Yakin pada muafakat demi membina Malaysia berjaya

ALOR SETAR: Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW menyatukan seluruh manusia pelbagai lapisan tanpa mengira batasan kaum dan agama.

Advertisement

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, berkata agama lain gagal menyatukan kaumnya sendiri malah sesama mereka berlakunya pembunuhan, peperangan dan tindas menindas.

“Yahudi sanggup membunuh kaum seagamanya, Kristian pula berperang sesama sendiri manakala India mengklasifikasikan penganutnya dengan pelbagai kasta,” ujarnya dalam ucaptama sempena Persidangan Muafakat Nasional Peringkat  Negeri Kedah yang berlangsung di Dewan Konvensyen TH Hotel, di sini pagi tadi.

Justeru itu, katanya peristiwa penyatuan kaum Ansar dan Muhajirin, Aus dan Khazraj, dalam keadaan orang Islam ketika itu minoriti membuktikan Nabi Muhammad SAW berjaya melakukan kerana keunikan agama Islam yang dibawa oleh baginda.

Tuan Guru Abdul Hadi juga mengingatkan hadirin bahawa Islam telah berkuasa sejak dahulu lagi dan agama itu bukan sekadar mengajar pemimpin dan penganutnya akan dosa dan pahala dan hukum-hukum dunia malah jauh merentasi masa mendidik umatnya akan balasan selepas mati.

Jelasnya lagi, dalam keadaan umat Islam minoriti Islam mampu memimpin apatah lagi di dalam keadaan umat Islam majoriti .

Namun, katanya yang penting ialah menyatukan umat Islam terlebih dahulu kemudian baharu mengajak kaum lain.

“Oleh itu kita ingin betulkan bahawa Muafakat Nasional ini tidak bersifat rasis malah jauh sekali mengabaikan kaum lain tetapi ia  diwujudkan untuk membetulkan keadaan dan situasi.

“Jangan takut PAS dan Umno menjalin permuafakatan atau membuat pakatan kerana fokusnya untuk membetulkan ketempangan yang berlaku selepas PRU ke-14 lalu,” ujarnya di hadapan para perwakilan kedua-dua parti.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan pemimpin sesebuah negara itu mestilah dari kalangan majoriti kaum di mana situsi di Malaysia mestilah dari kalangan orang Melayu Islam selain kebajikan dan hak bukan kaum lain tetap terbela sebagaimana wujudnya kontrak sosial untuk masyarakat majmuk menjelang kemerdekaan dahulu.

“Jentera kedua-dua parti sama ada Muslimat, Wanita, Puteri dan Ameerah perlu turun ke lapangan memahamkan mereka di peringkat bawah yang masih lemah fahaman politiknya.

“Yakinlah kepada permuafakat ini demi membina Malaysia berjaya,” katanya.

Sebelum berakhirnya majlis pada tengah hari tadi, Resolusi Permuafakatan Nasional Negeri Kedah diserahkan kepada kedua-dua Presiden parti sebelum ia dibaca oleh Setiausaha PAS Kedah, Ustaz Musaddak Ahmad dan Setiausaha Umno Kedah, Hashim Yahaya. – HARAKAHDAILY 28/9/2019