Tutup UNITEN Muadzam Shah langkah ke belakang

DEWAN Pemuda PAS Negeri Pahang (DPPNP) melahirkan rasa sedih dan kecewa dengan keputusan yang dikeluarkan daripada persidangan Lembaga Pengarah Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) pada 26 September 2019 yang memberi mandat kepada pengurusan universiti bagi melaksanakan Pelan Integrasi dan Operasi Kampus Berpusat sekali gus membawa kepada penutupan UNITEN Kampus Sultan Haji Ahmad Shah, Muadzam Shah, Rompin bermula Jun 2020.

Advertisement

Dalam usaha negara giat melahirkan modal insan kelas pertama, keputusan ini jelas satu langkah terkebelakang pihak UNITEN dalam menyelesaikan isu kos dan kurang pelajar di UNITEN Muadzam Shah. Langkah penutupan ini bukanlah solusi terbaik untuk menyelesaikan isu asas UNITEN Muadzam Shah sejak awal penubuhannya. Isu ini seharusnya diuruskan dengan lebih kompeten dengan mengambil kira kepentingan setempat dan kesan jangka masa panjang. UNITEN dicadangkan untuk menggiatkan promosi dan menggalakkan penyertaan golongan muda setempat khususnya di Pahang Timur dan Negeri-negeri Pantai Timur yang lain untuk turut serta mengikuti pengajian tinggi dan sederhana di UNITEN dengan fokus dalam bidang pengurusan, perniagaan, akauntan dan sebagainya.

UNITEN Muadzam Shah yang telah hampir 20 tahun operasinya sejak 2001 merupakan antara nadi utama dalam menghidupkan sosio-ekonomi Bandar Muadzam Shah. Bandar ini yang diinspirasikan oleh Tun Abdul Razak untuk menjadi sebuah bandar pendidikan yang memiliki pentadbirannya sendiri sangat membantu dalam pertumbuhan pembangunan dan taraf hidup masyarakat setempat di kawasan Pahang Tenggara dan Selatan. Penutupan UNITEN sudah tentu akan memberi impak yang besar kepada komuniti setempat sekali gus merencatkan kerancakan pembangunan Muadzam Shah menjadi sebuah Bandar Hub Pendidikan.

Kami juga melahirkan rasa terkilan dengan keputusan pihak pentadbiran khususnya pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) ini yang tidak mengambil kira tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka dalam memutuskan keputusan ini. TNB sebagai antara gergasi GLC kerajaan sewajarnya tidak terlalu memikirkan keuntungan semata-mata dalam setiap tindakan dan keputusan mereka memandangkan mereka juga ‘hidup’ dengan keuntungan yang dikaut daripada poket rakyat jelata. Seharusnya TNB menjadi pemain utama dalam membantu membangunkan negara dan rakyat khususnya dalam sektor pendidikan tinggi.

Kami ingin menegaskan bahawa penutupan UNITEN kampus Muadzam Shah adalah langkah terkebelakang dan sangat merugikan rakyat di Negeri Pahang khususnya di kawasan Pahang Tenggara dan Selatan. Kami mendesak keputusan ini dikaji semula dengan lebih teliti dengan mengambil kira semua faktor untuk jangka masa panjang.

“Demi Islam”
“Islam Memimpin Perpaduan”

YB USTAZ MOHD ZAKHWAN AHMAD BADARDDIN
Ketua Dewan Pemuda PAS Pahang/
Adun Tahan – HARAKAHDAILY 3/10/2019