Kapitalis cukai: Bebani rakyat, kayakan korporat

KEPERLUAN untuk mengubah sistem

Advertisement

Sejak dua menjak ini timbulnya isu kerajaan berhasrat untuk kembali melaksanakan GST setelah lebih 100 hari menguatkuasakan SST. Hakikatnya perkara ini boleh dijangkakan apabila kerajaan sendiri ketikamana ingin melaksanakan SST, tidak bersedia untuk menghapuskan GST. Tetapi mengelabukan mata rakyat dengan istilah GST 0 peratus yang dikatakan diideakan oleh seorang Ustaz pakar muamalat kononnya.

“Fatwa” beliau dipuji oleh ahli PAN kerana kelihatan sangat hebat, walhal ia adalah satu kebebalan yang mengelabukan mata. Kita sedar bahawa dengan cara itu, hakikatnya membuka ruang GST itu untuk dijalankan semula. Sedangkan ketika itu PAS mendatangkan solusi perlu hapuskan terus sama ada SST ataupun GST. Sudahnya hari ini mula ada putik-putik kemunculan semula GST.

Sebab itulah penyelesaian sebarang masalah sekecil-kecil perkara hingga sebesar-besarnya perlu merujuk al-Quran dan Hadis. Bukan main fatwa dengan akal logik rasional semata-mata. Menurunkan GST 0 peratus bukanlah penyelesaian masalah, kerana cara ini masih lagi mengekalkan sistem percukaian cara haram.

Apa yang terjadi di Malaysia, sama ada zaman BN ataupun PH, ialah pengekalan sistem kapitalis. Mungkin ada yang kata, Sekularism cara BN sudah berubah kepada Liberalism cara PH. Walaupun berubah tampuk pemerintahan, namun masih mengekalkan idealogi sesat. Rupa-rupanya sistem kapitalis masih kekal sekalipun berubah Sekularism kepada Liberalism.

Kapitalism menjerut leher

Asas sistem Kapitalism yang mudah ialah “orang kaya akan terus kaya dan orang miskin akan terus miskin”. Antara inti kepada Kapitalism ialah monopoli. Kedua-duanya ditentang oleh Islam sejak sekian lama. Sebelum ini saya ada tulis artikel tentang monopoli tanah di Malaysia [1] yang turut menyumbang kepada kesuburan Kapitalism.

Hari ini di Malaysia berhadapan dengan sistem percukaian yang menjerut leher rakyat, apatah lagi apabila wujudnya GST ataupun SST. Saya tidak ingin berkongsi peratus-peratus yang ditolak setiap peringkat. Cuma asasnya hanya satu, iaitu “cukai itu dikenakan kepada rakyat” tanpa sebarang sebab munasabah (syar’ie). Hanya untuk mengkayakan touke dan korporat.

Kita perlu faham ke manakah perginya duit SST atau GST disalurkan? Secara umumnya cukai akan diserapkan dalam Simpanan Korporat atau saham-sahamnya. Simpanan tersebut mengikut kajian Dokumen Hijau yang disediakan oleh PAS bernilai RM52 billion pada 2016. Ke manakah digunakan duit sebanyak ini? Sama ada dijadikan pinjaman untuk pemaju yang sudah sedia kaya, atau syarikat-syarikat korporat untuk memiliki aset-aset yang luar biasa kayanya, atau sebagainya.

Sebagai contoh, seorang kaya yang memiliki puluhan syarikat ingin mengkayakan poketnya dengan membeli syarikat air negeri dengan harga RM10 juta. Jadi, dia akan buat pinjaman daripada Simpanan Korporat untuk membeli syarikat tersebut. Air menjadi keperluan manusia. Untuk mempercepatkan bayaran balik pinjaman RM10 juta itu, orang kaya tadi akan menaikkan bil air, membuatkan keuntungannya lebih cepat.

Walaupun bil naik, rakyat tetap membayarnya kerana ia adalah satu keperluan. Jadi, apabila cukup kos tersebut dan langsai pada Simpanan Korporat, keuntungan selepas itu semata-mata masuk poketnya. Rakyat akan terus membayar kepada orang kaya ini dengan apa jua bil yang dikenakan. Ini hanya sebagai contoh bagaimana Simpanan Korporat membantu mengkayakan orang-orang korporat sahaja.

Bagaimana si miskin terus miskin?

Sepertimana yang saya katakan tadi, menjadi masalah besar apabila kerajaan mengambil pendekatan “pau” duit rakyat secukupnya atas alasan-alasan bodoh. Kalau dahulu ada SST, kemudian bertukar kepada GST. PH menang PRU14 mereka kembalikan SST dan hari ini ingin mengembalikan GST semula. Sistem yang berterusan memeras duit rakyat.

Apa kesannya? Kesan yang paling ketara ialah kurangnya kuasa membeli pada rakyat. Apabila cukai dikenakan secara zalim, menyebabkan harga melambung. Begitu juga apabila berlakunya monopoli, harga juga melambung. Apabila harga melambung, rakyat semakin sukar untuk membeli. Rakyat terpaksa fikir panjang untuk membeli sebotol minyak masak, atau terpaksa kurangkan penggunaannya dengan cara kukus dan sebagainya.

Maka, sudah pasti pembekal minyak masak akan berkurangan hasil jualannya, menyebabkan keuntungannya juga menurun. Jadi, pembekal minyak masak tadi terpaksa membatalkan niatnya untuk membeli kereta baru disebabkan keuntungan syarikatnya berkurangan. Berpada dengan kenderaan lama, asal boleh guna. Maka, kesannya, syarikat penjual kereta juga mengalami masalah apabila turunnya jualan kereta.

Inilah situasi yang kita boleh lihat apabila kuasa membeli itu semakin kurang disebabkan cukai-cukai yang dikenakan kepada rakyat. Hasil kutipan cukai tadi tidak dipusing semula kepada rakyat secara seimbang sama ada melalui subsidi atau sebagainya, menyebabkan duit dalam Simpanan Korporat semakin bertambah, manakala poket rakyat semakin rabak.

Justeru, si kaya akan terus kaya dengan projek-projek yang kencang, manakala rakyat akan terus miskin dan miskin. Sebab itulah kita tidak pelik apabila kita lihat orang-orang tertentu di negara kita ini memilik kekayaan yang luar biasa, memilik ratusan ribu hektar tanah, memiliki syarikat syarikat besar yang luar biasa dan sebagainya.

Hartanah tang hanya mengkayakan pemaju

Contoh yang lain dalam bab hartanah [1]. Apabila berlakunya monopoli yang ditambah dengan perencah kapitalis, maka berlakunya ketidakseimbangan yang sangat teruk. Orang korporat yang sudah kaya, membuka syarikat hartanah. Sebagai pemaju, sangat tidak bijak sekiranya menggunakan duit poket untuk membina lot-lot banglo mewah kerana ia luar kemampuannya. Jadi, orang korporat ini akan buat pinjaman kepada Simpanan Korporat dengan nilai jutaan Ringgit.

Dia memerlukan tanah yang luas untuk dibina taman perumahan mewah. Jadi, dia berpakat dengan “orang politik” untuk meluluskan kawasan tanah seluas hektar yang diingini. Apabila mendapat kelulusan dengan mudah, maka bermulalah projek pembinaan. Apabila sudah siap, ia dijual dengan berlipat kali ganda untuk memenuhkan poketnya dan membayar pinjaman pada Simpanan Korporat tadi.

Katakan sebuah rumah dijual dengan nilai RM1 juta. Berapa orang rakyat Malaysia yang sanggup dan mampu beli? Tatkala dibebankan dengan SST dan GST untuk membeli keperluan dapur, sudah pasti tiada yang mampu beli. Ini disebabkan kuasa membeli rakyat semakin lemah. Maka, apabila rumah-rumah mewah tadi tidak terjual, menyebabkan si pemaju tadi “tak sedap punggung”.

Setelah berfikir panjang, akhirnya pemaju tadi mendapat idea, untuk berpakat dengan orang politik yang berkuasa untuk membuat kempen yang menguntungkan mereka. Iaitu kempen jual hartanah mewah ini kepada warga asing yang miliki kekayaan luar biasa. Apa kesannya? Orang luar negara akan hidup bermewah di tanah kita, manakala rakyat terpaksa hidup di rumah pangsa berkongsi parking.

Penyelesaian cara Islam

PAS sepertimana yang saya katakan tadi, sudah menyediakan solusi yang diberi nama Dokumen Hijau. Antara yang dicadangkan ialah mengenakan cukai kepada Simpanan Korporat, bukan kenakan cukai kepada rakyat sepertimana amalan BN dan PH.  Kekayaan di dalam Simpanan Korporat tadi seolah-olah sebuah kekayaan yang sedang terbeku. Ia perlu dicairkan supaya dapat dinikmati oleh rakyat Malaysia.

Kapitalis selama ini merupakan sistem yang membekukan hasil kekayaan negara, untuk dinikmati oleh orang-orang tertentu sahaja. Hapuskan sistem Kapitalis ini dengan hanya mengenakan cukai kepada Simpanan Korporat itu, sama ada dalam bentuk subsidi atau sebagainya yang membolehkan harga barang runcit menurun. Apabila harga barang sudah turun, maka kuasa membeli semakin meningkat.

Apabila kuasa membeli semakin meningkat, membolehkan rakyat membayar cukai-cukai yang dibenarkan dalam Islam dengan lebih “smooth” seterusnya meningkatkan kekayaan kepada negara, bukan kekayaan individu. Putaran hasil negara perlu berpusing, iaitu negara membantu rakyat, rakyat pula membantu negara. Tetapi sistem kapitalis bukan membantu negara sebaliknya mengkayakan golongan tertentu.

Sekiranya kaedah kapitalis ini terus diamalkan, akan menyebabkan roda putaran ini tersekat (stuck). Menyebabkan kekayaan golongan korporat semakin meningkat, manakala poket rakyat terus rabak. Lihatlah bagaimana al-Quran menyediakan penyelesaian roda putaran hasil negara ini sepertimana firmanNya;

مَّاۤ أَفَاۤءَ ٱللَّهُ عَلَىٰ رَسُولِهِۦ مِنۡ أَهۡلِ ٱلۡقُرَىٰ فَلِلَّهِ وَلِلرَّسُولِ وَلِذِی ٱلۡقُرۡبَىٰ وَٱلۡیَتَـٰمَىٰ وَٱلۡمَسَـٰكِینِ وَٱبۡنِ ٱلسَّبِیلِ كَیۡ لَا یَكُونَ دُولَةَۢ بَیۡنَ ٱلۡأَغۡنِیَاۤءِ مِنكُمۡۚ

“Apa yang Allah kurniakan kepada RasulNya (Muhammad) dari harta penduduk negeri, bandar atau desa dengan tidak berperang, maka adalah ia tertentu bagi Allah, dan bagi Rasulullah, dan bagi kaum kerabat (Rasulullah), dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, serta orang-orang musafir (yang keputusan). (Ketetapan yang demikian) supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya dari kalangan kamu.”

(al Hasyr: 7)

[1] https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=1190551867804951&id=251201991739948

*HARAKAHDAILY 6/10/2019*