Si gladiator tua

SELAIN  daripada kebijaksanaan para pemerintah Rom, ada satu kumpulan manusia yang turut memberikan jasa besar kepada Kerajaan Rom. Gladiator ialah watak seorang pahlawan yang gagah berani di zaman kegemilangan Empayar Rom. Mereka diperlukan bagi menguatkan pertahanan Rom pada zaman kegemilangan, sangat sibuk menyerang, melebarkan empayar di seluruh dunia. Dikatakan para sejarawan, gladiator antara tonggak utama Kerajaan Rom.

Advertisement

Gladiator, bukan semua dan setiap masa berada di medan perang. Ada juga gladiator yang tidak ke medan perang. Sesetengah mereka diperlukan sebagai penghibur kepada orang ramai dengan pertunjukkan kekuatan sesama mereka. Dikatakan juga, gladiator turut terlibat dalam ritual kematian seseorang ternama. Mereka akan bertarung bagi menghormati si mati. Dipercayai darah gladiator, boleh menyucikan ruh si mati. Dan, gladiator juga mempunyai sistem pemakanan yang teratur. Minuman pemberi tenaga di antara diet mereka.

Kita hanya membayangkan keadaan mereka dengan berbaju, bertopi besi, ada tombak, pedang, berseluar dalam, dengan belantan, bertubuh sasa dan yang paling biasa dilihat ialah perisai di tangan mereka. Kalau tidak berlawan dengan orang, mereka berlawan dengan singa. Situasi ini kita dapati daripada filem-filem yang ditayangkan, berkisar tentang mereka. Contohnya, The Gladiator  lakonan Russell Crowe tahun 2000, mencapai Box Office tanpa disangka.

Gladiator sudah pupus. Tetapi di zaman moden ini, kisah dua orang gladiator tua dan muda sedang bertarung hebat secara diam, tetapi dimaklumi seluruh rakyat. Gladiator yang agak muda, sering kali mengasak si gladiator tua. Semenjak keluar dari penjara, beliau sering dilihat menyucuk-nyucuk lawannya dengan hujung tombaknya. Walaupun tidak menyebabkan kematian, tetapi kesakitan, tidak selesa, rimas dan serabut, jelas dilihat di wajah gladiator tua itu.

Tetapi dengan senyuman, si gladiator tua menepis manja tusukan-tusukan nakal dari si gladiator muda itu. Terkadang si muda memanggil rakan-rakannya yang lain untuk turut membuat kacau kepada si tua. Sehingga kini, masih belum reda gangguan-gangguan itu kepada si tua. Ini kerana pemenang akan mendapat jawatan tertinggi ketua gladiator. Jika si muda menang, mungkin kerajaan juga akan dikuasai oleh gladiator-gladiator asing.

Walaupun tua, beliau tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda kelemahan. Banyak kali juga diperangkap si muda dalam gerakan-gerakan yang sengaja diperlahankannya. Sememangnya beliau tidak mengumpulkan lagi kekuatannya bagi membunuh lawannya. Tetapi hanya bersahaja melayan si muda yang sangat galak berkokok yang beliau akan menang perlawanan itu. Beberapa kali tersasul dia menggelarkan diri sebagai ketua gladiator ke-8.

Baru-baru ini, di bulan Ogos, seorang gladiator berbangsa asing, rakan si muda cuba menyergah si tua dengan ugutan gelaran ketua gladiator mesti diserahkan kepada si muda apabila memasuki Mei tahun hadapan. Ini bermakna, dalam masa sembilan bulan, peralihan kuasa, mesti berlangsung. Macam orang mengandung pula tempoh sembilan bulan. Mungkin si gladiator bangsa asing itu takut dikata orang jika meminta peralihan itu segera, takkan hari ini kahwin, terus beranak. Jadi tempoh sembilan bulan, sangat cukup untuk beranak.

Tidak segera dibalas apa yang dikatakan sebagai ugutan itu. Tetapi apabila si tua mejawabnya, ia menyentapkan seluruh pasukan si gladiator muda. Balas si tua, dia ada masa sehingga maksima tiga tahun sebelum menyerahkan jawatan itu. Bermakna, dia boleh memegangnya sehingga tahun pemilihan diadakan. Haaa, mendapat kau, maksudnya, si tua itu mahu jadi ketua gladiator sehingga tamat tempoh. Dia bukan jenis pedulikan ugutan, lawanlah dahulu sebelum menyerah.

Jawapan itu seperti si tua menahan tetakan lawan dengan perisainya dan tanpa dia menggunakan apa-apa senjata, hanya menolak kembali tetakan itu dengan perisai yang di tangannya. Rupanya kudrat si tua masih gagah, boleh menyebabkan si muda menyembam ke bumi, jika tidak menyusun kakinya dengan baik. Si tua masih tegap berdiri, tanpa menyerang dengan agresif, hanya bertahan santai.

Untuk si gladiator muda, walaupun tiga tahun itu tidaklah terlalu lama, pejam celik, pejam celik, maka habislah tiga tahun. Tetapi bimbang juga sebab dia tidaklah muda sangat pun, muda sikit dari gladiator tua itu saja. Nanti tahun pertama pejam, celik, tahun kedua pejam celik, tahun ketiga pejam, tak celik-celik. Senyumlah si tua, boleh sambung sepenggal lagi jadi ketua gladiator.

Si tua juga bijak menggunakan ruang yang ada bagi mengangkat kehebatan dirinya. Bila mana diadakan persidangan peringkat dunia, beliau akan membuat sesuatu yang dibenci oleh Israel dan Israel akan mengutuk beliau. Menerima kecaman dari Israel adalah satu nilai yang tidak terhingga bagi beliau. Makin dikecam, makin tinggi dia dipandang rakyat. Bagi si muda pula, beliau tersepit dengan keadaan agamanya yang dilihat liberal, tidak disanjung oleh rakyat.

Si muda tidak mahu mendesak si tua secara terang kerana jika dibuat begitu, maka terlihatlah akan kegelojohan dirinya. Walaupun sudah nyata diketahui, sekurang-kurangnya, dari segi politik, ianya biarlah tinggal anggapan. Berlainan jika dia benar berbuat gopoh, pastilah dia diakui sebagai perakus yang benar. Tetapi masa makin menghimpit. Jika tunggu tiga tahun lagi, mungkin beliau dan pasukan gladiatornya tidak lagi diterima menjadi ketua. Inilah dilema mereka.

Dengan gladiator-gladiator rakannya dari bangsa asing semakin dibenci oleh rakyat, tekanan menjadi semakin meninggi kepada si muda. Gladiator asing itu semakin menjadi gila dengan mahu mengubah banyak benda, tetapi dalam masa yang sama rakyat tahu mereka sedang menipu dan menjarah harta rakyat. Dengan harta rakyat seenaknya dijual, ada juga kepada negara bangsa mereka, rakyat pastinya tidak akan menyokong lagi si muda. Lebih baik menunggu si tua tamat tempohnya sehingga tiga tahun lagi.

Rakyat sudah bosan dengan si gladiator muda yang sering berlaku jahat dengan menipu rakyat. Mereka juga sering berkelahi sesama sendiri. Jadi kemungkinan sangat besar mereka akan kalah berlawan dengan si tua kerana rakyat pasti mahukan dia kalah. Paling menakutkan rakyat, selain daripada masalah-masalah itu, sesama gladiator itu, mereka sering bermanja-manjaan sesama sendiri. Oh lupa, gladiator ini semuanya dari kaum jantan.

Kini sudah ada pilihan pasukan gladiator baharu yang lain dengan slogan mahu menyelamatkan negara, menerima kesan besar dalam hati rakyat. Gabungan gladiator asal tempatan akan memastikan negara akan selamat di bawah jagaan mereka. Dengan segala kekuatan, mereka akan bertembung buat pertama kalinya di gelanggang. Kedua-dua si gladiator tua dan muda akan dihumban insyaAllah.

MOHD NASIR ABDULLAH

28 September 2019 – HARAKAHDAILY 28/9/2019