Silat Jatuh gegarkan Pekan Jabi

SETIU: Pesilat Jatuh Terengganu dan Kelantan menggegarkan Pekan Jabi dalam pertarungan epik sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Terengganu (HPPNT) 2019 baru-baru ini.

Advertisement

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani Dan Pembangunan Desa Negeri Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata, walaupun aktiviti berkenaan agak asing di Terengganu, sambutan diterima adalah di luar jangkaan.

“Kehadiran paling ramai berbanding dua hari lepas yang dihadiri bukan setakat dari negeri Terengganu malah Kelantan dan Pahang turut hadir memeriahkan program.

“Melihat keberjayaan pada program malam ini, insya-Allah kita bersedia untuk menganjurkan lagi di masa depan sebagai acara tahunan,’’ ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan pertandingan tersebut di Dataran Pekan Jabi, di sini.

Sementara itu, pemenang Pesilat Terbaik Keseluruhan, Azwan Yaacob, 28,  berkata, dia yang juga anak jati Jabi dari Kampung Kerandang tidak menyangka memperoleh kejayaan tersebut.

“Ini kali kedua masuk pertandingan silat. Sebelum ini pernah masuk di Tanah Merah, Kelantan, tetapi tiada rezeki menang.

‘”Sudah sepuluh tahun belajar silat di kampung, hanya kerana minat, sejak tingkatan tiga lagi yang kemudiannya memulakan pengajian ilmu pertahankan diri ini,” katanya.

Di samping itu, seorang lagi pemenang yang berasal dari Kampung Kerandang, Jabi, Nadzri Ghazali, 47, turut berasa gembira atas kejayaan sulong yang diperolehinya.

“Ini kali pertama saya menyertai dan menang dalam pertandingan Silat Jatuh berbanding sudah lima tahun berturut-turut saya menjadi dalam pertandingan Silat Tari Tercantik di peringkat Daerah,” katanya yang mula belajar ilmu persilatan sejak 18 tahun lagi. – HARAKAHDAILY 1/10/2019

IMG 20191001 WA0006 

IMG 20191001 WA0007

IMG 20191001 WA0008