Sinar atlit PASTI setelah sirna jerebu

BANGI: Hari Sukan PASTI Teras Jernang meriah tahun ini dengan tema kepahlawanan di Padang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini kelmarin dahulu.

Advertisement

Sebelumnya, murid-murid terpaksa menjalani latihan setiap hari hanya di dalam bangunan sekolah akibat jerebu yang melanda negara sepanjang minggu lalu.

Namun, beraksi di padang acara sebenar menyaksikan kepuasan jelas terpancar dari semua atlit cilik bersama para guru, pengurusan PASTI dan ibu bapa yang hadir.

Ketua Penerangan Pemuda PAS Malaysia, Khairul Nadzir Helmi yang juga Ketua Pemuda PAS Kawasan Bangi telah menyempurnakan perasmian Hari Sukan ini.

Beliau menyifatkan usaha seperti ini antara bukti PASTI sebagai institusi pendidikan awal yang terbaik dari segi modul Islamik dan keseimbangan antara rohani dan jasmani.

Terpesona dengan perbarisan masuk 168 murid berpakaian pahlawan hadirin tambah terpegun dengan kepetahan bacaan ikrar oleh adik Arsyad Shahmi, 6, dalam tiga bahasa, iaitu Melayu, Inggeris dan Arab.

Sorakan gempita ibu bapa kepada anak-anak terbias sebaik acara yang dipertandingkan bermula seperti lari bola pingpong, chopstik getah dan bawa pundi kacang.

Turut menunjukkan semangat kesukanan ialah acara untuk ibu bapa dan kanak-kanak bawah 12 tahun seperti pertandingan bowling tin, sumpit beracun, belon air dan kerusi muzik.

Penganjuran kali ini sangat meriah dengan sumbangan 50 hadiah cabutan bertuah oleh para ibu bapa berupa hamper, barangan elektrik termasuk empat basikal sebagai hadiah utama.

Kemuncak pengumuman, Rumah Biru mengungguli juara keseluruhan dan juara perbarisan. – HARAKAHDAILY 2/10/2019  

IMG 20191002 WA0009

IMG 20191002 WA0010