PAS tidak sokong perkenal semula GST

tuan ibr

KUALA LUMPUR: PAS tidak akan menyokong sekiranya sistem cukai barangan dan perkhidmatan (GST) diperkenalkan semula di negara ini.

Advertisement

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kerajaan seharusnya mencari sistem percukaian lebih baik yang tidak membebankan rakyat, bukan sekadar melihat dalam kerangka GST dan SST semata-mata.

Jelasnya, PAS sudah menjangkakan kerajaan akan kehilangan pendapatan hampir RM20 bilion apabila mengambil tindakan untuk memansuhkan GST dan digantikan dengan SST (cukai jualan dan perkhidmatan).

Bagaimanapun, katanya PAS sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu telah mengemukakan cadangan memperkenalkan sistem cukai simpanan korporat dan cukai pegangan saham.

“PAS telah kemukakan cadangan sebelum ini iaitu cukai bagi golongan kaya seperti cukai korporat dan cukai transaksi saham yang mana mereka mempunyai harta berbilion tetapi tidak dikenalkan ‘tax‘ (cukai).

“Ia adalah sistem cukai yang lebih baik kerana dalam kaedah Islam, cukai perlu diambil daripada orang kaya kepada orang miskin,” katanya kepada Harakahdaily.

Terdahulu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam kenyataan hari ini, mengatakan kerajaan akan kaji semula pelaksanaan GST sekiranya lebih baik daripada SST.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berharap kerajaan juga boleh menilai dan membuat kajian secara terperinci terhadap sistem percukaian korporat yang dicadangkan oleh PAS.

Sistem percukaian GST telah diperkenalkan oleh kerajaan BN pada 1 April 2015 dengan kadar sebanyak enam peratus.

Namun telah dimansuhkan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada September tahun lalu dan diganti dengan sistem SST berkadar sebanyak sepuluh peratus cukai jualan dan enam peratus cukai perkhidmatan. – HARAKAHDAILY 3/10/2019