PAS Masjid Tanah susun strategi Muafakat Nasional

MASJID TANAH: PAS Kawasan Masjid Tanah telah mengadakan sesi permukiman selama dua hari melibatkan seluruh kepimpinan di Ismah Beach Resort Pantai Padang Kemunting, di sini yang berakhir semalam.

Advertisement

Permukiman yang memfokuskan penyusunan strategi untuk menghadapi PRU15 bersama rakan ta’awun iaitu Umno ini telah dikendalikan Ahli Jawatankuasa Lajnah Dakwah PAS Pusat, Mohd Razali Moksim selaku fasilitator.

Pesuruhjaya PAS Negeri Melaka, Ustaz Kamarudin Sidek dalam ucapan perasmiannya menyeru agar saranan Presiden PAS supaya pengisian dalaman dan luaran diseimbangkan pada kadar 30 dan 70 peratus direalisasikan.

Beliau turut mengingatkan bahawa Muafakat Nasional antara kedua parti adalah menuju kepada usaha mengembalikan kuasa politik Islam dan Melayu di mana setiap kawasan berperanan menjayakan agenda ta’awun.

Yang DiPertua PAS Masjid Tanah, Ustaz Imran Abdul Rahman pula dalam ucapan penutupnya menyeru iltizam dan komitmen seluruh anggota jawatankuasa untuk memberikan ‘kerja luar biasa’ ke arah kejayaan dihasratkan.

Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka turut berpesan agar semua Ahli Jawatankuasa selaku pimpinan untuk menjaga hubungan dengan Allah S.W.T sebagai kunci kepada segala usaha dilakukan.

Program diakhiri bacaan ikrar oleh Ketua Pemuda PAS Masjid Tanah, Ustaz Abu Naufal Samsuddin yang juga Timbalan Ketua Pemuda PAS Melaka. – HARAKAHDAILY 30/9/2019