Normalisasi: Sikap Negara Arab mudahkan Pax Judaica

ISRAEL mempunyai sejarah panjang yang diceritakan di dalam al-Quran. Bangsa yang bermasalah sejak dulu hinggalah ke hari ini. Sejak pengisytiharan Palestin sebagai Negara Israel pada 1948 telah mengundang kecaman daripada seluruh dunia khususnya Negara-negara Arab, memboikot dan mengisytihar sebagai sebuah negara haram.

Advertisement

Permulaan yang rencam

Namun setelah sekian lama melalui proses “normalisasi” akhirnya negara-negara ini mula “memendam perasaan” untuk jalinkan hubungan dengan negara haram itu. Kita sudah makruf bagaimana proses rampasan tanah itu dilakukan. Ia dimulakan 100 tahun sebelum kejatuhan Khilafah Uthmaniah, dengan menormalisasi pemikiran Sekularism. Apatah lagi Khalifah Sultan Abd Majid ketika itu menganggap dasar pandang ke Barat sebagai sesuatu yang normal.

Apatah lagi Barat ketika itu sedang melalui proses kebangkitan teknologi selepas Reinassance yang dijulang oleh mereka. Kepesatan pembangunan teknologi membuatkan Uthmaniah terpesona lantas mengubah dasar negara. Antara yang kita boleh saksikan, pembinaan sebuah istana mewah di Basfour, Turki dengan menggunakan teknologi Barat mula dibina dan sempat dinikmati oleh 4 generasi Uthmaniah kecuali Sultan Abd Hamid II.

Pembinaan istana mewah dengan kos yang tinggi melangit, terpaksa ditanggung melalui pinjaman dengan cara Barat yang mengamalkan riba. Akhirnya pinjaman ini menjerat tengkuk Uthmaniah, apabila ia dijadikan bahan untuk menggulingkan Khalifah 100 tahun kemudian. Selain dasar pandang ke Barat dianggap sebagai normal, para pemuda-pemuda Uthmaniah dihantar ke Eropah untuk menuntut ilmu.

Agak pelik, Uthmaniah yang menguasai dunia dengan ketamadunan yang panjang, tetapi menghantar pemuda-pemudanya menuntut ilmu di Eropah. Akhirnya setelah melalui proses normalisasi yang panjang, penghantaran itu dianggap sebagai satu perkara normal. Masyarakat Islam melihat bahawa “apa salahnya kita belajar dengan orang kafir”. Hasilnya, apabila para pemuda ini pulang ke tanah air, mereka membawa idealogi Barat untuk diimport ke dalam Turki.

Golongan anak muda Islam yang beridealogi Barat ini akhirnya melihat bahawa pembawaan khalifah sebagai satu kejumudan. Sistem yang diperkenalkan oleh Khalifah dianggap sudah lapuk dan tidak sesuai lagi. Perlukan revolusi sepertimana Eropah bangkit dengan Reinassance. Lantas mereka bangkit atas nama Young Turks dan mengguling khalifah yang dikatakan jumud, iaitu Sultan Abd Hamid II.

Yahudi mula memasuki Palestin

Setelah jatuhnya Sultan Abdul Hamid, Yahudi Zionis merancang dengan lebih drastik apabila melancarkan Arab Revolt, Skyspico, Balfour dan beberapa lagi strategi ke arah menguburkan Sistem Khilafah itu sendiri, khususnya era 1916-1918. Setelah senarai projek ini berjaya, Palestin mula menerima kebanjiran migran Israel yang masuk beramai-ramai. Orang Arab yang masih lagi fanatik dengan Arab Revolt tidak sensitif dengan isu tersebut.

Liga Bangsa-bangsa yang ditubuhkan pada 1919, telah menerima Palestin dalam senarainya pada 1920. Kebanjiran orang Yahudi di Palestin semakin bertambah dan terus bertambah secara mendadak. Apabila Khilafah diisytiharkan berkubur pasa 1924 oleh Mustafa Kamal at Tartuk, barulah mereka tersedar bahawa mereka telah diperalatkan sejak sekian lama.

Orang Arab yang baru tersedar dari lamunan mimpi mula mempertikai kebanjiran Yahudi di penempatan mereka. Walaupun nasi sudah menjadi bubur, mereka tetap cuba untuk membasmi. Berlaku pembunuhan beramai-ramai orang Yahudi hampir 200 orang dibunuh pada 1929. Apatah lagi kebangkitan Nazi pada 1933 yang meng”holokus”kan Bangsa Yahudi, lebih mendorong mereka bermigrasi ke Palestin.

Dikatakan pasca Perang Dunia II bilangan mereka mencecah 600,000 yang mendiami tanah Palestin sebagai pendatang asing. Walaupun dengan populasi sebanyak 30 peratus sahaja, PBB memutuskan untuk mengkerat Palestin, satu bahagian di bawah British, dan sebahagian lagi di bawah Palestin. Walaupun mendapat tentangan, apa yang mereka peduli?

Akhirnya secara rasmi Israel ditubuhkan pada tanggal 14 Mei 1948. Namun keesokan harinya, Israel diserang oleh pakatan tentera Lubnan, Syria, Jordan, Mesir, Iraq dan negara Arab yang lain. Malangnya pakatan Arab dikalahkan dan kawasan jajahan Israel meningkat ke 70 peratus. Negara-negara Arab pula bertindak menghalau orang Israel dari negara mereka.

Negara-negara Arab ke arah normalisasi

Setelah melalui beberapa proses yang panjang, secara perlahan-lahan Israel muncul sebagai negara yang rasmi. Bahkan Negara-negara Arab pula tergila-gilakan untuk adakan hubungan dengan Israel. Banyak faktor yang memungkinkan perkara ini, antaranya keselamatan. Ini kerana Negara-negara Arab sudah pun menganggap bahawa Israel mampu memberikan keselamatan untuk mereka.

Ini dinamakan agenda normalisasi. Iaitu satu strategi ke arah menganggap Israel sebagai negara yang legal dan berkuasa memberi perlindungan dan keselamatan. Di sini saya senaraikan beberapa bentuk hubungan diplomatik yang dijalinkan antara Israel dan Negara-negara Arab, menuju ke arah normalisasi yang sengal. Antara yang “maintain” dalam proses normalisasi ini ialah Arab Saudi.

Mesir, Jordan dan Turki hakikatnya mempunyai jalinan hubungan diplomatik  yang “normal” dengan Israel. Walaupun adakalanya hubungan ini kadangkala berombak, namun masih kekal hingga ke hari ini. Oktober 2018 menyaksikan lawatan Netanyahu atas jemputan Oman sendiri. Walaupun tiada persepakatan untuk adakan hubungan diplomatik, namun kita boleh faham bahawa ia sebagai satu isyarat normalisasi.

Pada Februari 2019, Persidangan Asia Barat yang diadakan di Poland, Netanyahu menyatakan hasrat sekiranya Negara-negara Arab yang lain mengikut jejak langkah Oman. Pada Mac 2019 Menteri Luar UAE menggalakkan supaya Negara-negara Arab lebih terbuka untuk menjalinkan hubungan dengan Israel. Antara yang lain, Qatar juga masih mengekalkan hubungan dengan Israel yang terjalin sejak 1996.

Januari 2019, Chad menyambung semula hubungan dengan Israel yang telah diputuskan sejak 1972. Baru-baru ini kemenangan Netanyahu dalam pilihan raya merupakan petanda pergerakan yang lebih agresif. Beliau memang dikenali dengan tindakan sedemikian, membuatkan Negara-negara Arab khususnya cuba mengadakan hubungan diplomatik demi keselamatan yang saya ceritakan di awal tadi.

Bagaimana nasib Palestin?

Antara negara yang pernah digolakkan oleh Israel antaranya ialah Sudan, apabila Presiden Omar Basyir digulingkan. Sudahlah dahulunya dikerat atas isu agama hingga menyebabkan tertubuhnya negara Sudan Selatan. Antara lain negara Somalia apabila kesudahannya negara itu terpecah menjadi dua, iaitu Somaliland. Konflik Somalia-Somaliland ini merupakan strategi menguasai laluan Tanduk Afrika.

Konflik di Pakistan baru-baru ini pula kelihatan seperti keinginan Pakistan untuk mengadakan hubungan dengan Israel. Justeru, negara-negara ini mungkin sedar bahawa Israel berpotensi menghuru-harakan negara mereka, menyebabkan masing-masing terdorong untuk berdiplomasi dengan Israel. Memikirkan rakyat masing-masing yang terancam.

Apabila Negara-negara Arab mengambil pendekatan playsafe dan ingin menjaga periuk masing-masing, apa akan jadi kepada Palestin? Kalau dahulu Negara Arab bangkit menentang Israel sejurus diumumkan Israel berhak terhadap sebahagian tanah Palestin. Tetapi hari ini, Negara-negara Arab pula yang terhegeh hegeh menjalinkan hubungan diplomatik dengan mereka.

Apa yang akan terjadi? Pelan tindakan Israel untuk menguasai Palestin semakin cerah dengan laluan yang semakin mudah. Rakyat Palestin khususnya Hamas kelihatan terkontang kanting keseorangan, tidak mendapat support daripada Negara-negara Arab di sekelilingnya. Bukan lagi membina Negara Yahudi, tetapi ke arah Israel Raya yang dikenali sebagai Pax Judaica [1].

[1] https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=3007139405994466&id=100000953077134

 

HARAKAHDAILY 3/10/2019