‘GST dah mati, kalau hidup balik akan jadi hantu’

ALOR SETAR: Timbalan Presiden PAS, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, isu cukai barangan dan perkhidmatan (GST) sudah mati.

Advertisement

Menjawab pertanyaan wartawan berkenaan pendapat beliau mengenai GST yang dikatakan bakal dilaksanakan semula, beliau menegaskan konsep cukai itu boleh ditukar kepada percukaian secara Islam di mana mengambil cukai dari orang kaya dan diberikan kepada orang miskin.

“Jangan tanya pasal GST sebab ia dah mati. Mati kalau hidup balik akan jadi hantu,” ujar beliau berseloroh apabila ditanya wartawan pandangannya berkenaan pelaksanaan GST ketika pemerintahan Barisan Nasional dahulu.

Beliau menyatakan demikian dalam sidang media di Kompleks PAS di sini, hari ini.

Sementara itu, beliau yakin Kedah berpotensi menjadi model terbaik penyatuan ummah memandangkan keahlian PAS dan Umno kebanyakannya mempunyai talian persaudaraan.

“Saya pernah sebut perkara ini di Baling sebelum ini dan tidak hairanlah program Himpunan Muttahidah, muslimat PAS dan wanita Umno ini mendapat sambutan luar jangkaan. Mencecah hingga 2,300 orang sedangkan jangkaan asal sekitar 1,500 orang sahaja,” ujar beliau.
 
Himpunan Muttahidah itu akan dijadikan model untuk diikuti oleh semua negeri walaupun di peringkat kawasan atau bahagian program bersama selalu diadakan. – HARAKAHDAILY 4/10/2019