Lonjakan Muafakat Nasional bakal menangi PRU15

TELUK INTAN: Ahli dan pimpinan PAS di seluruh peringkat harus menjadikan Muafakat Nasional antara PAS dan Umno sebagai lonjakan untuk mempelopori perpaduan dalam sistem demokrasi.

Advertisement

Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad berkata, berdasarkan pemerhatian dan kertas perancangan agenda tersebut menunjukkan petanda baik bahawa barisan pembangkang akan dapat menawan Perak pada PRU15.

Suntikan semangat itu dinyatakannya ketika merasmikan Jamuan Makan Malam Kali Kelima untuk mengumpul dana KOMPASTI di Dewan Wak Johar, di sini malam tadi.

Pun begitu, beliau mengingatkan seluruh anggota parti agar tidak merasa dengan keadaan tersebut, sebaliknya sedar bahawa PH akan sentiasa melakukan pelbagai cara untuk menggagalkan cita-cita itu.

Jelas beliau yang juga bekas Ahli Parlimen Bukit Gantang, seluruh anggota parti perlu bersedia menghadapi serangan dalam beberapa isu yang sedaya upaya untuk mengganggu kelancaran kerjasama ini.

Seluruh peringkat parti juga seru beliau, perlu patuh melaksanakan dasar dan strategi yang dirangka oleh PAS Pusat bagi memastikan usaha menawan beberapa negeri diperintah PH direalisasikan.

Tegas beliau, kerjasama antara PAS dan Umno akan terus melangkah maju meskipun terdapat pihak terutama pemimpin PH mempertikaikan rasionalnya. – HARAKAHDAILY 29/9/2019  

IMG 20190929 WA0045

IMG 20190929 WA0047