Muafakat Nasional PAS-Umno Dun Pelangai

BENTONG: PAS dan Umno Dun Pelangai telah berjaya menyambung ‘episod kedua’ siri Muafakat Nasional mereka di dalam program ‘Kacau Bubur Lambuk Asyura’ anjuran Komuniti Felda Kampung Kemasul, di sini semalam.

Advertisement

Program ‘mengacau’ kali ini telah menarik penyertaan sembilan kawah bubur lambuk Asyura daripada pelbagai agensi di mana jelingan mata masyarakat sudah tentulah tertumpu pada kehangatan kawah ‘adik-beradik’ PAS-Umno.

Menurut Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Bentong, Samsudin Abdullah, program kerjasama seumpama ini ternyata memberi impak yang cukup positif khususnya antara kedua-dua belah pihak di mata masyarakat setempat amnya.

“Kami ‘adik-beradik’ bukan setakat kacau bubur bersama, malah kami berjalan bersama menyantuni warga kampung yang kurang bernasib baik di dalam program ziarah yang diadakan pada masa sama cuma tempat sahaja berasingan,” jelas Samsudin yang juga salah seorang peneroka Kampung Felda Kemasul.

Program ini telah dimulai dengan rewang antara Muslimat PAS dan Wanita Umno turut dihadiri pimpinan kedua pihak antaranya Timbalan Ketua Urusan Ulamak PAS Bentong, Abd Hamid Bahatim dan Naib Ketua UMNO Bahagian Bentong, Dato’ Seri Johari Harun.

Sebelum ini, kedua-dua pihak telah merakam sejarah ‘episod satu’ siri Muafakat Nasional PAS-Umno Dun Pelangai pada majlis sambutan aidilfitri yang diadakan pada Mei baru-baru ini. – HARAKAHDAILY 7/10/2019 

IMG 20191007 WA0006