Muslimat Johor buktikan kemahiran berdakwah

SIMPANG RENGGAM: Lajnah Dakwah Dewan Muslimat PAS Negeri Johor telah mengadakan Kursus Metodologi Dakwah di Markas PAS Simpang Renggam, Jalan Kampung Sahari, di sini kelmarin hingga semalam.

Advertisement

Kursus ini diadakan bertujuan memberikan pendedahan kepada ahli lajnah mengenai pelbagai kaedah berdakwah terutamanya disasarkan kepada mad’u dalam masyarakat bukan Islam.

Program ini dianjurkan dengan kerjasama Multiracial Reverted Muslim yang mempunyai pengalaman luas dalam kerja-kerja dakwah di Malaysia.

Sepanjang kursus, para peserta didedahan mengenai cara mendekati masyarakat bukan Islam dengan penuh hikmah, menerangkan keindahan Islam dan sekali gus mengajak mereka memeluk agama Islam.

Sesi praktikal di Hentian Bas Pekan Simpang Renggam merupakan aktiviti yang paling mengujakan kepada para peserta dengan mengalami sendiri ‘pengalaman’ berdakwah.

Mereka dapat mempraktikkan teori yang dipelajari dengan tunjuk ajar secara langsung dari pembimbing Multiracial Reverted Muslim, Muhammad Azim Abdullah Suhaimin.

Menurut Ketua Lajnah Dakwah Dewan Muslimat PAS Johor, Sabariah Mohd Amin, program ini dapat menjadikan para peserta lebih fokus dan bersistem dalam kerja-kerja dakwah.

“Mereka dapat keluar dari kepompong takut dan kurang yakin kepada lebih berani dan bersemangat untuk menyebarkan kebenaran Islam.

“Kita akan pastikan program dakwah sebegini akan sentiasa berjalan di semua kawasan di Johor ini bagi memastikan risalah Islam terus berkembang,” ujarnya penuh optimis. – HARAKAHDAILY 29/9/2019    

 

IMG 20190929 WA0034

IMG 20190929 WA0035

IMG 20190929 WA0036

IMG 20190929 WA0037