Provokasi babit Sultan Selangor perbuatan terkutuk

TERBARU dalam sosial media terdapat tularan secara meluas suatu kenyataan biadab pada status Facebook seorang speaker Dewan Negara yang jelas pada paparannya itu terang-terangan menghina Tuanku Sultan Selangor apabila pada poster itu memperlekeh titah perintah Tuanku Sultan Selangor yang melarang dwi bahasa pada papan tanda jalan melainkan hanya dalam bahasa Melayu, selainnya tidak dibenarkan.

Advertisement

Titah perintah Tuanku Sultan adalah selaras dengan apa yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan pada Perkara 152 (1) yang menyebut: Bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu dan hendaklah dalam tulisan yang diperuntukkan dalam undang-undang oleh Parlimen. Dan tidak ada tercatat dalam Perlembagaan adanya bahasa kedua atau bahasa ketiga sebagai bahasa yang harus diperkongsikan bersama dalam mana-mana atau setiap papan tanda atau papan kenyataan.

Dan perbuatan biadab menghina Tuanku Sultan Selangor itu tertera dalam bahasa Cina, di sini diterjemahkan maksudnya: “Tanda jalan dwi bahasa sesungguhnya telah menarik perhatian ketidakpuasan hati sekurang-kurangnya oleh seorang Melayu (beliau maksudkan Sultan Selangor). Orang Melayu inilah yang mengarahkan kerajaan untuk menurunkan tanda jalan dwibahasa ini. Jika mana-mana orang Cina yang tidak berpuashati, sila bertentang muka dengan orang Melayu ini bagi menunjukkan bantahan. Orang Cina marahkan kerajaan tak ada maknanya, kerana orang Melayu ini tidak tahu yang anda tidak berpuashati”.

Kenyataan pada status ini terang-terangan menunjukkan hasrat hati untuk mengapi-apikan kaum Cina supaya membenci dan menghina Tuanku Sultan Selangor kerana tidak membenarkan papan tanda jalan yang tertera dwi bahasa, perbuatan melampau ini boleh dikenakan di bawah peruntukkan Seksyen 3 Akta Hasutan, menjadikan satu kesalahan kecenderungan hasutan bagi menimbulkan perasaan tidak puas hati atau tidak setia terhadap Yang di-Pertuan Agong dan perbuatan mengembangkan perasaan niat jahat dan kebencian di antara kaum atau agama.

Status melampau itu juga boleh dikenakan bawah peruntukan undang-undang iaitu: Kecenderungan Menghasut

3. (1) Sesuatu “kecenderungan menghasut” ialah kecenderungan –
 
(a) bagi mendatangkan kebencian atau penghinaan atau bagi membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana Raja atau Kerajaan;

Juga dalam Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana menyebabkan ketidak tenteraman awam.

Justeru, MUAFAKAT menuntut pihak terbabit yang berkenaan, jika benar status yang seperti dilampirkan adalah di bawah pengetahuan Speaker Dewan Negara maka beliau perlu dengan segera menarik balik kenyataannya itu dan memohon maaf atas kebiadabannya yang melampau dan bertanggungjawab dengan sikap kurang ajarnya itu.

Dan jika Speaker tersebut tidak terbabit sekalipun, beliau harus dengan segera menafikannya dan membuat laporan polis bagi menafikannya dan mengarahkan pihak berwajib khususnya PDRM supaya mengambil tindakan pantas mencari, menangkap dan mengadapkan si pengadu domba yang kurang ajar ini ke muka pengadilan dengan secepat mungkin.

Sementelah itu pula perbuatan gopoh beliau menuding jari kepada seseorang itu amatlah dikesali dan tidak sepatutnya berlaku, jelas ianya tidak bermoral dan amat tidak berwibawa tambah lagi kedudukan beliau sebagai seorang Speaker Dewan Negara yang sepatutnya tenang, dan bijaksana dalam bertindak. Sepatutnya selepas beliau membuat kenyataan media, ianya hendaklah disusuli dengan laporan polis bukannya terus membuat persepsi dengan menuduh sebarangan orang.

MUAFAKAT dengan tegas menyuarakan ketidakpuasan hati dengan sikap kurang ajar pihak tertentu terhadap baginda Tuanku Sultan yang jika benar berlaku seperti yang ditular di media sosial, sebagai Speaker Dewan Negara beliau sepatutnya lebih arif dalam perkara Rukun Negara kedua; Kesetiaan Kepada Raja Dan Negara dan itu MUAFAKAT tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan guaman jika perkara ini sahih yang melibatkan Speaker Dewan Negara dalam perbuatan provokasi menghina Baginda Tuanku Sultan Selangor. – HARAKAHDAILY 1/10/2019

Penulis ialah Naib Pengerusi UMMAH yang juga Ketua Media MUAFAKAT.