ALHAMDULILLAH setelah beberapa hari ‘mengejar’ rakan-rakan dari Mesir, saya berjaya ‘menangkap’ lima orang yang sudi berkongsi pengalaman mereka berkenaan apa yang terjadi di negara mereka sekarang. Tetapi nama dan gambar, mereka tidak mahu disiarkan. Bagi menghormati kehendak mereka, maka saya letakkan tulisan ini sebagai maklumat dari rakan sahaja. Tulisan ini insyaAllah akan disiarkan secara bersiri.
Mesir diberi jolokan sebagai ‘ardhul kinanah’ yang dimaksudkan sebagai bumi menyimpan anak panah. Anak panah yang dimaksudkan ialah ulamak. Mesir sentiasa mengeluarkan ulamak-ulamak hebat dunia. Dikatakan juga mitos, jika sesiapa meminum air Sungai Nil, maka orang itu akan pasti kembali ke Mesir. Atas alasan itu, ada kedai-kedai menyediakan minuman mentah Sungai Nil, untuk membuatkan pelanggannya kembali ke kedai. Entahlah.
Mungkin anda semua sudah mendapat maklumat berkenaan Mesir ini melalui sumber lain iaitu akhbar, blog atau lain-lainnya. Oleh itu, saya mencari sudut berbeza untuk dipersembahkan kepada anda semua, sebagai satu daripada cabang maklumat. Saya tidak membantah, atau bersetuju dengan maklumat mereka. Sebagai wartawan, saya hanya menulis apa yang mereka ceritakan kepada saya. Ianya terserah kepada kebijaksaan anda semua, bagi mencernakannya.
Saya mulakan siri satu ini bermula dari minggu lepas, di mana Mesir telah menerima bantahan besar-besaran dari rakyatnya. Ramai yang turun ke jalan-jalan, membayangkan kemungkinan akan muncul kembali rusuhan sebagaimana mereka menjatuhkan Mubarak beberapa tahun yang lalu. Puncanya ialah apabila tersebarnya maklumat bahawa Presiden Mesir, Abdul Fattah As-Sisi, telah membina banyak istana-istana di sebalik mendakwa negara kekurangan wang.
Muhammad Ali, lelaki yang bertanggungjawab menyebarkan maklumat tersebut dan mencetuskan pergerakan rakyat Mesir. Beliau yang mendapat banyak kontrak daripada tentera Mesir, telah melarikan diri ke Sepanyol dan kemudiannya mendedahkan rahsia ini. Dikatakan beliau menjadi berang kepada tentera kerana tidak membayar wang baki setelah kerja-kerja kontraknya selesai sebanyak 200 juta pound Mesir (RM1 = EGP3.89), iaitu hampir RM50 juta. Dipercayai juga beliau melakukan ini kerana ada tangan ghaib di belakangnya.
Pound Mesir semakin jatuh, ditambah lagi dengan kenaikan harga barang yang mencekik penduduk Mesir, melengkapkan adunan kepada kemarahan rakyat ini. Dengan rekod menunjukkan kemiskinan di Mesir meningkat sehingga 60 peratus, berita pembinaan istana mewah itu, menjadikan rakyat nekad bertindak. Sebelum ini dikatakan ada perbalahan antara rakyat yang menyifatkan berita pembinaan itu palsu kerana percayakan dakwaan As-Sisi yang Mesir sememangnya tiada wang.
Tetapi, dunia moden yang penuh dengan teknologi ini, pantas menafikan cerita sedih As-Sisi itu. Gambar-gambar yang diambil secara rahsia, tersebar ke seluruh dunia, membeliakkan mata bukan hanya golongan membangkang As-Sisi, malah penyokongnya juga. Bagaikan sungai, teknologi mengalirkan maklumat yang tidak disangka oleh rakyat Mesir kerana projek bernilai berbilion EGP itu dilaksanakan juga ketika negara didakwa menghadapi kemelesetan ekonomi.
Istana As-Sisi didedahkan berada di satu kawasan bernama al-‘Aalamin. Di dalam kawasan istana ini juga dikatakan terdapat kompleks tentera, termasuk kantor bagi perisikan Mesir. Menariknya, bahagian perisikan ini jawatan nombor duanya disandang oleh anaknya bernama Mahmud As-Sisi. Dan pejabat itu dihiasi dengan kemewahan yang tidak sepatutnya. Kata rakan saya lagi, melalui maklumat yang didedahkan, keluasan kompleks itu 10 kali besar dari White House dengan biaya dianggarkan berjumlah 1.25 bilion EGP, lebih kurang RM320 juta lebih.
Antara masalah lain yang dihadapi oleh rakyat Mesir ialah, pasukan tentera Mesir turut berniaga, bersaing dengan rakyat. Namun persaingan itu sangat berat sebelah kerana tentera menjual barangan dengan lebih murah. Mereka tidak perlu membayar modal, berbanding rakyat yang terpaksa mencari modal dan pastilah akan menjual dengan lebih sedikit bagi mencari keuntungan. Dan Mahmud anaknya juga turut menguasai perniagaan di Mesir, sama seperti anak-anak Mubarak ketika berkuasa, Ala dan Jamal.
Bukan di al-‘Aalamin sahaja, di Ma’murah juga terdapat sebuah istana yang direnovasi oleh as-Sisi berjumlah 25 juta EGP. Dimaklumkan ianya bagi penukaran perabot-perabot dan hiasan dalaman. Kisah ini hanyalah ulangan kepada kisah pemimpin yang tidak mahu menjalankan Islam sebagai ad-Din dalam kepimpinan mereka. Pergilah ke mana-mana sekalipun, kisah ini akan tetap menjadi kepada alasan jatuhnya kerajaan. Dan apabila keadaan begini terjadi, maka rasuah akan berleluasa. Semua bajet meningkat kerana ada ‘tol’ di antara kontraktor dan kerajaan. Untuk semua hal, ia mesti ‘dibayar’.
Ada lagi, sebuah bandar perniagaan baharu yang diberi nama New Administration and Business Capital juga sedang dalam pembinaan di sebuah gurun, berhampiran Kaherah. Di dalamnya bakal didirikan masjid dan gereja terbesar di Mesir. As-Sisi juga bercadang menjadikan ia sebagai tempat bagi kawasan diplomatik untuk seluruh kedutaan. Bandar ini dilingkungi oleh dinding dengan 15 pintu masuk. Terdapat juga sebuah hotel mewah bernama al-Maasah (Berlian).
Rumah kediaman juga bakal didirikan di sana dengan anggaran jualan permeter persegi ialah bernilai USD740 atau EGP12,000 bersamaan lebih kurang RM3000. Untuk projek ini juga, pihak tentera memborong begitu banyak simen-simen. Jadi semua kilang pengeluar simen, akan memberikan semaksima mungkin keluaran mereka kepada tentera, pihak yang mengendalikan projek ini. Di sebalik pengakuan as-Sisi, Mesir menghadapi masalah ekonomi, beliau melakukan tindakan bermewah-mewah.
As-Sisi sudah dinasihatkan agar tidak menjawab segala tuduhan itu. Tetapi beliau tiba-tiba melakukan sebaliknya. Beliau dilaporkan bertanya kembali kepada rakyat, apa yang rakyat mahu lakukan terhadap beliau, dengan projek pembinaan kompleks istana tersebut. Dia secara terang mengakui benarnya tuduhan itu. Menambahkan lagi keberangan rakyat terhadap beliau. Dan dengan seruan Muhammad Ali untuk rakyat bangun menentang, jawapan As-Sisi itu menjadi pelengkap kepada amarah rakyat.
Ada juga rakan-rakan saya berkata ada jaminan dari tentera untuk tidak akan membunuh rakyat sebagaimana yang terjadi ketika demonstrasi menjatuhkan Mubarak dan menyokong Morsi dahulu jika rakyat turun membantah As-Sisi. Menunjukkan bahawa tentera juga tidak menyukai As-Sisi. Tetapi harus juga dibaca dalam kerangka politik, iaitu rakyat hanya digunakan bagi menjadi ‘tentera upahan’ bagi pihak menentang As-Sisi sahaja. Seseorang akan pasti sedang cuba menangguk di air keruh.
Khabar juga tersebar mendakwa penentangan ini turut dibayangi oleh Mubarak dan kroni-kroni beliau. Dikatakan Mubarak juga terkena tempias kepada kegawatan ekonomi yang melanda Mesir, hasil perbuatan As-Sisi ini. Mubarak marah kerana ia menjejaskan beberapa hal yang berkaitan dengan beliau dan kroninya. Bila ditanya perbandingan pemerintahan, semua rakan-rakan saya menjawab, Mubarak jauh lebih baik berbanding As-Sisi. Manakala Morsi, tidak sempat menunjukkan prestasinya.
Tetapi gerakan rakyat ini sudah dihentikan. Dimaklumkan seramai 2000 orang sudah ditangkap bagi mengelak himpunan menjadi lebih besar. Banyak jalan-jalan ditutup. Pemeriksaan terhadap telefon bimbit dipertingkatkan bagi mencari bukti-bukti penyebaran apa-apa yang bertentangan dengan kehendak kerajaan. Malah sekarang rakyat pula disuruh keluar bagi menyatakan sokongan kepada As-Sisi dengan dibayar upah. Dan pastinya, akan ada pihak yang tidak senang duduk, menanti tindakan balas As-Sisi.
Satu perkara penting yang dapat saya lihat dari maklumat-maklumat ini ialah, kegilaan tentera mereka hanyalah apabila kuasa mereka cuba dirampas oleh pejuang Islam. Apabila mereka berkelahi sesama mereka bagi merebut kekayaan, tidak pula mereka mahu membunuh. Mereka hanya menjatuhkan lawan bagi mengambil tempatnya untuk menggondolkan harta negara. Tetapi apabila Islam mahu mengambil kekuasaan, mereka kembali bertaut bersama menentang. Sama, di mana-mana di seluruh dunia, Islam adalah musuh bagi kaum kafir dan munafik.
Bersambung dalam tulisan kedua dengan kisah latar belakang As-Sisi dan tindakan-tindakan beliau sebelum hal ini terjadi. Gambar di bawah adalah istana yang dikatakan menjadi kemarahan rakyat Mesir. Link youtube adalah berkenaan pendedahan isu ini.
https://www.youtube.com/watch?v=gmLJOwvQdaw
MOHD NASIR ABDULLAH
1 Oktober 2019 – HARAKAHDAILY 1/10/2019