Mengintai Mesir dari balik tirai (Bah. 2)

DALAM  tindakan kemewahan As-Sisi, pada satu majlis, beliau pernah disambut dengan dihamparkan karpet merah sepanjang 2 batu bernilai USD200,000 yang untuk dilalui oleh keretanya sahaja. Tindakan membazir ini dilakukan beliau dan pasukannya ketika mana beliau menggesa rakyat agar berjimat cermat dalam berbelanja, termasuk juga berhemah dalam penggunaan sumber air dan tenaga elektrik.

Advertisement

As-Sisi ketika satu ketika berucap, sanggup menjual dirinya bagi Mesir. Tetapi ia menjadi bahan lelucon rakyat bahkan dunia dengan dakwaannya itu kerana tiada siapa yang percaya. Apatah lagi dirinya penuh dengan skandal, lakukah jika dijual? Pun begitu, beliau menyuruh seluruh rakyat Mesir untuk mendengar sebarang maklumat hanya dari dirinya sahaja. Begitulah sikap ketakutan yang ditunjukkan apabila salah laku diketahui rakyat dan dunia.

Mengikut maklumat yang diberikan kepada saya, rakan-rakan Mesir saya itu mengesahkan bahawa ibu As-Sisi berketurunan Israel. Manakala ayahnya pula seorang Arab. Tidak diketahui bagaimana eratnya hubungan keluarganya dengan Israel, tetapi dapat dipastikan bahawa As-Sisi bukanlah seorang yang berpegang teguh dengan ajaran agama Islam dan cenderung kepada Israel, itu diketahui satu semesta. Seperti satu kebetulan di seluruh dunia Islam, tentera bukanlah dari kalangan mereka yang kuat beragama.

Tetapi kisah berkenaan menjadi perisik ini sangatlah biasa terutama di dunia Arab. Ia mengingatkan saya kepada kisah seorang perisik Israel Eliahou Ben Shaoul Cohen atau Eli Cohen yang hampir-hampir dilantik menjadi Perdana Menteri Syria sekitar tahun 61-65 sebelum dikenalpasti dan dibunuh. Perisik terkenal ini yang telah memberikan sumbangan yang sangat besar kepada Israel, melalui maklumat-maklumat penting yang disalurkan, menghadapi Negara-negara Arab dalam Perang Enam Hari.

Lahir di Mesir, kemudiannya ditukarkan identitinya kepada pelarian Syria dari Argentina. Pergi ke Syria, melakukan tugas-tugas perisikan untuk Israel. Sehinggalah dia hampir menjadi Perdana Menteri Syria, sebelum jejaknya dikesan dan dia dijatuhkan hukuman bunuh. Permintaan kepada Syria bagi membawa pulang mayat Cohen, tidak diendahkan. Dikatakan juga, misi Cohen itu adalah misi terakhir beliau, kerana dia merancang untuk bersara selepas itu.

Ketika Morsi berkuasa, As-Sisi, dilihat sebagai seorang yang berpotensi bagi diberikan jawatan yang penting dalam kerajaan. Digambarkan As-Sisi, apabila duduk bersama Morsi, beliau akan duduk di hujung depan kerusi, tidak memasukkan punggungnya sepenuhnya hingga ke belakang sebagai duduk yang dilihat bersopan. Paling sering jawapannya ketika menolak hidangan apabila Morsi menjemputnya ialah, beliau sedang berpuasa. Sentiasa sahaja berpuasa sunat.

Kesan lekuk hitam di dahi beliau itu pula, dilihat sebagai orang yang kuat beribadat, kata rakan saya, mengimbau kembali saat-saat As-Sisi sebelum diangkat menjadi Menteri. Tiada siapa tahu rupanya ada udang di sebalik batu. Salah seorang rakan saya memberitahu, biras beliau, seorang tentera sangat marah apabila mengetahui As-Sisi dilantik menjadi Menteri kerana sudah masak dengan perangai sebenar As-Sisi. Benarlah kata orang, ‘first impression’ itu penting, Morsi juga terpedaya.

Isteri As-Sisi, Intisar Amin juga mempunyai penampilan yang baik dan sopan ketika itu. Cerita mereka, Intisar memakai nibaq. Pasangan ini dilihat sangat tawadhuk dan bagus.  Sekarang, hanya tinggal skaf kepala sahaja, dengan tudung yang tidak lengkap, menampakkan leher. Sudah saya coretkan dalam bahagian pertama bagaimana sejumlah EGP25 juta dihabiskan bagi renovasi istana di Ma’murah. Maka fahamlah kita, watak Imelda Marcos, sentiasa ada pada tempat dan zaman berbeza.

Ketika mula-mula As-Sisi berkuasa, banyak kawasan menjadi tumpuan ketat tentera atas alasan keganasan. Antaranya sebuah masjid, Syauq al-Madinah yang letaknya betul-betul berhadapan dengan sebuah gereja di Iskandariah. Rakan saya pernah ditahan bagi pemeriksaan. Beliau diugut oleh tentera untuk ditahan kerana mereka mengesyaki rakan saya itu berbohong apabila menyatakan beliau mahu solat di masjid.

Tentera bertanya seorang penjual buah beragama Kristian di situ untuk pengesahan. Rakan saya bernasib baik kerana Kristian itu mengenali beliau kerana selalu membeli di situ dan solat di masjid. Kata beliau, tak tahulah apa akan jadi jika Kristian itu mengatakan sebaliknya. Beliau merasa amat marah kerana mahu ke masjid di Negara Islam, tetapi seolah-olah perlu kepada kebenaran dari Kristian. Pengalaman disekat ke masjid itu pasti akan dikenang beliau.

Kesemua rakan-rakan saya ini berasal dari beberapa kawasan berasingan. Salah seorang lagi yang datang dari Aswan, memberitahu yang beliau dan saudara maranya terpaksa menjaga keselamatan kampung mereka sendiri ketika rusuhan besar-besaran itu. Polis sudah tidak boleh diharapkan lagi. Apatah lagi berita tentang banduan yang dilepaskan dari penjara, menambahkan lagi kegusaran rakyat. Jadi keselamatan keluarga mereka adalah tanggungjawab mereka. Mereka sendiri akan menahan dan memeriksa orang luar yang datang ke kampung mereka.

Pada malam Mubarak dijatuhkan, saya melihat rakan-rakan saya bersorakan, berpelukan dan ramai di antara mereka yang melakukan sujud syukur atas kekalahan Mubarak itu. Mereka, semuanya menyambut gembira kemenangan rakyat itu. Apabila Morsi naik, mereka dengan yakin mengatakan bahawa, orang alim ini akan membawa Mesir kepada kegemilangan. Isu-isu berkenaan kawalan Terusan Suez, bekalan makanan dan banyak lagi akan memberikan keuntungan buat Mesir.

Namun sayang, kejatuhan Morsi setelah hanya setahun memerintah, telah dirancang dengan begitu rapi sekali. Dan As-Sisi, orang yang dipercayai akan membantu Kerajaan Morsi, sebaliknya menggulingkannya dan menjadi penyebab kematian beliau dalam tahanan. Tiada kedengaran suara dari negara-negara kuffar di peringkat antarabangsa yang meminta siasatan sebagaimana yang mereka desak terhadap sesebuah negara, jika ada banduan penting mati dalam tahanan.

Beginilah nasib bagi orang yang berjuang atas nama Allah. Tidak cukup dengan itu, seluruh TV Mesir diarahkan agar melenyapkan berita kematian Morsi itu. Jika adapun, mereka tidak menyebut sebagai bekas Presiden Mesir, tetapi hanya dengan menyebut namanya sahaja, Morsi. Semakin yakin kita dengan ketentuan ini bahawa dendam kafir terhadap Islam, sangat mendalam, dibantu pula oleh golongan munafik. Si munafik selalu mengaku mahu menegakkan Islam, tetapi Islam yang dari acuan si kafir. Tidakkah jelas pada kita, begitu yang berlaku?

Bersambung kepada tulisan ketiga dengan isi yang antara lainnya akan menyentuh maklumat tentang As-Sisi yang pemurah, apa yang ada dengan terowong Gaza, benarkah terowong-terowong itu telah dimusnahkan dan  Deal Of The Century.

https://www.haaretz.com/middle-east-news/.premium-sissi-s-jewish-mom-rare-egypt-protests-chip-at-leader-s-iron-hold-on-power-1.7914712

 

https://youtu.be/VG3LDjf8Vjc 

 

MOHD NASIR ABDULLAH
3 Oktober 2019 – HARAKAHDAILY 3/10/2019  

IMG 20191003 WA0003

IMG 20191003 WA0005