Teknologi senjata: Saintis cerdik VS Penguasa jahat

TEKNOLOGI yang meranapkan peradaban

Advertisement

Sebelum ini saya ada menulis satu artikel tentang penguasaan robot terhadap manusia [1]. Tidak dinafikan bahawa ada sudut pandang sisi yang lain, yang cuba menolak pertembungan manusia dan robot, tetapi menselarikannya. Walau bagaimanapun manusia yang malas berfikir, secara logiknya mudah dikuasai robot.

Tulisan kali ini lebih menjurus kepada teknologi yang menjahanamkan dunia, membunuh jutaan nyawa dan meranapkan peradaban. Benar sepertimana firman Allah S.W.T;

وَإِذۡ قَالَ رَبُّكَ لِلۡمَلَـٰۤىِٕكَةِ إِنِّی جَاعِلࣱ فِی ٱلۡأَرۡضِ خَلِیفَةࣰۖ قَالُوۤا۟ أَتَجۡعَلُ فِیهَا مَن یُفۡسِدُ فِیهَا وَیَسۡفِكُ ٱلدِّمَاۤءَ وَنَحۡنُ نُسَبِّحُ بِحَمۡدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَۖ قَالَ إِنِّیۤ أَعۡلَمُ مَا لَا تَعۡلَمُونَ

“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi”. Mereka bertanya (tentang hikmah ketetapan Tuhan itu dengan berkata): “Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?”. Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya”.”

(al-Baqarah: 30)

Gila kuasa adalah salah satu penyakit generasi terdahulu, menyebabkan manusia berperang dan terus berperang. Kalau dahulunya peperangan bertujuan untuk peluasan empayar sedangkan tanah jajahan yang sedia ada pun belum penuh untuk diduduki. Penyakit ini menyebabkan pemerintah negara mengerahkan rakyat-rakyat untuk berperang, mempertahankan kuasa pemerintahan mereka sekalipun mereka itu cuma gilakan kuasa.

Bermula dengan pergaduhan, disambung dengan persenjataan

Peperangan bermula dengan pergaduhan sejak zaman Nabi Adam A.S, iaitu antara Habil dan Qabil. Qabil mengambil sikap untuk membunuh Habil, manakala Habil bersikap ingin pertahankan diri, berdasarkan firman Allah S.W.T;

۞ وَٱتۡلُ عَلَیۡهِمۡ نَبَأَ ٱبۡنَیۡ ءَادَمَ بِٱلۡحَقِّ إِذۡ قَرَّبَا قُرۡبَانࣰا فَتُقُبِّلَ مِنۡ أَحَدِهِمَا وَلَمۡ یُتَقَبَّلۡ مِنَ ٱلۡـَٔاخَرِ قَالَ لَأَقۡتُلَنَّكَۖ قَالَ إِنَّمَا یَتَقَبَّلُ ٱللَّهُ مِنَ ٱلۡمُتَّقِینَ (٢٧) لىِٕنۢ بَسَطتَ إِلَیَّ یَدَكَ لِتَقۡتُلَنِی مَاۤ أَنَا۠ بِبَاسِطࣲ یَدِیَ إِلَیۡكَ لِأَقۡتُلَكَۖ إِنِّیۤ أَخَافُ ٱللَّهَ رَبَّ ٱلۡعَـٰلَمِینَ

“Dan bacakanlah (wahai Muhammad) kepada mereka kisah (mengenai) dua orang anak Adam (Habil dan Qabil) yang berlaku dengan sebenarnya, iaitu ketika mereka berdua mempersembahkan satu persembahan korban (untuk mendampingkan diri kepada Allah). Lalu diterima korban salah seorang di antaranya (Habil), dan tidak diterima (korban) dari yang lain (Qabil). Berkata (Qabil):” Sesungguhnya aku akan membunuhmu!”. (Habil) menjawab: “Hanyasanya Allah menerima (korban) dari orang-orang yang bertaqwa; (27)

“Demi sesungguhnya! Jika engkau hulurkan tanganmu kepadaku untuk membunuhku, aku tidak sekali-kali akan menghulurkan tanganku kepadamu untuk membunuhmu. Kerana sesungguhnya aku takut kepada Allah, Tuhan Yang mentadbirkan sekalian alam; (28)

(al-Maidah: 27- 28)

Sikap ingin bergaduh, cari pasal, tidak puas hati, berselisih dan sebagainya mungkin sudah menjadi lumrah hidup manusia. Justeru pada zaman permulaan tamadun, manusia bergaduh atau bertempur mungkin hanya bersenjatakan batu, kemudian berubah dengan persenjataan besi, dalam bentuk objek tajam dan sebagainya.

Selain penggunaan pedang, di dalam kitab sejarah menceritakan bahawa Nabi Ibrahim A.S dilontar ke dalam api dengan menggunakan manjanik yang merupakan teknologi persenjataan zaman tersebut. Manakala Nabi Daud A.S membunuh Jalut dengan menggunakan lastik. Di dalam Hadis Nabi Muhammad S.A.W pernah bersabda menggesa ummat Islam menguasai panah atau lembing (الرماية).

Di dalam Tafsir Ibn Kathir menafsirkan ayat 61 Surah al-Anfal menukilkan Hadis Nabi S.A.W bahawa kekuatan itu ada pada panah atau lembing. Al-Qurtubi menukilkan tafsiran Ibn Abbas sebagai persenjataan dan kekerasan. Bahkan Orang Yahudi di era permulaan Zionis pernah memikirkan langkah-langkah menguasai dunia, mengembalikan konsep Pemerintahan Bani Israel ketika zaman Nabi Daud A.S dan Nabi Sulaiman A.S. Pemerintahan Bani Israel ketika itu adalah menguasai dunia selepas Zaman Kegemilangan Babylon.

Antara kunci yang mereka dapati melalui kajian mereka, Nabi Daud A.S diberikan mukjizat melenturkan besi manakala Nabi Sulaiman A.S boleh berkomunikasi dengan binatang. Lalu mereka simpulkan bahawa kunci kepada penguasaan dunia ialah penguasaan terhadap besi (kimia) dan telekomunikasi selain penguasaan terhadap Palestin.

Kegelapan Eropah dan ketamadunan Islam

Ketika zaman kegelapan Eropah antara kurun ke 4 hingga 14 Masihi menyaksikan bagaimana Eropah terhalang daripada kecerdikan. Masyarakat dibina di atas dasar mistik, kepercayaan karut, khurafat dan banyak lagi. Masyarakat dipaksa menerima bulat-bulat isi Bible yang telah dimanipulasi. Para cendikiawan dan ahli falsafah diseksa dan dibunuh.

Beberapa kurun sebelum Kebangkitan Eropah (Reinansance) pada kurun ke 17, di sebelah Asia Barat, ummat Islam mengecapi kemodenan yang luar biasa khususnya di zaman al Abbasiah (750-1258 Masihi) yang berpusat di Baghdad. Di awal zaman Abbasiah lagi karya-karya ahli falsafah Yunani diterjemah dan mendapat sambutan oleh Khalifah sendiri.

Lahir di zaman itu tokoh-tokoh falsafah Islam yang terkemuka dengan teknologi-teknologi ciptaan mereka membangunkan peradaban. Teknologi kenderaan mereka sudah memulakan eksperimen membina kapal terbang. Enjin stim sudah dicipta. Perubatan dan pembedahan sudah dimulakan. Bahan kimia dan rumus-rumusnya dihasilkan untuk manfaat manusia.

Manakala senjata api dikatakan mula digunakan pada abad ke-10 iaitu gambaran terawal senjata api seperti tombak api pada panji-panji sutera digunakan di Dunhuang di sebelah China. Seterusnya pada 1100, bom berbentuk pasu dengan api dan peluru meriam dicipta di Sichuan. Teknologi ini hasil manipulasi daripada bahan kimia antaranya nitrat, gangsa dan sebagainya.

Kegemilangan Abbasiah dan keruntuhannya

Zaman Kegemilangan Islam ( The Golden Age Of Islam ) pada mulanya diselarikan dengan kekuatan kerajaan dan penguasaan politik. Pendekar-pendekar zaman itu seperti Imadud Din Zinki, Nuruddin Zinki, Salahuddin al Ayyubi dan ramai lagi. Empayar Benzyntine (Rom) yang terbina dengan kuasa gereja sejak dahulu semakin lemah, apabila mereka kalah dalam Perang Salib 1187 dengan Salahuddin al Ayyubi.

Rom Benzyntine memikirkan strategi bagaimana nak melemahkan Islam. Kajian demi kajian menghasilkan keputusan bahawa Ummat Islam mesti dijauhkan daripada al Quran dan Hadis. Lalu team Orientalis di”create“. Mereka berperanan untuk mengkaji ilmu-ilmu Islam dengan menyusup masuk ke dalam tamadun Abbasiah.

Di penghujung zaman al Abbasiah ummat Islam yang bertamadun ini mula dijangkiti dengan penyakit kelemahan jiwa. Di saat kelemahan jiwa ini merebak di kalangan Ummat Islam, para Orientalis semakin giat untuk mengkaji tentang teknologi-teknologi hasil ciptaan cendekiawan Islam. Banyak kajian-kajian itu dicuri dan diseludup keluar oleh mereka.

Pada 1256 Masihi berlakunya kebangkitan Tatar, menjahamkan negara-negara Ummat Islam satu persatu. Baghdad yang menjadi pusat ketamadunan Islam menjadi sasaran Tatar. Para Orientalis semakin giat mencuri kajian-kajian para cendikiawan Islam dan dibawa ke Eropah untuk membina peradaban di sana.

Cetusan kebangkitan tamadun di Eropah

Setelah kejatuhan Baghdad, orang-orang Eropah mula membangunkan peradaban mereka berdasarkan hasil curian mereka dari Baghdad. Teknologi-teknologi hasil cetusan cendikiawan Islam disambung oleh mereka dengan pelbagai eksperiman. Bermula kurun ke-14, Eropah mula bangkit dengan gerakan pembaharuan (حركة الاصلاح) yang dicetuskan sedikit demi sedikit sehinggalah kebangkitan Renaissance pada era 17.

Mereka mula mencetuskan idea-idea, karya penulisan, kajian, dan pengembangan teknologi-teknologi membina peradaban Eropah yang baru. Manakala dunia Islam yang ranap pada 1258, kembali bangkit dengan Uthmaniyyah pada era 13. Menyaksikan pertembungan sengit dengan Rom Benzyntine. Ketika itu meriam tertua sudah dicipta pada 1288 digunakan di Acheng.

Gerakan-gerakan Emperialism yang bertebaran di serata dunia Islam sedikit sebanyak menjadi cabaran buat Khilafah Islam ketika itu. Masing-masing membina peradaban dan persenjataan. Bahan-bahan kimia yang terhasil daripada jutaan eksperiman mula digunakan secara legal. Meriam, pistol, senapang, peluru bom dan sebagainya mula dikomersialkan di bahagian ketenteraan.

Persaingan teknologi persenjataan semakin rancak

Antara yang tertulis di dalam sejarah, Meriam yang terbesar dicipta oleh Uthmaniah di zaman Sultan Muhammad al Fateh untuk meranapkan tembok Costantinople pada 1453. Selain itu, ketika Hang Tuah dihantar oleh Kerajaan Melaka untuk mendapatkan bantuan Uthmaniah, Melaka turut menerima meriam-meriam yang merupakan teknologi persenjataan yang agak berkesan ketika itu.

Pada kurun ke-17, di Eropah berlakunya Renaissance yang menamatkan riwayat pemerintahan bergereja. Melalui eksperimen-eksperimen kimia, mereka telah mula menggunakan senjata api, antaranya senapang dalam peperangan. Kebangkitan Eropah bersalutkan ideologi-ideologi yang menebal, menangkis konsep jumud cara bergereja. Muncul pemikiran Sekularism dan beberapa pemikiran yang lain.

Seterusnya Eropah bangkit sebagai kuasa besar (Pax Britannica) yang dikatakan bermula pada 1815. Persenjataan senapang “sekali tembak” yang digunakan sebelum ini mula dikembangkan. Pada 1818 revolver yang menyimpan banyak peluru mula dicipta dan digunakan dalam peperangan. Di era ini jugalah Uthmaniah yang asalnya menjadi kuasa besar, mula diserapi dengan agenda-agenda serangan pemikiran secara halus khususnya di zaman Sultan Abdul Majid 1823-1861 sepertimana yang menyerang pemerintahan bergereja Rom.

Teknologi persenjataan terbina di atas kekejaman

Imperialism masih diteruskan dengan teknologi-teknologi persenjataan yang semakin berkembang. Diiringi dengan serangan pemikiran yang dimainkan oleh Orientalism. Duit dan kekayaan juga dijadikan senjata untuk membeli maruah para Menteri Uthmaniah. Eropah terus membina tamadun dan teknologi sehinggalah berjaya membina kapal terbang pertama yang mula diterbangkan pada 1913. Ketika itu Uthmaniah sedang bergolak, menanti roboh.

Setahun kemudian, pada 1914 kapal terbang mula digunakan dalam peperangan. Kuasa-kuasa besar mula membangunkan teknologi ini khususnya ketika itu musim Perang Dunia Pertama. Dalam masa yang sama, era ini juga Eropah membangunkan persenjataan pistol dengan lebih serius untuk berhadapan dengan dunia pertempuran darat.

Dalam Perang Dunia Pertama, Jerman kalah teruk sekalipun berpakat dengan Kuasa Pusat yang disertai oleh Uthmaniah. Namun mereka bangkit selepas itu dengan kemunculan Nazi pada 1933. Amerika terkejut dengan kehebatan Nazi (Jerman) dengan projek rahsia pembinaan sebuah senjata yang dinamakan Bom Atom pada 1938, melalui penemuan-penemuan teori kimia.

Kejutan ini membuatkan Albert Einstein menghantar surat kepada Presiden Amerika pada Ogos 1939. Pada Disember 1941 bermulanya projek Bom Atom di Amerika, dinamakan Projek Manhattan. Persaingan dunia persenjataan sudah menjadi ancaman kepada kehidupan manusia. Projek Manhattan yang menggabungkan 3000 orang ahli fizik telah “membuahkan hasil” apabila menjahanamkan ketamadunan manusia dengan menjatuhkan Bom Atom di Hiroshima dan Nagasaki pada 1945. Bom itu diangkut dengan kapal terbang tentera.

Pembangunan Nuklear

Tamatnya Perang Dunia pertama menyaksikan Pax Americana bermula. Israel Zionis sebelum ini menyorok di belakang British, mula mengikut rentak peralihan kuasa. Sepertimana yang dinyatakan bahawa mereka berpegang dengan klu untuk menguasai dunia iaitu penguasaan terhadap besi dan telekomunikasi. Penguasaan terhadap kedua-dua ini diolah menjadi persenjataan moden.

Soviet yang muncul pada 1918-1921 antara kuasa besar yang menyaingi peradaban dunia. Terlibat dalam Perang Dunia II dan muncul sebagai pembangun dunia persenjataan pada zaman Nikita Khrushchev selepas kematian Stalin pada 1953. Era ini dikenali sebagai perlumbaan senjata Nuklear yang merupakan perkembangan daripada Bom Atom, khususnya di era Perang Dingin 1947-1991 yang “menggantikan” Perang Dunia Kedua.

Semasa era Perang Dingin, Amerika sahaja telah menguji sebanyak 1054 kali ujian nuklear, diikuti dengan soviet 715 kali ujian, Perancis 215 kali, UK 45 kali, China 45 kali dan beberapa buah lagi. Keghairan menguji nuklear telah menjahanamkan populasi dan ekosistem dunia. Antara yang terkuat pada 1961 diuji oleh Soviet dengan kekuatan 3000 kali ganda daripada Bom Atom di Hiroshima dan Nagasaki.

Disebabkan keghairahan ini, lahirlah satu perjanjian kawal pembangunan nuklear yang dikenali sebagai NPT pada 1968 yang melibatkan 5 buah negara. Namun di sana ada beberapa buah negara yang masih meneruskan pembangunan nuklear secara rahsia hingga ke hari ini, termasuk Israel sekalipun mereka menafikannya.

Era Perang Robot ( Robot Warfare )

Selain berkembangnya teknologi Nuklear, hari ini peperangan dalam bentuk tulisan, psywar, serangan ideologi dan sebagainya turut memainkan peranan ke arah Imperialism era baru. Kesenian itu berubah. Begitu jugalah berubahnya persenjataan moden apabila ketenteraan mula bersaing dalam penghasilan Drone.

Beberapa media pada 2017 membuat liputan tentang perkembangan Drone dalam ketenteraan menyifatkan bahawa dunia ketenteraan akan berubah daripada manusia kepada drone. Mungkin juga ke arah pengunaan teknologi Ai [1] yang lebih moden. Pertempuran antara negara bukan lagi secara fizikal. Tetapi perang antara robot.

Antara yang dinyatakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Duke Robotics, Raziel Atuar “Drone ini mampu mengubah senario peperangan bagi mengurangkan kadar kematian dan kecederaan para anggota”. Untuk mudah faham, mungkin boleh melihat contoh gambarannya melalui Filem Spiderman: Far From Home.

Selain itu, kita boleh saksikan bagaimana laporan ketenteraan Arab Saudi menyatakan bahawa Telaga Minyak Aramco yang diserang oleh Iran beberapa minggu lepas menggunakan teknologi Drone. Seolah-olah Drone Iran gagal dikesan oleh radar keselamatan. Kelihatan peperangan era baru dalam dunia persenjataan ke arah Perang Robot.

Nuklear yang bermula dengan kajian kimia yang dibangunkan di zaman kegemilangan Islam, kemudian disalahguna oleh Barat untuk penjajahan dan akhirnya menjadi kegilaan sang penguasa untuk menjahanamkan peradaban. Mungkinkah sampai satu masa, jutaan manusia terbunuh disebabkan teknologi robot dalam ketetenteraan sepertimana teknologi nuklear? Mungkinkah sejak puluhan tahun ini kita melihat rakaman UFO itu adalah sejenis teknologi Drone  atau Robot yang sedang diuji? Fikirkan.

[1] https://www.facebook.com/251201991739948/posts/1185323514994453/HARKAHDAILY 27/9/2019