Adik ‘Komunis’ cuba mengajar Islam

“TERUS terang saya sebut, saya tolak yang berjiwa Sosialis, semalam sudah beritahu dengan telefon, pagi ini dengan surat. Ini kerana sejak zaman-berzaman apabila disebut Sosialis ia dikaitkan sebagai adik sedikit daripada Komunis,” kata almarhum Dato’ Bentara Setia Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat (TGNA), Mursyidul Am PAS yang juga MB Kelantan pada 10 Mac 2004, ditujukan secara terang kepada bekas Presiden Parti Sosialis Malaysia, Dr Syed Husin Ali.

Advertisement

Panahan TGNA yang sangat tajam itu, ditusuk tepat ke dada Dr Syed Husin, sejurus sebelum PRU11. TGNA menegaskan, beliau tidak mahu calon yang beliau yakin, tidak menepati syarat yang beliau kehendaki. Semua orang tahu betapa tegasnya TGNA dengan kriteria calon yang bertanding. Jangan kata idealogi yang jauh menyimpang dari Islam, calon merokok pun beliau tidak mahu berada dalam senarai calon-calon PAS. Dr Syed Husin, merajuk dan mengundur diri. Walaupun bukan calon PAS, tetapi TGNA jelas menunjukkan sikap tegasnya itu.

Sehingga kini, sepertimana Amanat Haji Hadi juga, kenyataan TGNA itu tidak pernah disanggah oleh mana-mana pihak berwajib ataupun empunya diri bagi mempertikaikan perkataan almarhum itu salah. Jelas membuktikan bahawa almarhum benar dalam memberikan misalan bahawa Sosialis adalah adik kepada Komunis. Dan kita maklum, semenjak awal penubuhan PRM (sebelum bubar kemudian pecah kepada PSM dan ada masuk PKR) dahulu dikenali sebagai Parti Sosialis Rakyat Malaysia (PSRM) dengan lambang kepala lembu, tiada pernah mereka memperjuangkan Islam sebagai dasar.

Mereka melaungkan keadilan sosial dan hal-hal yang lain yang mengutamakan nasib rakyat bawahan. Cuba merapatkan jurang si kaya dan miskin, tidak mahu pemimpin menindas rakyat. Itu bagus. Tetapi semua isu ini sudah ada dalam Islam dan diperjelaskan dengan terperinci. Malah praktikal yang ditunjukkan oleh pemimpin Islam terdahulu membuktikan keadilannya. Yang menjadi masalah ialah golongan Sosialis ini, tidak mahu melaksanakannya dengan kaedah Islam.

Pernah saya diberitahu oleh orang yang terpercaya, ada pemimpin PSM yang Islam, masuk ke masjid untuk bersolat sewaktu kempen. Di hadapan beliau, pemimpin PSM itu mengambil wuduk dengan menyepak-nyepak air paip bagi membasuh bahagian depan kakinya, langsung tidak dibasuh dan diratakan air ke tumitnya. Sedangkan Rasulullah mencelakakan tumit yang tidak terkena wuduk. Dan orang yang berwuduk itulah yang lantang melawan PAS dan Islam.

Dr Syed Husin dalam Majlis Memperingati Dr Burhanuddin Al-Helmy di Auditorium Fakulti Ekonomi Universiti Malaya, Kuala Lumpur 28 September 2019, mengatakan bahawa perjuangan PAS sekarang sudah tidak sama dengan PAS di bawah pimpinan Dr Burhanuddin al-Helmy dahulu. Beliau dipetik sebagai berkata:

“Perjuangan PAS sekarang dan dulu zaman Dr Burhanudin lain, masa dia ertinya ada progresif, ada sifat nasionalisme yang agresif dan mengiktiraf kedudukan keadilan sosial bagi golongan lain, agama lain, kaum lain dan sebagainya. Sekarang berbeza sama sekali, PAS sifat nasionalisnya kurang, sifat agamanya terlalu sempit, sifat anti kepada golongan bukan Islam, bukan Melayu kuat,” 

Dari kenyataan beliau ini, beberapa persoalan yang timbul, memerlukan penjelasan. Jika ketika zaman Dr Burhanuddin, Islam PAS itu bagus, mengapakah Dr Syed tidak menyertai PAS, bersama melawan Perikatan ketika itu? Atau adakah sememangnya Dr Syed benci dengan Islam semenjak dahulu lagi? Dr Syed hanya pandai memberikan komen, tetapi apabila tiba pada keperluan mempraktikkan Islam, mengapa Dr Syed lari, menjauh, menolak, tidak mahu, seperti jahil untuk melakukannya?

Apakah ‘PAS di zaman sekarang’ itu pula merujuk kepada era Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (TGHH)? Jika begitu, tahun 2004, tahun di mana Dr Syed ditempelak sebagai adik Komunis itu, adalah tahun di mana TGHH baharu menaiki takhta Presiden PAS selama dua tahun. Mursyidul Am tertakluk di bawah Presiden, dia entiti lain. MA dilantik, bukan dipilih perwakilan. Kuasa Presiden PAS adalah lebih besar dari MA. Jika ini rujukan Dr Syed, maka seharusnya kenyataan TGNA berkenaan ‘adik Komunis’ itu perlu dibalas dengan dalil-dalil, kerana ia berlaku di era ‘PAS di zaman sekarang’. Atau Dr Syed takut kerana almarhum TGNA masih disayangi rakyat?

Dan jika Dr Syed mahu mengelak bertembung dengan TGNA, beliau boleh mengatakan bahawa ‘PAS zaman sekarang’ ialah merujuk kepada zaman selepas meninggalnya TGNA. Jika begitu mengapa Dewan Himpunan Penyokong PAS masih kekal bersama PAS dengan pertambahan ahli? Jika agama yang diamalkan PAS sempit, carilah satu jemaah Islam yang boleh mengumpulkan sokongan golongan berbagai fikrah di dalamnya. Dalam PAS ada pengikut dari pemikiran Salafi, Pondok, Tabligh, ASWAJA, Habaib dan banyak lagi. Mereka boleh berkumpul bersama. Cubalah ajak mereka semua ini duduk bersama dalam PSM atau PKR bagi memperjuangkan Islam.

PAS pada era TGHH juga merangkul paling banyak kemenangan dalam PRU, sehingga pada satu masa mempunyai wakil kerajaan di empat buah negeri yang diperintah bersama. Manakala semangat Nasionalisme tidak kurangnya, kerana dasar cintakan negara inilah maka dimuafakatkan politik Islam dan Melayu bersama Umno. Telah dibuktikan puluhan tahun dahulu, jika Islam dan Melayu memerintah, maka selamatlah bangsa lain dan bukan sebaliknya seperti sekarang, bangsa Melayu Islam merasa sangat tidak selesa.

Satu pembohongan yang nyata jika Dr Syed menyatakan bahawa PAS sekarang terlalu kuat bersifat anti bukan Melayu Islam. Kerajaan di Malaysia, berasaskan parti yang memerintah. TGHH tidak pernah menghalang Kerajaan Terengganu di bawah PAS, daripada memberikan apa-apa bantuan kepada golongan bukan Melayu Islam walaupun PAS hanya mendapat lima peratus keseluruhan undi mereka. Sama seperti ketika TGHH menjadi MB, beliau banyak meluluskan peruntukan kepada kaum Cina. Tiada isu dendam antara kaum. Menantu TGHH juga seorang Cina.

Jadi sekarang kita lihat bagaimana adik kepada Komunis ini, ingin mengajar PAS apa yang dia faham tentang Islam sebenar dengan memberikan bandingan penuh kepalsuan. Masih belum puaskah Dr Syed bersama rakan-rakan menipu ketika PRU dahulu, hinggakan sekarang masih menyambung penipuan tanpa sedar dirinya yang sudah sangat hampir dengan lubang kubur? Janganlah Dr Syed hinakan diri sendiri dengan pembohongan ini. Sudah diketahui umum siapakah Dr Syed dan PAS yang sebenarnya.

Saya sangat menghormati dan menyayangi rakan-rakan saya dari keturunan Rasulullah yang benar-benar beramal dengan al-Quran dan Sunnah. Mereka bermatian menjaga amanah agama moyang mereka, insan termulia, Rasulullah. Mari saya bawakan satu kisah. Apabila British mahu menewaskan Kerajaan Uthmaniyyah di Turki dahulu, British melaungkan slogan Arab untuk orang Arab. British mendekati gabenor Hijjaz iaitu daerah yang merangkumi dua kota suci, Sharif Hussein Ali. Beliau adalah seorang berketurunan Rasulullah S.A.W. Antara janji dan tarikan untuk Sharif berpaling tadah terhadap Uthmaniyyah ketika itu ialah wang dan pangkat untuk menjadi Raja di Hijjaz.

Dalam masa yang sama, British melalui wakilnya Lawrence of Arabia, turut menemui keluarga Saud dengan janji-janji harta dan pangkat. Setelah Uthmaniyyah dikalahkan British dengan bantuan orang Islam, Sharif Hussein hanya mendapat Jordan dan bukannya Hijjaz. Wang yang diperolehi juga tidak sebanyak yang dijanjikan. Sebaliknya keluarga Saud, mendapat Arab Saudi sekarang. Sharif Hussein sangat malu. Beliau kemudiannya dikenang sebagai keturunan Rasulullah yang berkhianat. Adakah Dr Syed Husin juga mahu dikenang sebegitu?

Tragisnya apabila Dr Syed menipu, jari telunjuknya menuding yang PAS sekarang sudah lari tempo Islamnya berbanding ketika zaman Dr Burhanuddin, beliau lupa yang tiga lagi jarinya mengarahkan kepada dirinya, bahawa dia telahpun menanggalkan pakaian Islam yang suci dan mulia kurniaan moyangnya Rasulullah S.A.W dengan menggantikannya dengan pakaian Sosialis yang hina dina itu. Sedangkan Rasulullah berpesan, tidak akan sesat selama-lamanya jika kita berpegang dengan dua perkara, al-Quran dan Sunnah Baginda.

MOHD NASIR ABDULLAH

29 September 2019 – HARAKAHDAILY 29/9/2019