnya dilaksanakan secara berterusan dengan kerjasama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi mana-mana kilang haram yang tidak mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan selain mencetuskan risiko kepada kesihatan penduduk setempat dan alam sekitar tanpa berkompromi.

Kerajaan juga seharusnya peka dan cakna terhadap sebarang maklum balas dan aduan sama ada orang awam yang terjejas dengan operasi kilang haram mahupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar di negara ini dengan segera mengambil tindakan dan mengenepikan sebarang kefahaman politik demi menjaga kebajikan rakyat tanpa mengira agama dan bangsa.

“Islam Memimpin Perpaduan”

YB CHE ALIAS HAMID
Ahli Parlimen Kemaman – HARAKAHDAILY 27/9/2019