Ke mana DAP hendak bawa negara ini?

PASCA PRU-14 memperoleh sokongan padu daripada hampir keseluruhan masyarakat Tionghua menjadikan DAP besar diri. Ditambah penguasaan Parlimen lebih dari 40 kerusi menjadikan DAP parti dominan dalam Pakatan Harapan.

Advertisement

Kerakusan mereka melihatkan sebilangan besar Ahli Parlimennya menjawat jawatan Menteri dan Timbalan Menteri. Bahkan di setiap negeri yang dikuasai PH, Exco penting dalam Kerajaan Negeri telah dijawat oleh ADUN daripada DAP. Cengkaman semakin bertambah apabila Timbalan Speaker Dewan Rakyat dan beberapa Speaker Dewan Undangan Negeri turut dipegang oleh DAP iaitu di Negeri Perak dan Selangor.

Pelbagai isu timbul melibatkan pemimpin DAP baik di peringkat Nasional mahupun Negeri. Lihat sahaja kes-kes yang melibatkan pimpinan DAP di Perak, belum reda isu ADUN Tronoh dari DAP yang disiasat kerana kes jenayah rogol, timbul belbagai isu yang melibatkan pemimpin DAP yang seringkali mencetuskan isu perkauman, menyentuh sensitiviti Islam, sentiasa mengapikan hubungan antara kaum dan pihak Istana. Meskipun DAP cuba menafikan namun terdapat banyak bukti perkara itu berlaku.

Rakyat Negeri Perak menzahirkan kekhuatiran kerana terlalu banyak isu yang berlaku melibatkan pimpinan DAP Perak khasnya. PAS Perak melihat perlu wujud satu desakan kuat daripada rakyat supaya DAP perlu berhenti daripada memainkan isu sensitif dan mengekang perkara yang tidak baik yang  dibawa DAP dalam negara ini. Ibarat ingin menutup bangkai gajah dengan sehelai daun, segala perancangan dan tindakan mereka telah memperlihatkan dengan jelas akan membawa ancaman besar kepada negara ini.

PAS Perak berpandangan, isu dalaman DAP Perak pun mereka tidak dapat selesaikan, bagaimana pula mereka mahu membangunkan negara? Justeru, PAS Perak mendesak agar Adun-adun DAP di Perak yang terlibat dengan belbagai skandal dan tuduhan meletakkan jawatan kerana terlalu banyak isu yang berlaku di dalam negeri ini yang merosakkan nama baik Negeri Perak bahkan lebih menyusahkan rakyat.

Tanpa sikap prejudis dan semangat profesionalisme yang tinggi, pihak kerajaan perlu mengambil tindakan tegas terhadap pemimpin DAP yang terpalit isu rogol, pengganas dan penyalahgunaan kuasa, bagi menjamin kesejahteraan serta keharmoniaan negara Malaysia dan Negeri Perak tercinta.

YB HAJI RAZMAN ZAKARIA
Pesuruhjaya PAS Negeri Perak
Adun Gunung Semanggol – HARAKAHDAILY 1/10/2019