Memancing alternatif alih ketagihan gajet

KUALA KANGSAR: Ketagihan khususnya dalam kalangan anak muda terhadap gajet masa kini dengan permainan-permainan yang melalaikan harus disedar dan dibetulkan oleh para pendakwah.

Advertisement

Ketua Pemuda PAS Kawasan Kuala Kangsar, Ustaz Omar Adam berkata, keparahan yang berlaku pada generasi kini sudah di tahap membimbangkan kerana gajet amat mempengaruhi otak dan saraf.

“Malah, lebih merisaukan apabila remaja hari ini kurang berkomunikasi secara berdepan hinggakan soal ukhuwah tidak lagi diambil berat,” ujar beliau.

Beliau menyeru para pendakwah mempelbagaikan pendekatan ketika ditemui pada program Pertandingan GP Joran Klasik di Kolam Jeliang anjuran Jabatan Seni, Budaya dan Sukan Pemuda PAS Kuala Kangsar dan Pemuda PAS Cawangan Jeliang.

Pertandingan yang menggunakan batang joran klasik daripada kayu, buluh, batang bertam dan seumpamanya ini berjaya mendapat sambutan hangat daripada orang ramai.

Pengerusi DACS Pemuda PAS Kuala Kangsar, Ahmad Shah Farid hadir bersama Pengerusi Lajnah Dakwah Pemuda PAS Kuala Kangsar, Ustaz Bakri Rahim menyantuni lebih 50 peserta.

Pertandingan memancing ini menjadi satu inisiatif Pemuda PAS Kuala Kangsar dalam usaha ‘menangani’ kelekaan dan ketagihan generasi kini terhadap gajet. – HARAKAHDAILY 1/10/2019

IMG 20191001 WA0002