Pesuruhjaya PAS Perlis dilapor kritikal

KANGAR: Keadaan Pesuruhjaya PAS Negeri Perlis, Mohd Shukri Ramli yang masih ditempatkan di unit rawatan koronari (CCU) Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini dilaporkan kritikal.

Advertisement

Ketua Penerangan PAS Perlis, Dr. Saifizi Saidon berkata, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sanglang itu diletakkan di bawah pengawasan rapi di CCU hospital berkenaan dengan hanya keluarga terdekat sahaja dibenarkan melawat.

Katanya, doktor menasihatkan mana-mana pihak  yang ingin melawat beliau diminta menangguhkannya sehingga dimaklumkan kelak.

“PAS Perlis juga akan sentiasa mengemas kini keadaan semasa beliau (Mohd Shukri) serta meminta orang ramai agar tidak membuat, menyebar atau mempercayai sebarang maklumat yang datang bukan daripada sumber rasmi parti.

“Semua pihak juga diseru agar dapat terus mengadakan solat hajat serta mendoakan kesihatan beliau,” katanya di sini hari ini.

Mohd Shukri malam tadi telah rebah ketika berucap di Ceramah Muafakat Nasional di Dewan 2020 di sini, dipercayai akibat serangan jantung.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.10 malam itu, beliau sebagai penceramah pertama ketika itu sedang memberi kata-kata aluan memperkenalkan barisan kepimpinan tertinggi PAS dan Umno sebelum secara tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri.

Berikutan itu,  Mohd. Shukri telah diberi bantuan pernafasan oleh Unit Medik, Jabatan Amal Malaysia sebelum ambulans Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) membawanya ke HTF lima minit kemudian. – HARAKAHDAILY 30/9/2019