Gembleng tenaga bersama, ringankan beban sahabat

TELUK INTAN: Intima’ diri bersama perjuangan Islam tidak harus setakat mendaftar sebagai ahli semata-mata, tetapi menuntut kewajiban menyumbang masa, tenaga, fikiran dan harta benda ke arah mencapai matlamat.

Advertisement

Pengerusi Lajnah Pembangunan ‘Alimat Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustazah Ana Mastura Ismail berkata, jika kesedaran tersebut wujud dalam diri setiap ahli, maka isu bebanan kerja yang ada akan dapat dielakkan.

Kupasan dari buku Amal Jamaie itu menjadi intipati taujihat disampaikannya dalam program Halaqah Muslimat yang telah dilangsungkan di Markas Tarbiah PAS Kampung Padang Tembak, di sini kelmarin.

Menurut beliau, sukarnya mencari petugas yang mencukupi untuk diberi amanah menggerakkan jentera parti menyebabkan seorang individu terpaksa dilantik memegang lebih jawatan dalam jamaah.

Jelasnya, fenomena tersebut masih berlaku di setiap peringkat membawa kepada pertindanan jawatan dan peranan, mengakibatkan kerja-kerja jamaah menjadi kurang efektif dan tidak mencapai matlamat.

Beliau menyuntik motivasi dengan mengambil petikan buku tersebut mengenai kelebihan orang-orang yang berjihad di mana akan sentiasa dalam rahmat dan pertolongan daripada Allah S.W.T.

“Kajilah sirah para Sahabat Rasulullah yang sentiasa istiqomah dalam kerja-kerja jihad. Ini kerana mereka meletakkan matlamat perjuangan untuk meraih kehidupan yang baik diakhirat.

“Dalam situasi Islam ibarat telur dihujung tanduk ini, seluruh ahli wajib keluar menginfakkan diri menggerakkan organisasi disegenap peringkat demi mempertahankan maruah Islam dan mengembalikan kemenangan Islam di negara ini.

“Tanpa mengabaikan tugas dan tanggung jawab terhadap keluarga dan rumahtangga, Muslimat perlu bijak menggunakan segala peluang dan kemahiran yang sedia ada untuk dimanfaatkan sebagai kerja dakwah, menyebarkan kebaikan syariat Islam di tengah masyarakat umum,” ujarnya.

Ustazah Ana Mastura turut menekankan supaya seluruh anggota Muslimat sentiasa patuh dan wala’ terhadap arahan kepimpinan serta ikhlas dalam setiap gerak kerja yang dibuat. 

Muslimat juga diseru agar mempertingkatkan ibadah serta memperbanyakkan berdoa agar Allah memudahkan segala urusan dan memberi pertolongan dalam menghadapi mehnah dan cabaran dalam perjuangan. – HARAKAHDAILY 2/10/2019