Dividen LTAT 2018 sangat mengecewakan

KUALA LUMPUR: Pengumuman dividen Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) bagi tahun 2018 yang hanya sekadar dua peratus dibandingkan pada tahun 2017, kadar dividen yang diberikan adalah 12.5 peratus iaitu enam kali ganda berbanding tahun kewangan 2018 sangat mengecewakan.

Advertisement

Kekecewaan itu turut dirasai Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM) dengan menggesa Menteri Pertahanan memberikan alasan yang kukuh bersama fakta berkenaan sebab-sebab utama pendapatan dan pelaburan yang lembab.

shahirKetuanya, Shahir Adnan berkata, LTAT mempunyai misi penting untuk mewujudkan faedah persaraan dan sosioekonomi yang bermutu tinggi untuk anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui pelaburan yang berhemat dan menguntungkan.

Katanya, Boustead dan Affin Bank merupakan dua aset terbesar LTAT yang tidak pernah rugi sejak tahun 2013.

“Menteri Pertahanan dan Menteri Kewangan perlu memberikan penjelasan bagaimana pelaburan LTAT mencatat kerugian sejak PRU14 hingga hari ini dan alasan yang sama terus disuap kepada rakyat bahawa tempoh tiga tahun diperlukan untuk memulihkan ekonomi negara.

“Walhal ekonomi negara berkembang pesat sebelum PRU-14. Menariknya, hari ini LTAT menegaskan isu kedudukan kewangan tabung itu tidak mengandungi unsur salah laku jenayah,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Sehubungan itu, menggesa kerajaan Pakatan Harapan untuk tidak memberikan dividen yang rendah sebegini pada tahun hadapan kerana rakyat makin menderita dengan ekonomi yang makin teruk.

Dalam pada itu, jelasnya dividen 2 peratus ini seolah-olah menemplak wira-wira negara yang mempertaruhkan nyawa demi keselamatan negara.

LTAT ditubuhkan untuk memberikan faedah-faedah kepada pegawai dan anggota lain-lain pangkat ATM dan satu skim simpanan untuk Anggota Kerahan Angkatan Sukarela serta berperanan melaksanakan program-program latihan peralihan bagi anggota tentera yang akan atau telah bersara.

Di bawah skim persaraan, pencarum wajib mencarum 10 peratus daripada gaji bulanan kepada LTAT dan kerajaan akan mencarum sebanyak 15 peratus sebagai majikan. Di bawah skim simpanan pula, pencarum dibenarkan menyimpan sekurang-kurangnya RM25 sebulan. – HARAKAHDAILY 1/10/2019