Tauhid, perselisihan dan kesempatan musuh

MATLAMAT ilmu tauhid mengesakan Allah

Advertisement

Tauhid bermaksud mengesakan Allah S.W.T. Manakala ilmu Tauhid ialah ilmu mengesakan Allah S.W.T. Adakalanya ia dipanggil sebagai ilmu Aqidah, atau ilmu Kalam. Walau bagaimanapun, ketiga-tiga ini mempunyai matlamat yang sama, iaitu “mengesakan” Allah S.W.T sekalipun istilahnya berbeza.

“Aqidah” secara literalnya bermaksud pegangan atau ikatan, iaitu ilmu tentang pegangan hati manusia. Manakala ilmu Kalam pula lebih dihuraikan oleh Syeikh Idhoduddin al Iiji “Ilmu Kalam itu ialah ilmu yang mampu memberi ketetapan pada kepercayaan dan keyakinan agama berdasarkan hujah-hujah serta menolak sebarang kesamaran”.

Walau bagaimanapun istilah dan maksudnya, masing-masing ke arah mengesakan Allah S.W.T. Apa yang kita boleh faham, Islam mengajar manusia supaya bersatu atas satu matlamat, khususnya Umat Islam. Umat Islam di seluruh dunia masing-masing memahami matlamat hidup mereka adalah Allah S.W.T. Sepatutnya dengan kesatuan matlamat ini umat Islam itu bersatu.

Kekaburan matlamat ini menyebabkan umat Islam berterusan dalam perselisihan, apatah lagi apabila ada yang mengambil pendekatan terlebih keras atau terlalu longgar. Walau bagaimanapun, kaedah pendekatan ini tidak sepatutnya dijadikan bahan atau alasan untuk umat Islam hidup berpecah-pecah dalam kelompok yang berbeza.

Susunan ilmu Tauhid di zaman yang berbeza

Antara contoh yang kita dapat lihat, dalam ilmu Tauhid itu sendiri umat Islam sudah terpecah. Sepatutnya tidak dijadikan isu, tetapi akhirnya dijadikan kesempatan oleh musuh untuk menyemarak pergaduhan sesama umat Islam. Di dalam Tauhid, ada beberapa cara (wasilah) untuk mengesakan Allah S.W.T. Ada yang menggunakan Sifat 20, ada yang menggunakan Sifat 13. Ada yang menggunakan Tauhid 3.

Jika kita lihat sejarah, kita akan dapati kaedah-kaedah penyusunan ilmu Tauhid ini berbeza mengikut zaman dalam keadaan matlamatnya sama, iaitu mengesakan Allah S.W.T. Contohnya di zaman para Sahabat R.A tidak timbul pun susunan ilmu Tauhid kerana masing-masing terus berpandukan al-Quran dan Hadis Nabi S.A.W. Setelah Islam tersebar luas hingga ke peradaban peradaban yang berbeza, akhirnya muncul susunan dalam ilmu Tauhid.

Kita boleh lihat di zaman Imam Abu Hassan al-As’ariy dan Abu Mansur al-Maturidi, mereka menyusun ilmu Tauhid dengan Sifat 13 dan 20 dari sudut perbezaan pada إثبات الأحوال. Bahkan banyak lagi perbahasan dan perselisihan di dalam membicarakan perinciannya, khususnya dihuraikan oleh Imam Baijuri RA. Di era Imam Asy’ariy dan al-Maturidi ini Umat Islam berhadapan kelompok yang tersimpang.

Justeru, mereka menyusun ilmu Tauhid sesuai dengan situasi semasa mereka. Hal ini boleh dilihat dalam huraian-huraian yang panjang dalam penulisan mereka yang menggunakan beberapa istilah falsafah, dalil akal dan sebagainya. Walau bagaimanapun, penyusunan mereka disusun selari dengan al-Quran dan Hadis, dan meletakkan matlamat untuk mentauhidkan Allah S.W.T.

Sifat 20 disusun di era pertembungan falsafah

Zaman Imam Abu Hassan al-Asy’ariy berbeza dengan zaman Imam Ibn Taimiyyah yang menyusun ilmu Tauhid kepada tiga bahagian. Perbezaan zaman ini merujuk kepada perkembangan situasi umat Islam. Contohnya kemunculan kumpulan Qadariah dan Jabariah. Seterusnya fahaman Qadariah menyerap dalam aliran Muktazilah. Kemudian muncul pula fahaman Khawarij.

Kewujudan kelompok-kelompok tersimpang ini menyebabkan Imam Abu Hassan al-Asy’ariy menyusun Ilmu Tauhid yang hari ini dikenali dengan Sifat 20. Kita boleh teliti hal ini dalam sejarah awal kemunculan Aqidah Asya’irah. Imam Abu Hassan al-Asy’ariy (873-935 Masihi) sendiri bermula dengan Muktazilah, menuntut ilmu daripada Abu Ali al-Juba’i. Kemudian apabila terdapat kepincangan dalam aqidah Muktazilah, beliau keluar dan mengisytiharkan Tauhid mengikut susunannya.

Matlamat beliau ialah mentauhidkan Allah, setelah mana melihat Muktazilah membuka ruang kepada pelanggaran prinsip ini. Beliau juga hidup sezaman dengan pengasas Aqidah al-Maturidiah, iaitu di zaman kemuncak kegemilangan al-Abbasiah, yang menyaksikan kesuburan idealogi dan pemikiran falsafah yang diimport dari Greece.

Ini mendorong kepada penyusunan Imam Abu Hassan al-Asy’ariy dan Imam Abu Mansur al-Maturidi terarah kepada menyangkal kepincangan falsafah yang menjadi punca kepada kewujudan firqah-firqah dalam Islam. Walau bagaimanapun matlamat penyusunan kedua-dua tokoh ini tetap sama, iaitu mentauhidkan Allah S.W.T dan memelihara daripada bentuk pensyirikan.

Zaman Ibnu Taimiyyah di era penjajahan Mongol

Ibn Taimiyyah R.A (1263-1328) hidup 400 tahun selepas zaman Imam al-Asy’ariy dan Imam al-Maturidi. Beliau memulakan hidupnya di era ketiadaan Khilafah yang jatuh pada 1258 (al-Abbasiah) dan seterusnya pada 1299 barulah bangkitnya Uthmaniah. Kehidupan yang rencam itu sedikit sebanyak mempengaruhi pemikirannya apabila mendapati tabiat kelemahan jiwa di kalangan umat Islam.

Antara yang terjadi di zaman tersebut ialah tersebarnya fahaman Ibn Arabi (1165-1240) yang dibawa oleh pengikut-pengikutnya beberapa generasi. Fahaman beliau agak kontroversi menyebabkan beliau dianggap sesat. Walaupun Ibn Taimiyyah tidak sempat dengan Ibn Arabi, namun beliau antara yang menolak fahaman tersebut. Senario kelemahan jiwa umat Islam ketika itu antaranya didorong oleh sikap umat Islam yang mengejar zauq, tenggelam dengan fana’ sehingga meninggalkan pemerintahan dan politik.

Krisis ini merupakan salah satu faktor kepada kejatuhan Abbasiah itu sendiri. Perselisihan dalam beberapa perkara yang lebih menjurus kepada Siyasah Syariyyah ini menyebabkan beliau dipenjara beberapa kali. Walau bagaimanapun susunan beliau itu turut berobjektifkan mentauhidkan Allah S.W.T, dan mempertahankan nama Allah S.W.T daripada disyirikkan. Sesuai dengan pendekatan zaman tersebut. Wallahua’lam. 

Bukanlah niat saya untuk menta’dilkan sesiapa apatah lagi men tajrihkan. Sekadar berkongsi maklumat realiti di zaman Ibn Taimiyyah yang mendorong beliau menyusun ilmu Tauhid secara tiga serangkai. Di sana ramai ulamak yang menjernihkan perselisihan ini sama ada terhadap Ibn Arabi, ataupun Ibn Taimiyyah. Masing-masing punyai sumbangan untuk Islam yang tidak boleh dinafikan.

Pertembungan yang dibakar oleh munafik

Apabila kita meneliti sejarah umat Islam, yang sepatutnya bersatu, tetapi wujudnya perpecahan hingga ke tahap bunuh membunuh. Masing-masing menyembah Tuhan yang satu, membaca al-Quran yang sama, solat berkiblatkan satu arah, tetapi mengapa masih berperang antara satu sama lain? Kalau ikut logiknya, bagaimana umat Islam yang menyembah Allah yang satu, membaca al-Quran yang sama dan berkiblatkan satu arah boleh bergaduh sesama sendiri?

Di sini kita dapati wujudnya “kekaburan” atau kesamaran terhadap matlamat, atau terpengaruh dengan api-api sentimen, atau dipesongkan dengan ajaran sesat atau idealogi luar. Gejala ini banyak terjadi dalam sejarah Islam, khususnya apabila kita melihat peristiwa Perang Jamal dan Perang Siffin. Kita tahu para Sahabat R.A masing-masing meletakkan matlamat Allah S.W.T, tetapi terjerat dengan jerat pertembungan.

Jerat pertembungan ini dilakukan oleh munafik-munafik yang berperanan melaga-lagakan antara kumpulan Saidatina Aisyah dan Saidina Ali. Seterusnya Saidina Ali dan Saidina Mu’awiyyah. Umat Islam dijerat oleh munafik sekalipun munafik itu adalah kumpulan yang sangat minoriti, tetapi bahayanya adalah “majoriti” dan kewaspadaan terhadapnya sangat tinggi. Bahkan diperingatkan oleh Allah S.W.T lebih banyak berbanding orang kafir di awal Surah al-Baqarah.

Jika nak disenaraikan sejarah pertembungan seperti ini sangat banyak, antaranya pertembungan Umawiyyah dan Abbasiah, krisis di dalam dua dinasti ini, seterusnya konflik dalaman yang berpanjangan di dalam dinasti Uthmaniah. Di kala Islam memimpin dunia, tetap tidak dapat lari daripada konflik dalaman atau dengan kata lain perpecahan.

Sentimen perselisihan manhaj yang merugikan

Di penghujung era Uthmaniah kita dapati projek memecahbelahkan Islam ini semakin subur, khususnya disuburkan oleh kumpulan intelligent  yang dihantar oleh Barat. Umat Islam yang kurang berwaspada menyebabkan sentimen dibakar sebakar-bakarnya oleh puak-puak intelligent. Sentimen yang dimaksudkan ialah sentimen Salaf dan Khalaf.

Jelas bahawa masing-masing bermatlamatkan mengesakan Allah S.W.T, tetapi musuh mengambil kesempatan di atas perbezaan manhaj ini untuk mewujudkan jurang perpecahan. Pasca Arab Revolt 1916 menyaksikan bagaimana TE Lawrance berjaya menghasut kelompok Bani Saud untuk masuk Tanah Haram menentang Syarif Hussein disebabkan manipulasi istilah “bidaah”.

Kelompok Bani Saus yang beraliran Salafi itu, ditembungkan dengan aliran Khalafi yang dipegang oleh Syarif Hussein. Manakala British berperanan membekalkan senjata kepada kedua-dua kelompok, dan mengapi-apikan para pimpinan mereka. Dalam masa yang sama kita sedar bahawa Salaf dan Khalaf kedua-duanya adalah aliran Tauhid yang mengesakan Allah S.W.T, dengan dua manhaj yang berbeza.

Begitu juga yang terjadi di Acheh apabila Snouck Hugronje berperanan untuk melaga-lagakan Kaum Tua yang bermanhajkan Khalaf, dan Kaum Muda yang bermanhajkan Salaf. Akhirnya Kaum Muda dan Kaum Tua disibukkan dengan debat antara satu sama lain, sehingga Belanda berjaya menjatuhkan Acheh. Stamina mereka dihabiskan dengan perbezaan manhaj mengenali Allah S.W.T, Tuhan bagi kelompok Khalaf, dan juga Tuhan bagi kelompok Salaf. – HARAKAHDAILY 5/10/2019