KMM: Pemimpin DAP serlah ekstrem kaum

SEMAKIN  membara nampaknya kecaman pemimpin DAP ke atas Kongres Maruah Melayu (KMM) anjuran bersama Universiti Malaya, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Universiti Teknologi MARA dan Universiti Putra Malaysia.

Advertisement

Bermula dengan Ronnie Liu dan diikuti oleh Charles Santiago yang mempersoalkan jangkaan kehadiran Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, di dalamnya, lalu disusuli oleh Dr P Ramasamy dan Lim Kit Siang sendiri. 

Lim Kit Siang mempersoalkan kewajaran empat Universiti Awam menganjurkannya sambil bertanya sama ada ia akan mempertegaskan prinsip-prinsip asas Perlembagaan dan Rukun Negara selain menyahaktifkan bom jangka perkauman.

Cara Lim Kit Siang bertanya memaparkan sikap holier-than-thou seolah-olah beliau tidak pernah memperjuangkan politik perkauman dan tidak pernah memperkudakan Universiti Awam sepanjang beliau terlibat dalam politik.

Walhalnya Lim Kit Siang sebelum ini pernah menyahut seruan pertubuhan-pertubuhan Cina supaya parti-parti politik Cina bergabung tenaga bagi mengadakan satu persidangan semua pertubuhan dan parti politik Cina bagi menjaga kepentingan Cina.

Lim Kit Siang juga sebelum ini pernah beberapa kali mendesak supaya dihapuskan pembahagian rakyat kepada Bumiputera dan bukan Bumiputera kononnya bagi membuka jalan kepada pembentukan masyarakat sivil dan bangsa Malaysia.

Lim Kit Siang juga sebelum ini pernah bercakap mengenai isu-isu seperti ketidakadilan pembahagian rakyat kepada Bumiputera dan bukan Bumiputera serta pembelaan hak-hak kaum minoriti di Universiti Sains Malaysia dan Universiti Malaya.

Lebih besar lagi ialah bila 2,095 pertubuhan Cina mengemukakan 17 tuntutan utama yang disertai oleh 83 tuntutan spesifik mereka, Lim Kit Siang langsung tidak pernah mempersoalkan kerasisannya malah menyokong kuatnya pula.

Walhalnya antara tuntutan-tuntutan 2,095 pertubuhan Cina ini adalah supaya:

(1)     Tindakan afirmatif berdasarkan kaum hendaklah dihapuskan.

(2)     Pembahagian rakyat kepada Bumiputera dan bukan Bumiputera hendaklah dihapuskan.

(3)     Sistem kuota berdasarkan kaum dalam bidang ekonomi hendaklah dihapuskan.

(4)     Sistem kuota berdasarkan kaum dalam bidang pendidikan hendaklah dihapuskan.

(5)     Sekolah-sekolah Cina hendaklah dilindungi, dibantu dan ditambah bilangannya.

Apakah tuntutan-tuntutan yang disokong kuat oleh Lim Kit Siang ini bukan merupakan percanggahan dengan prinsip-prinsip asas Perlembagaan dan Rukun Negara selain bukan merupakan satu pengaktifan kepada bom jangka perkauman?

Mengapa bila pertubuhan-pertubuhan Melayu mahu mengemukakan tuntutan, yang selaras dengan prinsip-prinsip asas Perlembagaan dan Rukun Negara mereka dikecam tetapi bila pertubuhan-pertubuhan Cina mereka disokong kuat pula?

Dan di mana salahnya Universiti Awam menganjurkan kongres ini bila Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, sendiri menegaskan, pada 18 April lalu, mengenai pengembalian fungsi universiti kepada menyelesaikan masalah masyarakat?

Lebih-lebih lagilah Universiti Teknologi MARA yang Seksyen 1A Aktanya menyebut jelas bahawa “The Universiti Teknologi MARA is established pursuant to and in accordance with the provisions of Article 153 of the Federal Constitution”.

Ataukah Lim Kit Siang masih marah kerana hasrat beliau yang disuarakan di Parllimen pada 14 April 1976 supaya kerajaan mesti membuka Universiti Teknologi MARA kepada semua pelajar tidak kira kaum hingga kini belum terlaksana?

Menepuk dulang paku serpih nampaknya Lim Kit Siang ini. – HARAKAHDAILY 5/10/2019